HIDUP SELAMAT DENGAN NASIHAT
- Ditulis oleh Zarita Hj Kasim
- Kategori Motivasi
- Read 5106 times
BARU-baru ini saya berkesempatan untuk berehat seketika sambil menikmati sarapan pagi di kedai mamak yang menjadi kegemaran suami. Sementara menunggu makanan yang dipesan, saya terdengar akan perbualan dua orang rakan yang sedang leka menghirup teh tarik sambil menghembuskan kepulan-kepulan asap dari puntung rokok yang dipegang.
Si A berkongsi masalah kesihatannya akibat merokok, manakala si B berkongsi pengalamannya tentang rokok gulung yang dirasakan kurang membawa keburukan berbanding rokok kotak. Rasa-rasanya bukan kami sahaja yang mendengar perbualan mereka, tetapi mungkin juga pelanggan-pelanggan lain kerana suara mereka yang agak kuat.
Saya dan suami memandang sesama sendiri sambil tersenyum walaupun saya dan dia belum tentu berfikir tentang perkara yang sama. Namun, atas tindakan yang kami ambil, saya pasti kami memikirkan perkara yang sama apabila kami sama-sama bangun dan beralih ke meja lain yang agak jauh untuk mengelak daripada terhidu asap rokok tadi.
Abai Nasihat
Insiden berkenaan mengingatkan saya pada satu ungkapan yang pernah disebutkan oleh seorang doktor iaitu: “Antara resipi untuk hidup lama ialah jangan merokok.” Saya tidak menafikannya, kerana banyak amaran yang telah diberikan, bahkan secara terang-terangan telah diperlihatkan kesan dan akibat daripada merokok yang terpamer di kotak rokok itu sendiri.
Namun, masih ramai yang tidak mengendahkannya dan tidak mengambil berat akan amaran dan nasihat yang diberikan. Ini termasuk juga mereka yang terlibat mengedar dan menjual rokok kerana hasil daripada jualan rokok membawa keuntungan!
Jika direnungkan, jika tidak diberi amaran dan nasihat, bagaimanakah tahap kesihatan dan kehidupan kita, kerana walaupun telah diberi amaran dan nasihat, kita masih belum mahu mendengar dan tidak mengguna pakai nasihat berkenaan. Pasti lebih teruklah tahap kesihatan dan kehidupan kita.
Nah, begitulah juga dalam kehidupan seharian kita. Dalam sehari, pasti ramai yang memberikan nasihat, panduan, peringatan mahupun amaran sama ada oleh ibu, bapa, abang, kakak, guru, teman atau sesiapa sahaja berkenaan pelbagai perkara. Pernahkah kita terus menghabiskan masa bersama kawan-kawan dengan perkara yang tidak berfaedah walaupun telah dinasihatkan oleh ibu bapa?
Atau mungkin kita terus leka berborak di dalam kelas walaupun telah ditegur oleh guru? Atau kita terus menghabiskan wang untuk membeli rokok meskipun kita tahu kita sebenarnya membakar wang kita sendiri? Dan kita terus lalai meninggalkan solat walaupun kita tahu itulah perkara yang pertama yang akan ditanya di akhirat kelak?
Nasihat dalam Agama
Subhanallah! Sesungguhnya bagi kita umat islam, banyak amaran, nasihat, panduan yang mahu dan tahu sahaja yang berusaha mengambil nasihat tersebut. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Al-Quran ini ialah penerangan jelas kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang yang hendak bertakwa.” (Surah Ali Imran 3: 138)
Bukan sekali dua, malah terdapat banyak nasihat dan panduan hidup yang telah diberikan oleh Allah s.w.t., tetapi kita masih berdegil. Nauzubillah. Seperkara yang perlu diberi perhatian, perubahan diri ke arah yang lebih baik bermula dengan diri sendiri.
Ini jelas dimaklumkan Allah s.w.t. menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d 13: 11)
Jadi, kehidupan yang bagaimanakah yang kita inginkan? Kehidupan yang terpelihara dengan mengambil kira nasihat dan amaran, atau terus leka dan tersasar daripada garis panduan yang diberikan? Tepuk dada, tanya dan turutkan kata iman.
Zarita Hj Kasim
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.8
Zarita Hj Kasim
Merupakan kolumnis di Telaga Biru untuk majalah Gen-Q serta Fellow PPLI di Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM). Pernah memegang jawatan sebagai pensyarah separuh masa (Media Elektronik) di IIUM serta produser dan DJ di IKIM fm.