Menu

 

A+ A A-

MENGINJAK MUNGKAR DENGAN KASIH SAYANG

RASULULLAH S.A.W. mempunyai akhlak mulia yang tinggi sehingga Allah s.w.t. memuji akhlak Baginda. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Qalam ayat 4 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar di kemuncak akhlak yang agung.”

Dalam sebuah hadis riwayat al-Baihaqi, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” Peribadi siapakah yang patut kita contohi? Lihatlah Rasulullah s.a.w., bagaimana Baginda s.a.w. menghadapi orang yang jahil ketika berhadapan dengan seorang Arab Badwi yang membuang najis kecil di dalam masjid.

menginjak-mungkar-2

KISAHNYA:

Pada satu ketika, tiba-tiba sahaja seorang Arab Badwi masuk ke dalam masjid dan membuang najis kecil di hadapan Rasulullah s.a.w. Lalu para sahabat menghampirinya untuk menghalang perbuatannya. Namun Rasulullah s.a.w. melarang para sahabat dengan bersabda: “Jangan kamu putuskan kencingnya.” Kemudian setelah orang Arab Badwi itu selesai, Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: “Bahawa masjid-masjid ini tidak patut untuk suatu kotoran, najis kecil dan najis besar.” Dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dekatilah dia, jangan kamu jauhkan.”

menginjak-mungkar-3

KISAH KEDUA PULA:

Pada suatu hari datang seorang Arab Badwi berjumpa Rasulullah s.a.w. untuk meminta sesuatu. Nabi s.a.w. memberikan apa yang dipintanya seraya bersabda:

“Aku telah berbuat baik kepadamu.” Arab Badwi itu marah dan menjawab, “Tidak, engkau tidak memberi kebaikan kepadaku!” Para sahabat yang mendengar kata-kata Arab Badwi itu menjadi marah dan segera bangun untuk menangkapnya. Tetapi Nabi s.a.w. memberi isyarat kepada mereka agar jangan bertindak apa-apa.

Kemudian Baginda berdiri dan masuk ke rumahnya. Baginda menambahkan pemberiannya kepada Arab Badawi tersebut seraya bersabda: “Aku telah berbuat baik kepadamu.” Arab Badwi itu menjawab, “Ya, benar! Kiranya Allah s.w.t. membalas dengan kebaikan kepada engkau dari keluarga dan kerabat.” Lalu Nabi s.a.w. bersabda kepadanya: “Bahawa engkau telah mengatakan apa yang engkau katakan. Kalau engkau suka, katakanlah yang demikian itu di hadapan para sahabatku. Sehingga hilang dari dada mereka apa yang ada di dalamnya (kemarahan) terhadap engkau.” Arab Badwi menjawab, “Ya, baik.” Lalu Nabi s.a.w. bersabda di hadapan para sahabatnya: “Bahawa orang Badwi ini telah mengatakan apa yang telah dikatakannya. Lalu kami tambahkan pemberian kepadanya. Maka sekarang ia telah merasa senang. Benarkah demikian?” Arab Badwi itu menjawab: “Ya, benar. Kiranya Allah s.w.t. membalas dengan kebaikan kepada engkau, dari keluarga dan kerabat.”

Selepas itu Nabi s.a.w. bersabda: “Bahawasanya aku dan orang Badwi ini adalah seperti seorang lelaki yang mempunyai seekor unta yang telah lari daripadanya. Lalu orang ramai datang cuba untuk menangkapnya. Namun unta itu bukanlah semakin dekat, malah bertambah jauh larinya. Lalu pemilik unta pun memanggil mereka dan berkata, ‘Biarkan aku dengan untaku.

Maka sesungguhnya aku lebih sayang dan lebih memahami unta itu.’ Kemudian pemilik unta itu menghampiri untanya sambil membawa rumput. Dengan perlahan-lahan dia merapati tubuh unta itu dan menyapunya. Akhirnya dapatlah dia mengikat alat kenderaan ke atas unta itu serta mengenderainya. Dan sesungguhnya aku, jikalau aku biarkan kamu bertindak sesuatu terhadap Arab Badwi ini, lalu kamu membunuhnya, nescaya masuk nerakalah dia.”

menginjak-mungkar-1

Begitulah juga kita yang hidup zaman serba moden ini. Diharapkan sama-samalah kita menangani kemungkaran dengan bijaksana. Usahlah kita melawannya dengan emosi yang tiada sudahnya. Jika kita boleh berhemah dengan ibu bapa dan guru, tidak mustahil kita boleh berhemah dengan rakan-rakan dan orang lain.

Ustaz Mohamad Wahid Hanif

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.1


Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas