Menu

 

A+ A A-

BILA AKU AKAN BERTAUBAT?

BAB taubat dimulakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riadhus Solihin dengan menyebut tiga syarat untuk setiap manusia bertaubat dengan taubat yang sempurna. Meninggalkan maksiat tersebut dengan serta-merta, menyesali perbuatannya dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

Namun sekiranya perbuatan dosanya itu mempunyai kaitan dengan manusia lain, maka satu lagi syarat diperlukan iaitu berusaha menyelesaikan perkara itu dengan orang yang dianiayainya seperti memulangkan sesuatu yang diambil tanpa kebenaran, meminta maaf kerana telah memfitnah dan  sebagainya.

Kenapa kita perlu bertaubat? Orang yang berdosa diibaratkan seperti orang yang telah jauh menyimpang dari jalan sebenar lalu dia perlu mencari jalan pulang agar tidak terus tersasar. Nyata sekali taubat itu adalah satu kewajipan ke atas setiap manusia. Bukan semata-mata kerana ia adalah perintah Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, malah disebabkan oleh kelemahan manusia itu sendiri yang sering melakukan kesilapan dan dosa.

Apabila Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk bertaubat seperti maksud ayat 31 daripada surah al-Nur, ayat 3 surah Hud dan ayat 8 surah al-Tahrim, kita sepatutnya faham bahwa diri kita amat memerlukan taubat. Malah di dalam ayat 31 surah al-Nuur dan ayat 8 surah al-Tahrim, Allah s.w.t. mengaitkan perintah itu dengan seruan

‘wahai orang-orang yang beriman’ lantas menampakkan bagaimana taubat itu merupakan antara sifat mulia seorang Mukmin.

Secara keseluruhan, kita dapati Rasulullah s.a.w. amat mengambil berat tentang taubat agar ia benar-benar difahami oleh umat Baginda.

Dalam hadis pertama dan kedua yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi, baginda memerintahkan kita agar beristighfar dan bertaubat bahkan memaklumkan bahawa Baginda sendiri bertaubat setiap hari sebanyak 70 hingga 100 kali!

Di dalam hadis seterusnya Baginda menjelaskan bahawa Allah s.w.t. terlalu menyukai seorang hamba yang ingin bertaubat. Tidakkah kita ingin disayangi oleh Allah s.w.t.? Kenapa perlu menangguhkan taubat?

Empat hadis seterusnya menjelaskan tentang sifat Allah s.w.t. yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang membuka pintu taubat setiap hari dalam masa 24 jam.

Malah Allah s.w.t. telah mencipta satu pintu yang dinamakan pintu taubat. Pintu ini dibuka sebagai melambangkan betapa taubat itu masih diterima dan luasnya (seperti yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w.) adalah seluas perjalanan 70 tahun dalam keadaan menunggang binatang tunggangan! Inilah keadaannya setiap hari sehinggalah tibanya waktu hampir kiamat di mana tidak berguna lagi taubat orang-orang yang ingin bertaubat.

Kenapa perlu kita melambat-lambatkan taubat sekiranya ini keadaannya? Ternyata, jika kita tidak mahu bertaubat, ia bakal menjadi penyesalan tak terhingga di akhirat nanti.

Mungkin timbul pertanyaan di lubuk hati kita: ”Saya telah melakukan banyak dosa, adakah taubat saya juga akan diterima?”

Hadis-hadis seterusnya yang disusun oleh Imam al-Nawawi menjawab persoalan ini.

Hadis pertama ialah tentang kisah seorang lelaki pada satu masa dahulu yang melakukan dosa membunuh. Malah dosa itu kelihatan amat besar kerana beliau telah membunuh 100 jiwa manusia yang tanpa sebarang kesalahan. Namun setelah dinasihati oleh seorang yang berilmu, beliau telah berazam untuk bertaubat dengan sebenar-benarnya lantas taubatnya itu diterima oleh Allah s.w.t. (Riwayat Ahmad dan Muslim)

Kisah kedua pula ialah tentang peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w., iaitu tiga orang pemuda di kalangan Sahabat yang tidak pergi berperang walaupun telah diarahkan oleh baginda sendiri. Ka’ab Ibn Malik, Murarah Ibn alRabi’ dan Hilal Ibn Umayyah tersilap langkah, yakni tidak menyahut seruan jihad dalam peperangan Tabuk. Maka Allah s.w.t. memerintahkan Rasulullah s.a.w. dan orang-orang Islam agar memulaukan mereka untuk tempoh tertentu. Ketiga-tiga orang Sahabat itu telah menyesali perbuatan mereka dan telah bertaubat dengan ikhlas. Akhirnya, turunlah ayat 117 hingga 119 surah al-Taubah, menandakan taubat mereka diterima Allah s.w.t.

Kisah ketiga pula ialah tentang seorang wanita yang telah terlanjur lalu melakukan zina dalam keadaan dirinya telah berkahwin. Setelah dihukum dengan hukum Allah s.w.t. iaitu rejam sehingga mati, Rasulullah dan para Sahabat telah menguruskan jenazahnya dan baginda sendiri yang menjadi imam solat jenazah tersebut. Maka ketika itu Umar Ibn al-Khattab bertanya: ”Adakah engkau solat ke atasnya wahai Rasulullah, sedangkan dia telah berzina?” Jawab baginda: ”Sesungguhnya wanita ini telah bertaubat dengan taubat yang boleh dibahagikan kepada 70 orang ahli Madinah. Adakah yang lebih baik daripada dirinya bersungguh-sungguh menyerah diri kepada Allah?” (Riwayat Muslim)

Di dalam dua hadis Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa Allah s.w.t. akan menerima taubat daripada orang yang benar-benar bertaubat. Rasulullah menceritakan bahawa ada seorang lelaki yang mana ketika kafir pernah membunuh seorang tentera Islam. Namun setelah dia memeluk Islam dan bertaubat, beliau telah terkorban syahid di medan jihad. Itulah lambang pembalasan Allah s.w.t. terhadap diri manusia yang benar-benar ikhlas dalam bertaubat.

Ayuh kita kuatkan semangat dan cekalkan hati agar mengakui kesilapan diri. Mari kita bertaubat dengan meninggalkan perbuatan maksiat yang pernah kita lakukan, menyesali perbuatan tersebut dengan penuh ikhlas dan berazam serta berusaha menjauhinya sedaya mampu pada masa depan.

Ustaz Adlan Abdul Aziz
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu Perdana


Ustaz Adlan Abdul Aziz

Lulusan Ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Arab, Universiti Al al-Bayt, Jordan. Mendapat ijazah penyampaian hadis bersanad dari Muhaddis Jordan terkemuka, Al-Arnaut. Kini berkhidmat sebagai guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Kembali ke atas