Menu

 

A+ A A-

ROSAKNYA SATU GENERASI

Seekor syaitan datang ke rumah seorang lelaki pada suatu malam. Dia memantau dari jauh tingkah laku lelaki itu. Kemudian dia ketawa dan pulang. Keesokan harinya, dia memanggil rakan-rakan syaitan yang lain sambil berkata: “Kawan-kawan, mari ikut aku. Malam ini ada orang yang bermurah hati memberi makan dan memberi tempat tidur untuk kita.” Maka syaitan dan rakan-rakannya bergegas ke rumah lelaki itu dengan bersiul-siulan.

Manakala ada seekor syaitan lain datang ke rumah lelaki yang lain pula. Dia memantau keadaan lelaki itu dari jauh. Kemudian dia berduka cita lalu bergegas pulang tanpa ada peluang untuk kembali lagi. Cuba kita renungkan kisah itu. Mengapa syaitan berkesempatan untuk makan dan tidur di rumah lelaki pertama. Sedangkan syaitan kedua tidak berpeluang melakukan hal yang sama? Ini kerana, orang pertama itu tidak pernah membaca doa dalam setiap aktivitinya. Apabila dia makan, minum dan tidur maka dia tidak membaca basmalah (bismillah). Semuanya dilakukan tanpa mengingati Allah s.w.t. Sedangkan lelaki kedua itu melakukan sesuatu dengan berdoa. Setiap perbuatannya dimulakan dengan doa yang khusus. Maka syaitan tidak boleh mendekatinya.

Doa Pagar Perlindungan

Ya. Mungkin sebahagian kita beranggapan, apa sangatlah doa? Sekadar mainan dan bacaan budak budak tadika. Kita yang sudah berumur ini, kalau tidak berdoa apa salahnya? Bukan rugi apa-apapun. Itulah gerutu dan mercup hati setiap kali kita terlupa membaca doa. Bahkan anggapan itu salah! Sebenarnya, kita rugi yang besar jika mengabaikan doa. Petani, sebelum memulakan proses menanam akan membuat pagar terlebih dahulu. Mana mungkin menanam pokok yang masih muda tanpa dibuat pagarnya. Nanti disondol khinzir atau dimakan kambing dan diragut lembu.

Maka, pagar itu kebaikan pokok-pokok yang baru setahun jagung itu. Maka pagar untuk diri kita daripada hasutan syaitan dan sekutu-sekutu jahatnya ialah doa. Doa itu pendinding yang kuat dan pelindung yang mujarab. Namun sayang, ia disalah faham dalam konteks amalan. Acap kali ibu bapa mengajar anak-anak supaya berdoa sebelum memulakan sesuatu. Tetapi, dia sendiri sudah lupa lafaz doa-doanya.

Ingat Allah Atau Ingat Orang Tersayang

Fikirkan sejenak, adakah kita sentiasa berdoa apabila menaiki kenderaan? Jarang sekali kita perhatikan ibu bapa yang membaca doa sebaik sahaja menghidupkan enjin kenderaan. Tidak hairanlah kemalangan jalan raya di Negara kita antara yang tertinggi di dunia. Apabila hati dan perasaan sewaktu memandu sudah dibolak-balikkan oleh syaitan. Maka pemandunya mudah beremosi. Silap hari bulan, ia boleh membawa kematian! Iklan televisyen ada menyebut: “Ingatlah orang tersayang sewaktu memandu.” Sekali difikir, memang wajar. Tetapi, kadang kala dengan mengingati orang tersayang di rumah akan menyebabkan kita lebih gopoh dalam memandu. Terutamanya remaja, sebab tidak sabar untuk jumpa orang tersayang di kampung. Maka, lebih wajar kita katakan begini: “Ingatlah Allah dan bacalah doa sewaktu memandu Maka, dengan itu hati kita lebih aman dan selamat.”

Iringi Generasi Akan Datang Dengan Doa

Wahai orang muda, terdapat satu doa penting demi kebaikan generasi akan datang! Mencuaikan doa ini akan menjadikan anakanak liar dan generasi baru menjadi keras hati. Itulah doa yang dibacakan sebelum suami dan isteri mengadakan hubungan kelamin. Berani saya katakan, ramai pengantin baru khususnya pemuda dan pemudi tidak menghafaz doa ini.

Barangkali mereka lupa untuk bertanya, atau malu untuk meminta. Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Seandainya salah seorang dari kamu ketika mendatangi (menyetubuhi) isterinya dia mengucapkan: ‘Bismillahi, Allahumma jannibnasy syaithana wajannibisy-syaithana mimma razaqtanaa’ (bermaksud: Dengan Nama Allah, ya Allah jauhkan syaitan dari kami dan jauhkan syaitan dari (anak) yang Engkau berikan kepada kami), maka sesungguhnya jika ditakdirkan daripada persetubuhan itu akan mendapat anak, nescaya syaitan tidak akan membahayakan anak itu selamanya.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim) Ini bermakna, jika kita melupakan doa itu, maka pasti anak dan zuriat kita akan mudah menerima pujukan dan mengikut telunjuk syaitan.

Jadi, adakah wajar kita beranggapan doa itu perkara picisan yang boleh disia-siakan. Kecuaian membaca doa boleh mengakibatkan rosaknya sebuah generasi. Rosaknya anak-anak kita pada masa depan akibat diganggu syaitan. Jikalau doa itu satu mainan, sudah tentu nabi Muhammad s.a.w. tidak akan menuturkan doa dalam setiap perilakunya. Ketahuilah bahawa doa itu sangat penting dan mustahak untuk dijaga bagi menghalau tetamu misteri, iaitu syaitan dan sekutunya. Semoga Allah melindungi kita setiap waktu.

 

 

 

A.Ubaidillah bin Alias

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 3


 

A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas