Menu

 

A+ A A-

BERSALIN TIKAR

Seorang lelaki mempunyai seorang adik ipar perempuan (adik perempuan kandung isterinya). Kemudian isteri lelaki itu meninggal dunia. Lalu lelaki tersebut memperisterikan pula adik iparnya itu tadi. Bak kata orang, “bersalin tikar”. Maka apa hukum “bersalin tikar” tersebut? Mohon keterangan daripada al-Quran dan hadis serta penjelasannya.

Salah seorang manusia yang mulia daripada kalangan para sahabat Nabi, Uthman bin Affan r.a., digelar “Zunurain” (pemilik dua cahaya) kerana menikahi dua puteri Rasulullah s.a.w. Pertama, beliau bernikah dengan Ruqayyah r.ha. Selepas Ruqayyah wafat, beliau dinikahkan pula oleh Rasulullah dengan Ummi Kalsum r.ha.

Namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam melakukan hal ini. Jika “bersalin tikar” tersebut disebabkan isterinya meninggal dunia, maka bolehlah perkahwinan itu segera dilakukan, asal sahaja semua pihak yakin isterinya itu sudah benar-benar meninggal dunia. Maksudnya, kalau isteri tersebut masih dalam keadaan sakaratulmaut, maka belum boleh kerana isterinya itu masih belum meninggal dunia.

MUNAKAHAT - BERSALIN TIKAR Ustaz Badli Shah Alauddin - SOLUSI 6

Demikian juga jika isterinya itu telah diceraikannya dengan talak ba’in, talak yang putus, seperti talak khul’i atau talak tiga, maka boleh saja perkahwinan dengan adik iparnya itu tadi segera dilakukan. Akan tetapi jika isterinya itu diceraikan dengan talak rij’i, seperti talak satu umpamanya, maka tidak boleh dan belum boleh si suami tadi berkahwin dengan adik iparnya itu, selama mana isterinya masih dalam idah. Ini kerana isteri yang berada dalam idah talak rij’i, masih terhukum dan dianggap sebagai isteri kerana masih boleh dirujuk kembali selama dalam tempoh idah.

Sekiranya idah isteri itu sudah selesai, maka bolehlah berkahwin dengan adik iparnya itu tadi yang kita kenali sebagai “bersalin tikar”. Jadi, yang dilarang oleh syarak adalah “menghimpun” atau “menggabung” dua adik-beradik perempuan menjadi isteri yang bermadu. Menurut istilah dahulu, menghimpun cara demikian disebut “gabung ranjang”.

Gabung ranjang inilah yang diharamkan sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan (tidak boleh) bahawa kamu himpunkan antara dua saudara perempuan, melainkan apa-apa yang telah lampau.” (Surah al-Nisa’ 4: 23)

Menurut Tafsir Ibn Kathir(jil 1, hlm. 472) sebagai berikut: “Dan diharamkan atas kamu menghimpun antara dua saudara perempuan bersama-sama dalam perkahwinan, dan seperti demikian pula pada pemilikan budak belian, kecuali apa-apa yang telah lalu dan pada kamu pada masa jahiliah kamu, maka sesungguhnya telah kami maafkan dan pada kamu, dan telah kami ampunkan hal itu.”

Adapun hadis, maka diriwayatkan daripada Dhahak bin Fairuz daripada ayahnya, berkata ia: “Aku telah masuk Islam, sedang padaku ada dua orang isteri yang bersaudara kedua-duanya, maka Nabi s.a.w. memerintahkan aku untuk menceraikan salah seorang daripadanya.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Jika kita ingin melihat lebih mendasar lagi seperti yang tercatat dalam Hashiyah al- Bajuri (jil. II, hlm. 114) sebagai berikut:

Kata pengarang: “Saudara perempuan daripada isteri”, maka tidak boleh menghimpun seorang lelaki antara isterinya dan saudara perempuan isterinya kerana firman Allah s.w.t. Dan diharamkan atas kamu menghimpun antara dua saudara perempuan kecuali yang telah lalu. Ini kerana perbuatan menghimpun itu boleh menyebabkan putus tali kekeluargaan, di mana disebabkan oleh pertengkaran yang biasa terjadi yang membawa kepada kebencian.”

Demikian pula ada tersebut dalam Hashiyah al-Bajuri, pada jilid dan halaman yang sama:

“Maka menjadi halallah saudara perempuan isteri, atau ipar perempuan dengan sebab matinya isteri atau tertalak dengan talak bain, lain halnya jika ditalak dengan talak rij’i, maka tidaklah halal seumpama saudara perempuannya itu, selama mana isterinya masih dalam idah kerana perempuan yang berada dalam idah talak rij’I masih dalam hukum isteri.”

Disebut dalam al-Syarqawi ‘ala Tahrir, jil II, hlm. 328:

“Dan keluar dengan kata-kata: ‘perempuan’ oleh lelaki. Maka tidak ada idah atasnya. Kata mereka (ulama): Kecuali dalam dua keadaan. Pertama, apabila ada padanya isteri yang telah ditalak dengan talak rij’i, dan ia akan berkahwin dengan orang yang tidak boleh menghimpunkan bersama isterinya itu, seperti saudara isterinya. Kedua apabila ada padanya isteri yang telah ditalaknya dengan talak rij’i (dia ada empat orang isteri), dan ia akan berkahwin dengan yang kelima. Maka tidaklah haram baginya yang demikian itu pada dua keadaan yang tersebut, terkecuali sesudah selesai idahnya.”

Solusinya, buatlah yang terbaik demi kebahagiaan anda.

Ustaz Badli Shah Alauddin

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas