Menu

 

A+ A A-

MEMBURU BAKI 99 RAHMAT ILAHI

Saya Mulakan Makalah Ini Dengan Lafaz, “Bismillahir-Rahmanir-Rahim.” Itulah Lafaz ‘Basmalah’, Sebaik-Baik Kalimah Pemula Bicara Atau Tindakan. Sebut Sahaja Lafaz ‘Basmalah’ Ini, Pasti Kita Semua Sedia Maklum Bahawa Dalam Lafaz Yang Ringkas Ini Mengandungi Dua Nama Allah; Al-Rahman Dan Al-Rahim.

Kedua-dua lafaz ini ibarat aur dengan tebing, susah untuk dipisahkan. Di mana ada kalimah al-Rahman, di situ juga ada kalimah al-Rahim. ini kerana kedua-dua kalimah ini saling berkait. Di samping kedua-dua kalimah ini diekstrak daripada kata dasar (‘root word’) yang sama iaitu ‘rahi-ma’, kalimah ini juga mempunyai maksud yang hampir sama walau tidak serupa.

99 RAHMAT

Dalam riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman: ‘Aku adalah al-Rahman. Aku ciptakan rahim, aku ambilkan untuknya nama yang berakar umbi daripada nama-Ku. sesiapa yang menyambungnya (silaturahim), aku sambung (rahmatku) baginya dan sesiapa yang memutuskannya, aku bagikan (rahmatku untuknya).’”

Jika dalam konteks bahasa Melayu, perkataan ‘rahim’ dan ‘silaturahim’ yang dipinjam daripada bahasa Arab ini mempunyai perkaitan dengan nama Allah ini.

1/100 Rahmat
Pada hari Allah menciptakan bumi, Allah ciptakan 100 rahmat. Disimpan di sisi-Nya 99 rahmat, manakala baki 1 rahmat diberikan kepada makhluk-Nya. Dalam riwayat al-Bukhari, Abu Hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w., sabda Baginda yang bermaksud: “Allah mencipta rahmat dalam 100 bahagian. Dia menahan di sisi-Nya 99 bahagian (rahmat) dan menurunkan ke bumi satu bahagian sahaja.”

Bayangkan semua makhluk berkongsi hanya 1 rahmat tersebut, itu pun sudah tidak tersambut rahmat yang melaut luas, apatah lagi bakinya yang bakal dinikmati di syurga kelak. Dengan hanya satu rahmat sahaja pun manusia sudah terpesona dengan dunia dan isinya, apatah lagi baki 99 rahmat.

Baki 99 rahmat inilah yang digambarkan oleh Allah s.w.t. menerusi sebuah hadis kudsi dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh, sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengari oleh telinga dan tidak terlintas di hati manusia.”

99 RAHMAT 1

Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “sesungguhnya Allah s.w.t. memiliki 100 rahmat (nikmat) satu rahmat daripadanya diturunkan-Nya dan dibahagi-bahagi di antara jin, manusia, haiwan-haiwan besar dan kecil. Dengan rahmat yang satu itu, semua makhluk tersebut. saling sayang menyayangi dan kasih mengasihi. Dengan rahmat yang satu itulah seekor keldai liar menyayangi anaknya. Adapun rahmat yang 99 lagi disediakan Allah s.w.t. buat kehidupan di akhirat. Dengan rahmat yang 99 itulah Allah akan mengasihi hamba-Nya pada hari kiamat.”

Perhatikan dialog antara Rasulullah s.a.w. dan sahabat ini dalam riwayat al-Bukhari: Rasulullah s.a.w.: “Amal seseorang tidak mampu menjamin dirinya.”
Sahabat: “Apakah termasuk engkau, wahai Rasulullah?”
Rasulullah s.a.w.: “Ya, termasuk aku juga. Hanya rahmat Allah.” sudah terang lagi bersuluh.

Sifat Penyayang Allah s.w.t. tidak mampu disangkal oleh sesiapa pun. Disenaraikan di sini terhadap kita sebagai hamba:
1.    Allah mengutuskan para nabi dan rasul bagi membimbing umat manusia.
2.    Allah menyediakan panduan kepada umat manusia berupa al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
3.    Rahmat Allah mendahului kemurkaan-Nya.
4.    Allah s.w.t. lebih penyayang terhadap hamba-Nya daripada ibu dan ayah terhadap anaknya.

Rahmat mendahului kemurkaan-Nya
Rasulullah s.a.w. meriwayatkan sebuah hadis qudsi yang begitu masyhur. sekali telinga mendengar atau sekali mata tertancap pada matan hadis ini, pasti hati akan mampu merasai kasih sayang-Nya terhadap kita sebagai hamba walau sering kali khilaf menghiasi diari harian sebagai Muslim.

Dalam riwayat al-Bukhari, daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman yang bermaksud: ‘Rahmat-Ku mendahului murka-Ku.’”

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“ALLAH MENCIPTA RAHMAT DALAM 100 BAHAGIAN. DIA MENAHAN DI SISI-NYA 99 BAHAGIAN (RAHMAT) DAN MENURUNKAN KE BUMI SATU BAHAGIAN SAHAJA.”
{ Riwayat al-Bukhari }

Oleh Husna Hassan
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Husna Hasan

Lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Terkini daripada Husna Hasan

Kembali ke atas