Menu

 

A+ A A-

MENGINTIP (AL-TAJASSUS YANG DIBENARKAN)

Orang yang kita intip, selidiki atau dedahkan aibnya pada hari ini, esok lusa mungkin giliran aib kita pula diteropong orang.

Maruah diri seseorang ialah suatu yang sangat dipelihara oleh Islam. Islam mendahului mana-mana agama di dunia dalam perihal menjamin keselamatan diri, bukan sekadar pada sifat fizikal, tetapi pada nilai diri itu sendiri.

Kemuliaan maruah manusia yang dipelihara dengan baik oleh syariah, terjelma menerusi pelbagai peruntukan syarak yang disandarkan dengan nas-nas yang berautoriti.

Sewaktu Barat sibuk memperlekehkan Islam sebagai agama yang dikatakan banyak melanggar hak asasi manusia, Islam lebih awal menjamin hak manusia yang utama iaitu pemeliharaan maruah. Barat yang dirujuk sebagai jaguh mempertahankan hak asasi manusia, tewas apabila sistem dan budaya mereka sendiri terbukti merosakkan maruah peribadi. Lihatlah pada kegilaan Hollywood yang menerjah kehidupan setiap individu yang bergelar selebriti dan ahli politik. Privasi individu begitu mudah dicerobohi, tambahan lagi dengan kecanggihan peralatan teknologi. Maruah manusia jadi murah, sedangkan itu adalah hak asasi utama seorang manusia.

JALANK-1

Tajassus

Ancaman utama kepada maruah seseorang ialah sesuatu yang menghina dan menjatuhkannya. Cara untuk menjatuhkan maruah seseorang ialah mengintip, mengintai, meneropong, menyelidik, mengekori, menyiasat kehidupan peribadi seseorang. Mencari-cari apakah arang hitam yang boleh diconteng ke wajah empunya diri. Dalam Islam, ia dinamakan al-tajassus.

Setelah ditemui bahan untuk di jaja, ia akan dipaparkan kepada umum. Mekanismenya mudah; e-mel berantai, weblog, SMS, mahupun siaran media. Maruah individu yang disasarkan itu dirobek-robek, imejnya dicarik, ceritanya didedah dan aibnya diperkatakan. Dilumur nista, direjam dengan kata-kata tajam dan digaul dengan pelbagai rencah cerita tokok tambah. Mangsanya tidak dikira siapa, ada politikus, ada agamawan, ada artis dan selebriti, ada tokoh tempatan dan pelbagai lagi. Semuanya ini bahana al-tajassus!

Dalam membincangkan defi nisi al-tajassus, al-Nawawi berkata:

“Sebahagian ulama menyatakan bahawa tahassus bermaksud mencuri dengar perbualan orang lain, dan tajassus bermaksud mencari keaiban dan kesalahan orang lain. Atau tajassus juga bermaksud mencari rahsia orang lain.”

“Perkataan ini kebiasaannya digunakan dalam konteks kejahatan. Pengintip (ja-sus) ini merupakan orang yang mencari rahsia orang lain untuk tujuan negatif dan penyiasat (na-mus) merupakan seorang yang mencari rahsia untuk tujuan yang baik. Dan dikatakan juga bahawa tajassus bermaksud mencari maklumat orang lain, manakala tahassus untuk dirinya sendiri. Ini merupakan pandangan al-Tha’lab. Dan ada juga pandangan yang mengatakan bahawa kedua dua istilah ini sama, iaitu mencari maklumat tentang keadaan seseorang.” (Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, jld. 16, hlm. 119)

Difahami bahawa al-tajassus bermaksud kerja-kerja meneropong setiap inci kehidupan orang lain untuk mencari ke salahannya.

Bagi seorang ahli politik, si pencari maklumat akan berusaha menyungkil apa jua penyelewengan kuasa yang mungkin dilakukan atau skandal seks yang boleh menjeratnya. Bagi artis dan selebriti, gambar mereka berfoya-foya atau tanpa pakaian pula akan disebarkan atas tujuan untuk menonjol imej buruk mangsa tersebut.

Semuanya ini ditentang secara tegas oleh Islam. Kemuliaan seorang Muslim terpelihara di sisi Allah selama mana setiap Muslim itu menjaga maruahnya sendiri dan menutup rapi kesalahannya. Justeru, janganlah lidah kita begitu mudah menyakiti saudara seagama kita, walaupun kita ingin membetulkan mereka.

Membaiki akhlak orang lain mempunyai kaedah dan adabnya yang tersendiri. Membaiki orang lain bukan bermaksud kita berhak merosakkan imej diri dan maruahnya. Ibn Umar meriwayatkan satu hadis:

Rasulullah naik ke atas mimbar dan menyeru dengan suara yang nyaring, dengan sabda: “Wahai kelompok manusia yang telah memasuki Islam dengan lidahnya sahaja dan iman tidak memasuki hatinya, maka janganlah menyakiti orang Islam yang lain. Dan janganlah menghina (mengaibkan) mereka dan janganlah mengintip aurat (kesalahan, aib dan rahsia kehidupan) mereka. Sesungguhnya sesiapa yang mengintip aurat saudara Muslimnya, maka Allah akan membuka auratnya. Dan sesiapa yang dibuka auratnya oleh Allah, maka Allah akan mendedahkan auratnya walaupun dia berada di kediamannya.”

Menerusi hadis ini Nabi s.a.w. mengingatkan kita bahawa sesiapa yang menceroboh maruah seseorang serta menceritakan aib dan kesalahan orang lain akan mendapat balasan yang serupa daripada Allah. Balasannya tunai di dunia dan juga menanti di akhirat.

Uniknya, pembalasan daripada Allah itu lebih dahsyat, iaitu Allah akan mendedahkan aib dan kesalahan si pembuat tadi walaupun dia berada di tempat yang dirasakan paling selamat.

Perawi menceritakan, Ibn Umar memandang ke Kaabah pada suatu hari, dan berkata:

“Betapa agungnya engkau (Kaabah), dan agungnya kehormatan engkau, dan maruah seorang Mukmin itu lebih besar daripada engkau (Kaabah) di sisi Allah.” (Al- Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, no. 2032)

Analogi yang dibuat oleh Ibn Umar antara maruah dan kemuliaan Kaabah itu sangat penting untuk difahami. Maruah manusia perlu dihormati dan dijaga kerana ia dipandang mulia di sisi Allah.

Seterusnya, daripada Abdullah bin Umar bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Seorang Muslim itu bersaudara dengan Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya tanpa pembelaan, sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang memudahkan kesukaran saudara Muslimnya, maka Allah akan memudahkan baginya kesukaran pada hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (aib, kesalahan, rahsia) saudaraMuslimnya, maka Allah akan menutup (aib, kesalahan, rahsia) dirinya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, no. 2310)

Malah, Nabi s.a.w. mengizinkan kita membaling batu kepada pengintip ini, bagi menunjukkan bahayanya gejala ini. Nabi bersabda, maksudnya: “Jika seseorang mengintip kamu tanpa keizinan lalu kamu membalingnya dengan batu lantas membutakan matanya, maka tiada dosa atas kamu.” (Riwayat al- Bukhari dalam al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, no. 6506)

JALANK-2

Menghukum pada yang Zahir

Islam menghukum sesuatu pada zahirnya. Kita tidak dibenarkan mencari-cari kesalahan orang sehingga ke lubang cacing, bagi membuktikan ia telah melakukan satu perbuatan maksiat, kesalahan dan dosa. Daripada Zaid bin Wahab:

Seseorang mendatangi Ibn Mas’ud dan memberitahunya: “Pada seseorang ini terdapat arak yang menitis dari janggutnya.” Maka Abdullah berkata: “Sesungguhnya kita telah dilarang daripada mengintip kesalahannya tetapi sekiranya dia jelas kelihatan pada kami, kami akan bertindak.” (Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, no. 4890)

Dapatlah difahami bahawa titisan arak di janggut memang boleh mengaitkan seseorang dengan jenayah meminum arak. Tetapi, ia belum boleh mensabitkan hukuman untuknya. Islam menegaskan bahawa tuduhan dan hukuman tidak boleh dikenakan ke atas seseorang, melainkan jika terdapat saksi yang cukup. Ibn Mas’ud dalam athar di atas menerangkan, bahawa kita dilarang daripada mengintip kesalahan orang lain. Ini bermakna, kita tidak perlu mengintip dan tidak boleh mengikuti orang itu pulang ke rumahnya atau ke tempat persembunyiannya untuk melihat sama ada dia meminum arak atau tidak.

Perkara ini banyak mengelirukan orang ramai, terutamanya dalam kalangan mereka yang beriltizam dalam usaha mencegah kemungkaran, ada kalanya kita melanggar sempadan yang ditetapkan oleh Islam. Sempadan agar kita menjaga maruah orang Islam lain, yang sama akidah dengan kita.

Al-Nawawi berpendapat:

“Bukanlah amar makruf nahi mungkar itu bermaksud mencaricari kesalahan orang, mengintip, memecah masuk rumah dengan sangkaan sahaja, tetapi maksud amar makruf ialah apabila dia bertemu dengan kemungkaran di hadapan matanya, dia mengubahnya dengan bersungguh-sungguh.” (Al-Nawawi, Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim)

Jika kita ternampak “dua merpati sejoli” sedang mabuk cinta di pinggiran tasik, datang dan tegurlah dengan baik. Bukannya ditunggu sehingga aksi panas mereka dirakamkan. Kemudian, diedarkan untuk dipaparkan, kononnya untuk menyedarkan masyarakat umum tentang bahaya gejala sosial. Ini tindakan yang bertentangan dengan syarak.

Sewajarnya, tindakan mencegah kemungkaran lebih awal dari itu, dengan dakwah dan lisan yang baik kepada sang “merpati” itu. Merakam dengan kamera aksi panas mereka adalah satu tindakan al-tajassus yang dikeji agama. Mendedahkan kisah mereka di media juga adalah impak al-tajassus yang merobek maruah mereka. Manusia pendosa juga punya harga diri.

Tajassus yang Dibolehkan

Bagaimanapun, perlu difahami bahawa terdapat pengecualian yang dibuat oleh para ulama. Al-tajassus boleh dilakukan jika ia bertujuan untuk mengelakkan suatu jenayah itu daripada berlaku. Bukannya merakam aksi maksiat tersebut. Selain itu, disyaratkan telah mendapat laporan daripada orang yang dipercayai, yang telah mendapat maklumat awal tentang perkara itu. Ia bukannya serbuan membuta tuli.

Ibn Hajar al-Asqalani berpandangan:

“Dikecualikan daripada hukum al-tajassus sekiranya sudah jelas ia merupakan satu cara untuk menyelamatkan satu nyawa. Misalnya, seseorang yang dipercayai memberitahu atau membuat laporan bahawa seseorang telah bersedia untuk membunuh orang lain, atau seseorang telah bersama dengan perempuan untuk berzina, maka dalam keadaan ini dibolehkan tajassus, iaitu menyiasat untuk mengelakkan daripada perkara itu berlaku.” (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

Justeru, tindakan pihak berkuasa agama dalam menjalankan pencegahan kemungkaran menepati pengecualian yang dibuat oleh Ibn Hajar ini. Bagaimanapun, perlaksanaannya perlu benar-benar mematuhi syarat yang digariskan para ulama.

Al-Sittir; Yang Maha Menutupi

Sebagai manusia, kita tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sangat lemah diri kita ini, sebab itulah Allah mengharamkan kita melakukan al-tajassus. Dosa orang yang kita dedahkan pada hari ini, esok lusa mungkin giliran aib kita diceritakan orang. Kepada Allah kita bermohon agar semua “sisi hitam” hidup kita terpelihara dan maruah kita terjaga.

Sesungguhnya Allah itu Maha Menutupi dosa dan kesalahan hamba-Nya.

Allah, mempunyai satu nama dan sifat yang agung iaitu “al-Sittir”, Tuhan Yang Maha Menutupi. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Maha Penyantun, Malu, lagi Maha Menutupi (kesalahan hamba-Nya). Dia menyukai sifat malu dan menutup aib. Apabila seseorang antara kalian mandi, hendaklah dia menutup diri (daripada dilihat orang lain).” (Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, no.4012)

Allah akan menutup semua dosa hamba-Nya yang dilakukan pada waktu malam dan tidak akan mendedahkannya kepada sesiapa. Dosa kesalahan itu hanya akan terdedah jika tuan diri atau pelakunya itu sendiri yang mendedahkan kepada orang lain pada keesokan harinya. Ini bermakna, pelaku itu sendiri yang memilih untuk maruahnya dipandang rendah.

Golongan ini seumpama berbangga dengan dosa yang dilakukan, lalu dihebahkan dosa nodanya ke seantero dunia. Allah member ingatan kepada orang sebegini dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan mereka yang keji itu tersiar dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur 24: 19)

Marilah kita menjaga maruah sesama kaum Muslimin, kerana Allah akan sentiasa memelihara maruah setiap hamba-Nya walaupun dalam kalangan para pendosa. Hindarilah al-tajassus kerana ia merobek maruah manusia, sedangkan Allah tidak sesekali merobeknya.

Bahaya Al-Tajassus

Islam mengharamkan sesiapa jua daripada berusaha untuk menyelidik dan mengintip rahsia, aib, aurat, kesalahan dan perbuatan dosa yang dilakukan oleh orang lain. Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah ke banyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.” (Surah al-Hujurat: 12)

Ayat ini menjadi kerangka asas kepada pengharaman kita menceroboh hak privasi seseorang. Pengharaman ini mengkhususkan kepada sebarang usaha pencarian maklumat yang boleh mengakibatkan seseorang itu dipandang negatif.

Seterusnya, penegasan ini disokong oleh banyak hadis Nabi s.a.w. Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hendaklah kalian jauhi sangkaan kerana sesungguhnya sangkaan adalah kata-kata pembohongan yang besar, dan janganlah kamu mengintip dan janganlah kamu menyelidik perkhabaran, dan janganlah kamu bermasam muka dan hendaklah kamu menjadi bersaudara... (Riwayat al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, jld. 5, hlm. 1976, no. 4849)

Maksud al-tajassus ialah mengintip aib, kesalahan dan rahsia orang lain. Ia berbeza dengan “al-tahassus” yang turut dinyatakan oleh hadis di atas.

Mohd. Al-Adib Samuri
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Mohd. Al-Adib Samuri

Lulusan Undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kini bertugas sebagai tenaga akademik di Jabatan Syariah, UKM. Penulisannya boleh dibaca di blognya; www.aladib.net. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ph.D. dalam bidang Undang-undang Perbandingan.

Kembali ke atas