Menu

 

A+ A A-

IMAM AL-SUBKI: HUKUM MERIWAYATKAN HADIS PALSU

Hukuman Hudud di Akhirat

ADA seseorang yang suka minum arak dan bermaksiat terhadap Allah. Namun ia tidak pernah melakukan dosa yang berkaitan dengan hak manusia. Jika kemudiannya ia bertaubat dengan taubat nasuha, adakah di akhirat nanti ia tetap akan menerima hukum hudud (atas dosa arak itu)?

Jawapan:

Saya berpendapat bahawa ia tidak akan menerima hukum hudud di akhirat nanti, insya-Allah. Para fuqaha hanya berbeza pendapat tentang gugurnya hukum hudud di dunia sahaja. Sebabnya, kita tidak dapat menilai kemurnian taubat orang tersebut. Adapun di akhirat, maka Allah Maha Mengetahui isi hati manusia dan memberi ganjaran atasnya. Jika Allah melihat ketulusan taubat seorang hamba, maka Dia tidak akan menghukumnya. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Taubat telah menghapuskan (dosa-dosa) sebelumnya.” Tiada ulama yang mempertikaikan perkara ini.

hukum-meriwayatkan-hadis-palsu-1

Hadis Menuntut Ilmu

Apa pendapat para ulama berkenaan hadis yang matannya berbunyi: “Menuntut ilmu itu satu kewajipan”? Adakah hadis ini sahih atau tidak? Ada orang mengatakan hadis ini ada dalam Sahih al-Bukhari. Ada yang kata, ia ada dalam Sahih Muslim. Namun ada juga yang mengatakan ia tidak sahih sebagaimana yang dinukilkan daripada Imam Ahmad.

Jawapan:

Semoga Allah memberi anda ilham kepada kebenaran. Alhamdulillah. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Hisyam bin Ammar daripada Hafs bin Sulaiman daripada Kathir bin Shinzir daripada Muhammad bin Sirin daripada Anas bin Malik daripada Nabi: “Menuntut ilmu itu satu kewajipan atas setiap Muslim. Orang yang memberikan ilmu kepada bukan ahlinya ibarat memberikan rantai emas dan permata kepada seekor khinzir.”

Kathir bin Shinzir diperselisihkan ulama. Ada yang menilainya sebagai lemah dan ada yang menilainya thiqat (terpercaya).

hukum-meriwayatkan-hadis-palsu-2

Hukum Meriwayatkan Hadis Palsu

Apakah pendapat para ulama tentang hadis yang sering disebutkan oleh orang awam bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengumpulkan harta daripada pelbagai sumber yang haram, maka Allah akan menghumbankannya ke pelbagai tempat kebinasaan.”? Adakah hadis ini sahih daripada Nabi? Adakah ia terakam dalam kitab-kitab hadis yang sahih seperti al-Bukhari, Muslim, al-Muwatta, al-Tirmizi dan lain-lain atau tidak? Jika tidak sahih dan tidak terdapat dalam kitab-kitab ini, berdosakan orang yang menyebutkannya dan apakah dia mesti dihukum kerana membuat pendustaan terhadap Nabi? Apa yang mesti dilakukan oleh pihak berkuasa berkenaan dengan perkara ini? Mohon diberikan fatwa kepada kami.

Jawapan:

Alhamdulillah. Hadis ini tidak sahih, tidak juga terdapat dalam kitab-kitab tersebut. Mana-mana orang awam yang menyebutkannya dan dia mengetahui bahawa hadis ini tidak sahih, maka ia berdosa. Jika tidak mengetahuinya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu dihukum. Melainkan sesudah mengetahuinya dia tetap berkeras menisbahkannya kepada Nabi. Setakat menyebutkan sahaja, tidak dikira menisbahkan riwayat tersebut. Tidak ada hukuman apa-apa jika dia jahil, tetapi mesti diajarkan. Jika dia menolak dan berdegil, maka dia boleh dihukum bersesuaian dengan keadaannya.

Wallahu a‘lam.

Imam Taqiyuddin Ali bin Abdul Kafi al-Subki

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Imam Taqiyuddin Ali bin Abdul Kafi al-Subki

Beliau dilahirkan di Subk, Mesir pada tahun 683 H. Beliau seorang pakar fiqah yang diakui mencapai darjat mujtahid sekaligus seorang ahli hadis yang bergelar hafiz. Beliau berpindah ke Syam untuk memangku jawatan kadi pada tahun 739, kemudiannya sakit dan kembali ke Mesir. Beliau wafat pada tahun 756H.

Kembali ke atas