TETAMU VIP
- Ditulis oleh A. Ubaidillah Alias
- Kategori Anak-anak
- Read 5095 times
BAGI yang sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata, pasti kita pernah merasai saat menunggu kelahiran anak pertama yang membahagiakan. Rasa ternanti-nanti penuh keterujaan.
Mengira bulan dan menghitung hari kelahiran, kita mencari nama yang elok-elok, membeli pakaian baru, merancang untuk memberi yang terbaik.
Kita memikirkan soal nama, pakaian, tempat tidur dan keperluan zahirnya dari awal. Namun, tidak ramai yang merancang untuk menyemai keimanan dan ketakwaan dalam jiwa anak yang bakal lahir.
Sewaktu anak itu lahir dengan tangisan, kita tersenyum menyambutnya. Anak itu ditatang dan dipeluk cium penuh kasih sayang. Setelah beberapa bulan, anak yang kian membesar itu sudah boleh bergerak sendiri.
Kita makin selesa dan mula menyibukkan diri dalam dunia kerjaya atau apa saja urusan lain. Apabila dia sudah pandai berjalan dan bertutur sendiri, kita sudah berani melepaskannya untuk berdikari. Kita sudah merasa tiada apa-apa yang istimewa setelah mereka membesar. Situasi ini berlaku tanpa kita sedari.
Anak Itu Bebanan
Dalam satu kes yang lain pula, ada ibu bapa yang tidak merasa seronok pun dengan kelahiran anak. Bahkan ada yang merasa terhukum dan terbeban dengan kelahiran seorang bayi. Mereka melihat anak-anak sebagai gangguan terhadap ketenangan dan kesenangan hidup.
Kehidupan mereka yang sibuk, semakin tertekan apabila pulang ke rumah berhadapan dengan karenah anak-anak. Rentetannya kes dera kanak-kanak semakin menjadi-jadi. Makin lama, makin banyak yang sakit jiwa. Mereka ialah orang yang perlu dibantu.
Pernah saya menemukan seorang anak perempuan yang berumur empat tahun berjalan sendirian ke kedai untuk membeli jajan dan minuman berperisa. Sedangkan makanan itu tidak baik untuk anak semuda itu. Namun tiada siapa yang peduli.
Saya pernah menyaksikan seorang ibu menengking anak perempuannya yang berumur bawah 10 tahun: “Bodoh! Tolol!” di hadapan pintu masuk pasar raya. Lalu dia menarik anak itu keluar sambil membebel panjang. Saya jadi sedih sendirian melihat wajah anak perempuan yang sedikit berkelaring dan muram.
Layani Tetamu Kehormat
Adakah kita sedar bahawa anak-anak itu manusia yang sangat mulia di sisi Allah? Hakikatnya mereka ialah tetamu VIP yang bertaraf ahli syurga selagi mereka belum mencapai usia akil baligh. Ibu bapa yang bertutur dengan anak itu wajib menyantuninya sebagai seorang ahli kehormat.
Andai Allah sanggup menerimanya sebagai tetamu agung, inikan pula insan kecil seperti kita. Alangkah keji dan buruknya andai kita tergamak menyumpah seranah kepadanya sedangkan kedudukannya adalah jauh lebih baik daripada darjat kita di akhirat.
Oleh sebab itu Islam mensyaratkan pemilihan nama yang baik diberikan kepada anak-anak. Nama itu lambang identiti yang akan dipakainya sepanjang hayat serta menjadi sebutan sampai ke hari akhirat. Apabila orang memanggilnya dengan nama tersebut sepanjang hayatnya, mereka seolah-olah berdoa untuk anak tersebut.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu.” (Riwayat Abu Dawud)
Inilah keindahan Islam dalam meletakkan martabat manusia yang baru lahir ke dunia. Jangan sampai kita tersalah menyantuninya dan melukis jalan yang salah untuk mereka.
Pada hari kiamat nanti Allah akan menyeru kepada anak-anak: “Masuklah kalian ke dalam syurga!”
Anak-anak itu berkata: “Ya Rabbi, (kami menunggu) hingga ayah ibu kami masuk.”
Mereka mendekati pintu syurga tetapi tidak mahu masuk ke dalamnya.
Allah berfirman lagi: “Mengapa Aku melihat mereka enggan masuk? Masuklah kalian ke dalam syurga!” Mereka menjawab: “Ya Allah, (bagaimana) orang tua kami?”
Allah pun menjawab: “Masuklah kalian ke dalam syurga bersama orang tua kalian.” (Riwayat Ahmad)
Sabar dan senyumlah. Santunilah anak kecil dengan hikmah dan penuh perhatian. Setiap kali kita berbicara dengannya, pastikan kita memerhatikan sepenuh wajahnya dan mendengar perkataannya. Kerana dia tetamu bertaraf VIP yang didatangkan khas oleh Allah untuk menumpang hidup bersama dengan kita di dunia. Mudah-mudahan, keberkatan kita melayan tetamu bertaraf ahli syurga akan memudahkan kita untuk memasuki syurga Allah di akhirat nanti. Insya-Allah!
Wallahu a‘lam
Ustaz A.Ubaidillah bin Alias
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10
A. Ubaidillah Alias
Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.