Menu

 

A+ A A-

KONSEP KERINGANAN (AL-YUSR) DALAM ISLAM

Kemudahan atau keringanan dalam Islam mempunyai matlamat yang tinggi dan tujuan yang besar. Matlamat tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:

Matlamat dari Sudut Akidah

Islam ialah agama yang amat mesra penganut dan mudah. Hukum-hakamnya disyariatkan untuk menarik seramai mungkin manusia menganutinya. Untuk merealisasikan matlamat ini, Islam kadang-kadang menggunakan uslub ancaman dan ada kalanya menggunakan uslub galakan/tarikan.

Antara contoh ancaman ialah peringatan tentang azab Allah yang amat dahsyat pada hari pembalasan kelak.

Manakala contoh tarikan, yang paling jelas ialah keringanan (al-Yusr) yang meliputi keseluruhan hukum syariah yang indah ini.

Dengan mengamalkan jalan ini, syariah Islam selaras dengan tabiat semula jadi manusia yang cuba lari daripada kesusahan dan penderitaan. Ini kerana fitrah kejadian mereka adalah lemah, sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (Surah al-Nisa’ 4: 28)

Al-Syatibi rhm. berkata tentang akidahnya yang mudah difahami: “Arahan, iktikad dan amalan yang mampu difahami oleh orang awam, supaya mudah mereka mengamalkan hukumnya. Dari sudut pegangan pula, ia sangat mudah difahami oleh akal yang boleh dikongsi bersama oleh semua penganutnya, tidak kira seorang cendekiawan atau orang awam biasa. Jika ajaran ini hanya mampu difahami oleh orang tertentu sahaja, maka ia bukanlah satu syariat untuk seluruh manusia umum, sedangkan telah sabit bahawa ia satu syariat yang menyeluruh dan umum.” (Al-Muwafaqat, jil. 2, hlm. 88)

Kelonggaran atau keringanan syariat ini merupakan satu faktor yang amat besar dalam penyebaran agama ini secara pantas dan penerimaan yang meluas.

Sesiapa yang meneliti bab-bab fiqah, mereka akan dapati galakan untuk menerima Islam amat banyak sekali. Contohnya, orang yang baru memeluk Islam, jika berbuat salah tidak akan dikira kerana dianggap masih jahil, bahkan jika mereka melakukan jenayah, pertuduhan itu boleh digugurkan kerana terdapat syubhah (kesamaran). Dia juga tidak perlu mengqadakan segala amalan dan ibadat sewaktu masih kafir dahulu, tanggungjawab dan haknya terhadap Allah sebelum ini gugur semuanya.

Begitu juga bagi orang yang dipaksa untuk mengucapkan kalimah kufur (sedangkan dalam hatinya tidak reda), maka dia tidak berdosa dan dibenarkan melakukannya sebagaimana peristiwa yang berlaku ke atas sahabat Ammar bin Yasir r.a. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sesiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar.” (Surah al-Nahl 16: 106)

SYIAR - KONSEP KERINGANAN AL-YUSR DALAM ISLAM Dr Abd Basit Abd Rahman - SOLUSI 6 1

Matlamat dari Sudut Ibadah

Jelas bahawa tujuan kemudahan dalam tanggungjawab syariat adalah agar setiap Muslim mampu melakukan ibadat dalam semua keadaan, sama ada dalam keadaan jahil, terpaksa, lemah, tidak mampu dan sebagainya. Contoh-contoh kelonggaran dalam bab ini yang boleh didapati dalam kehidupan seharian kita adalah seperti:

(i) Wuduk

Tujuannya dari segi ibadat amat jelas. Islam tidak mewajibkan membasuh kepala, cukup hanya sekadar menyapunya. Ini mungkin mengambil kira orang yang tidak berambut. Juga menggantikan wuduk dengan tayamum ialah satu kelonggaran dan rahmat yang amat besar. Syariat-syariat yang terdahulu tidak membolehkan solat tanpa bersuci dengan air dalam apa jua keadaan pun. Namun setelah kedatangan Islam, agama yang mudah ini telah meringankan hukuman tersebut, kita dibolehkan bertayamum jika tiada air atau jika tidak boleh menggunakan air.

(ii) Solat

Wajib dilaksanakan mengikut kemampuan seseorang itu, jika tidak boleh berdiri, secara duduk atau berbaring dan seterusnya.

Ada ibadah atau perintah tertentu bagi yang tidak mampu langsung, digugurkan kewajipannya kesemuanya, seperti orang yang tidak mampu menunaikan haji atau tidak mampu berhijrah dari negeri kafir ke negeri Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Kecuali mereka yang tertindas, baik lelaki atau wanita ataupun anak-anak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk hijrah).” (Surah al-Nisa’ 4: 98)

Matlamat syariat ini bertujuan untuk menjaga nyawa. Orang sakit yang bimbang boleh menambahkan kesakitan atau melambatkan penyembuhan sekiranya berpuasa, mereka boleh meninggalkannya tetapi wajib menggantikannya semula pada waktu lain apabila mampu.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah 2: 185)

Mujahidin yang sedang berperang fisabilillah, dibenarkan bersolat mengikut keadaan dan kemampuannya, sama ada menghadap kiblat atau tidak. Firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu dalam keadaan takut (bahaya), maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan. Kemudian apabila kamu telah aman, maka sebutlah Allah (solatlah), sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah 2: 239)

SYIAR - KONSEP KERINGANAN AL-YUSR DALAM ISLAM Dr Abd Basit Abd Rahman - SOLUSI 6 2

Matlamat dari Sudut Kemasyarakatan

Telah menjadi hikmah Allah s.w.t. mensyariatkan risalah-Nya kepada manusia ini dengan manhaj (matlamat) untuk membaiki dan memperelokkan keadaan mereka dan memenuhi perkara-perkara yang sangat diperlukan oleh mereka. Ia dalam lingkungan kemampuan hamba-Nya.

Risalah Nabi Muhammad s.a.w. pula mengandungi semua perkara yang membawa kesyumulan dalam hukum-hakam dan kesesuaian dengan semua tempat dan masa, ia juga selari dengan kehidupan masyarakat.

Ini semua jelas daripada apa yang terkandung dalam kaedah “membawa kemudahan, menghilangkan kepayahan dan menjauhkan kesusahan”. Antara kaedah yang dipakai ini ialah “al-urf”, iaitu mengambil kira adat istiadat sesuatu kaum yang mereka biasa pakai, dari segi perbuatan atau percakapan selagi mana tidak bercanggah dengan syariat agama. Maka al-urf ini termasuk dalam manhaj al-taisir, kemudahan dalam Islam.

Ini kerana manusia itu akan merasa senang apabila perkara yang mereka biasa guna dan pakai setelah sekian lama, diterima dan diakui oleh syariah.

Sikap Islam dalam muamalat berbeza dengan ibadat. Ini kerana Islam tidak menetapkan satu bentuk khusus, tetapi mengambil kira amalan muamalat yang biasa diamalkan oleh manusia, kemudian menerima atau membetulkannya jika sesuai, ataupun menghapuskannya terus jika ia bertentangan dengan prinsip asas syariah. Perundangan syariat hanya masuk campur dalam bab muamalat untuk menjaga maqasid syari’ah yang tertegak atas keadilan, kemudahan dan rahmat, serta menolak sebab-sebab yang boleh membawa kepada permusuhan dan perselisihan.

Ini bagi menjamin proses muamalat berjalan lancar dan anjal kerana dua unsur ini ialah unsur yang lazim untuk kejayaan sesuatu muamalat. Sebaliknya jika proses muamalat ini lambat atau terhalang kelancarannya, maka proses ekonomi akan terbantut dan merosot. Untuk menjamin kelancaran dan keanjalan proses ini, syariah Islam telah mengambil kira kemudahan dari pelbagai sudut.

Contohnya dalam masalah hutang, ada perbezaan antara akad hutang harta benda dengan hutang perniagaan yang dijalankan setiap masa. Allah s.w.t. telah mensyaratkan hutang mesti ditulis, sedikit atau banyak, seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai (berhutang) untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya.” (Surah al-Baqarah 2: 282)

Tetapi dikecualikan jika ia adalah hutang yang berlaku dalam perniagaan segera, sebagaimana firman-Nya juga dalam ayat yang sama, maksudnya:

“Kecuali jika muamalah itu perdagangan tunai yang kamu jalankan antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu, (jika) kamu tidak menulisnya.”

Sebab atau ‘illah dikecualikan hutang perniagaan daripada ditulis kerana sifatnya yang perlu segera dan tidak boleh dilewatkan, perniagaan juga berjalan setiap masa, berulang- ulang dan berbagai-bagai jenisnya, maka jika disyaratkan menulisnya akan membawa kepada kesusahan (al-haraj).

Matlamat dari Sudut Jenayah

Islam meletakkan asas keringanan dalam perundangan jenayah. Penjelasannya dapat kita perhatikan dalam contoh berikut:

Bersifat rahmat kepada masyarakat umum dan menjaga darah mereka daripada ditumpahkan sewenang-wenangnya. Undang-undang yang ditetapkan Nampak keras terhadap penjenayah dan setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Tetapi kesannya membawa rahmat kepada masyarakat kerana undang-undangnya melindungi semua golongan; bangsawan dan orang awam. Tidak ada perbezaan antara kumpulan atau kedudukan. Merealisasikan keadilan sebanyak mungkin. Perundangan Islam sentiasa mengambil jalan kemudahan termasuklah terhadap golongan yang ditohmah, mereka tidak dikira bersalah semata-mata kerana tuduhan yang dilemparkan sehingga dibuktikan tuduhan tersebut. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat 49: 6)

Untuk merealisasikan matlamat ini, Islam menerima prinsip “Dar’ al-hudud bi al-syubuhat” maksudnya: “Hudud tidak dilaksanakan ke atas seseorang sekiranya terdapat keraguan.”

Matlamat dari Sudut Akhlak Keperibadian

Manhaj al-Yusr atau pendekatan keringanan Islam adalah sempurna, merangkumi semua sudut termasuklah dalam perkara yang berkait dengan akhlak keperibadian. Semuanya adalah bagi menjamin kesyumulan dan keberterusan syariah, antaranya:

Menjauhkan rasa jemu

Rasulullah s.a.w. telah mengisyaratkan kepada matlamat ini dengan sabdanya yang bermaksud: “Ambillah amalan kebajikan setakat yang kamu mampu. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak jemu (untuk member ganjaran kepada hamba-Nya) sehingga kamu berasa jemu.” (Riwayat Muslim)

Menjamin penerusan ibadat dan tidak terputus

Berterusan melakukan amal soleh merupakan matlamat syariah dan prinsipnya yang umum. Contohnya, taklif iaitu kewajipan tuntutan syariah ini terbahagi kepada dua; fardu dan sunat. Ibadat-ibadat ini pula terbahagi kepada harian, mingguan, bulanan dan tahunan, menunjukkan ibadat manusia terhadap Tuhannya berterusan, tidak terputus. Sesiapa yang melakukan ibadat-ibadat ini bererti dia berterusan dalam melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Matlamat dari sudut pemikiran/ pencapaian ilmu

Taysir merupakan kaedah asas dalam menegakkan perundangan Islam. Ini membawa erti syariat ini mengambil kira kemampuan dan keperluan seorang mukalaf. Tidak dapat dinafikan keperluan seseorang mukalaf itu berubah mengikut keadaan masa dan tempat.

Adakah ini bermakna syariat Islam berubah mengikut perubahan keperluan seseorang? Jawabnya tidak. Yang berubah ialah pelaksanaan kepada perundangan. Ini kerana syariat Islam itu pada hakikatnya satu sahaja. Oleh sebab itulah kita dapati perundangan selain daripada ibadat, sedikit sahaja yang disebut secara terperinci. Memadai dengan meletakkan asas-asas umum dan kaedah-kaedah yang sempurna. Di bawahnya pula terdapat cabang-cabang (furuk) yang banyak. Cabang-cabang inilah yang boleh berubah. Adapun prinsip asasnya sabit, tidak berganjak dan tidak berubah kecuali berbeza pemahaman para ulama tentangnya.

Inilah hikmah Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berbeza dalam pemahaman dan kemampuan berfikir ataupun beristinbat. Maka tidak masuk akal bahawa Islam itu menuntut umatnya menguasai seluruh ilmu. Begitu juga mustahil untuk seluruh ulama itu sama dari sudut pencapaian ilmunya. Kerana itulah Allah menjadikan menuntut ilmu itu fardu kifayah sahaja supaya sebahagiannya dapat memperjelaskan hukum dan menyebarkan ilmunya dalam kalangan manusia.

Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Tidak (sepatutnya) bagi Mukminin itu keluar semuanya (ke medan perang). Oleh itu hendaklah sebahagian daripada tiap-tiap golongan antara mereka, supaya beberapa orang (yang tinggal itu) untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat menjaga diri (daripada melakukan larangan Allah).” (Surah al-Tawbah 9: 122)

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas