Menu

 

A+ A A-

TANGGUH BAYAR HUTANG SUATU PENZALIMAN

"USTAZ saya dah cuba mohon pembiayaan daripada bank Islam tetapi mereka menolak, adakah saya berdosa jika dapatkan pinjaman daripada bank konvensional pada ketika itu?” Demikian pertanyaan seorang pemuda sekitar umur 30-an kepada saya sejurus selepas kuliah yang panas berkaitan isu kewangan semasa di sebuah masjid. “Dah puas saya pohon dari bank Islam, tapi semuanya kena tolak.

Kata nak selamatkan orang daripada riba, tetapi kenapa tolak permohonan saya,” komen seorang lagi menerusi SMS. “Cerewet benar prosedurnya, patutnya dimudahkan orang yang selamat daripada riba ni. Ini tidak, kena tolak pula, maka jadi daruratlah untuk ambil konvensional kan ustaz?” kata seorang ibu kepada tiga orang anak ini ketika waktu “break” Kursus Kewangan Islam.

 

Adakah Dikira Darurat atau Hajiyyat apabila Permohonan Ditolak?

“Belum lagi.” Itu jawapan ringkas saya. Hujahnya telah saya sebutkan dahulu iaitu: Kaedah Fiqah menyebut: “sesungguhnya apa yang diharuskan kerana darurat Sesungguhnya memerlukan keyakinan akan wujudnya darurat tersebut setelah usaha pencarian (yang halal).” (Syarhul Umdah,1/426 ) Justeru dalam hal ini,adakah sudah cukup digelar darurat atau hajiyyat sedangkan baru satu bank Islam yang menolak.

Sudah tentu belum, anda perlu mencuba di semua bank-bank Islam dan pelbagai jendela perbankan Islam di Malaysia, sebelum boleh mendakwa anda dalam “keadaan darurat” atau terdesak untuk terlibat dengan riba di bank konvensional. Berikut senarai bank Islam dan Jendela Perbankan Islam yang wujud di Malaysia. Institusi kewangan yang turut menawarkan perkhidmatan produk Islam. Ia adalah seperti berikut:

  • Bank Perusahaan Kecil dan sederhana
  • Malaysia Berhad (sMe Bank).
  • Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.
  • export-Import Bank of Malaysia Berhad.
  • Bank Pertanian Malaysia.
  • Bank simpanan Nasional Berhad.*

 

Jika semua bank-bank ini menolak permohonan anda kerana tidak mempunyai kelayakan atau disenaraihitamkan, anda boleh mencuba beberapa koperasi yang menawarkan Pembiayaan Islam. (Namun ia hanya bagi yang layak sahaja seperti kakitangan kerajaan). Bagi Insuran Islam atau Takaful pula, anda wajib mencari perlindungan daripada mana-mana syarikat Takaful yang diiktiraf berikut terlebih dahulu. Ia seperti berikut:

  • CIMB Aviva Takaful Berhad.
  • Hong Leong Tokio Marine Takaful Berhad
  • HsBC Amanah Takaful (M’sia) Berhad.
  • MAA Takaful Berhad.
  • Prudential BsN Takaful Berhad.
  • syarikat Takaful Malaysia Berhad.
  • Takaful Ikhlas sdn. Bhd.
  • Takaful Nasional sdn. Bhd

 

muamalat tangguh hutang 1 penzaliman-2

Semakan Latar Belakang Kewangan

Setiap bank dan pengendali takaful mempunyai cara semakan kemampuan individu “credit checking” yang tersendiri. Tidak semestinya jika permohonan anda ditolak di sebuah bank Islam bermakna bank Islam yang lain juga akan menolak.Setiap bank mempunyai cara pemasaran dan strategi masing-masing. Contohnya, Asian Finance Bank tidak menawarkan pembiayaan kenderaan, Bank Islam Malaysia Berhad pula difahamkan tidak membiayai pembelian kereta terpakai (used car), RHB Islamic Bank pula menawarkan pembiayaan kereta terpakai, tetapi pada jenama kereta tertentu. Justeru, tidak boleh dipukul rata semua bank Islam atau institusi kewangan Islam akan menolak jika satu bank menolak.

Jika kesemua institusi kewangan di atas menolak permohonan anda, barulah kaedah hajiyyat atau darurat boleh terpakai, itu pun dalam konteks yang terbatas sebagaimana disebutkan: “Apa-apa yang diharuskan kerana sebab darurat, adalah dibataskan dengan batasan tertentu.” (Al-Ashbah Wa al-Nazair, Al-Suyuti, 1/82; Hawashi Al- Syarwani, 3/27) Ia mensyaratkan penggunaan minimum dan mempunyai had tertentu. Ertinya wajib dihadkan kepada jumlah dan kadar sekadar menampung keperluan mendesak sahaja, tanpa bermewah dan mengambil kesempatan pula.

Dalam konteks rumah, ia adalah rumah pertama untuk didiami sahaja dan bukan rumah bagi tujuan pelaburan melalui sewa atau lain-lain. Mungkin tidak semua bank Islam menyemaknya tetapi secara umum mereka perlu meneliti perkara-perkara ini bagi memastikan transaksi yang ingin dimeterai dengan pelanggan adalah satu perniagaan yang berisiko agak kurang atau risiko. Apa yang disebut hanyalah beberapa info ringkas sahaja, sekadar memberi gambaran kasar kepada pembaca. Setelah semua ini disemak, barulah bank akan membuat keputusan: melulus atau menolak permohonan pelanggannya.

muamalat tangguh hutang 1 penzaliman

Wajarkah Bank Islam Tolak?

Setelah kita mengetahui cara semakan pihak bank, persoalan seterusnya adalah, wajarkah sebuah bank Islam menolak permohonan pembiayaan pelanggan yang inginkan proses halal dalam pemilikan kereta, rumah atau lain-lainnya?

Pertama: Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, bank adalah sebuah entity perniagaan. Sudah tentu ia tidak akan mendedahkan diri kepada risiko berurusan dengan individu yang dijangka tidak mempunyai kemampuan (menurut piawaian mereka) untuk membayar hutang jual beli aset yang akan di laksanakan Contoh mudah, jika kita mempunyai sebuah rumah yang ingin disewakan. Kemudian datang seorang lelaki yang berminat untuk menyewa tetapi ia tidak mempunyai sebarang kerja yang kukuh. Kos sewaan sebulan yang anda tawarkan adalah RM800, lantaran anda perlu mem bayar ansuran bulanan bank sebanyak RM750. Adakah anda sanggup menyewakannya?

Dalam hal ini anda terpaksa membuat bajet yang tepat bagi meraih untung dan dalam masa yang sama memastikan bayaran bulanan kepada bank mampu dilunaskan. Demikian halnya sebuah bank, ia mempunyai tanggung jawab bagi memastikan individu yang melabur dengannya boleh mendapat pulangan yang baik, bagi memastikan keuntungan mampu dicapai. Kesimpulannya, sama ada anda mahu menyewakan rumah anda kepada pelanggan seperti ini atau tidak, ia akan bergantung kepada pengurusan dan standard atau piawaian anda selaku pemilik aset. Jika anda meneliti buku-buku pakar kewangan, sudah pasti mereka menyarankan anda agar tidak menyewakannya, kecuali kepada orang yang mempunyai tahap kewangan yang meyakinkan.

Kedua: Dari sudut Islam pula, jika ada yang ingin meminjam wang daripada anda, adalah elok anda mepastikan tahap amanah dan potensi mereka untuk membayar hutangnya kelak, kecuali jika anda sudah berniat dari awal untuk disedekahkannya ke pada peminjam pada waktu kesusahannya. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: “Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Menghalalkan hutang merupakan satu tindakan yang amat terpuji dan sesuai dilakukan secara individu tapi untuk mengharapkan sebuah entiti perniagaan seperti bank Islam menyedekahkan sahaja hutang yang berjumlah berpuluh ribu ringgit itu, ia mungkin agak keterlaluan. Justeru, jika kita tidak berniat untuk menghalalkannya atau memberikan tempoh lebih panjang pada waktu peminjam sukar, eloklah kita jangan memberikan hutang itu kerana ia boleh menjerumuskan si peminjam ke dalam pelbagai dosa seperti hadis ini: Baginda menyebut: “sesungguhnya seseorang itu apabila ia berhutang, ketika ia berbicara ia kerap berdusta, apabila berjanji ia kerap mengingkarinya.” (Riwayat al-Bukhari) Dan juga sebuah hadis lain: “Penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman.” (Al-Bukhari, 3/55)

Bagi orang sebegini, para ulama menyatakan harus hukumnya untuk ditangkap dan dijatuhkan hukuman takzir. Imam al-Haithami pula mengatakan: “Orang berkemampuan tapi menangguhkan melunas hutang dengan sengaja dikira sebagai salah satu daripada dosa besar.” [Al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 1/250] .¤

 

*Sumber: Bank Negara Malaysia

**Sumber: Bank Negara Malaysia, setakat Julai 2007.

 

Ustaz Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

 


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas