Menu

 

A+ A A-

PROSES POLIGAMI MENYUSAHKAN?

Ditulis oleh 

SOALAN: Saya telah berumah tangga selama 12 tahun dan mempunyai dua cahaya mata. Ditakdirkan, saya telah berkawan rapat dengan seorang gadis sehingga menimbulkan rasa cinta dan sayang. Kami merancang untuk berkahwin. Beliau mengetahui kedudukan saya yang sudah mempunyai isteri, malah turut mengenali isteri saya itu. Saya mungkin tidak akan memberitahu isteri saya hasrat untuk berkahwin lagi, kerana saya tahu sudah tentu dia tidak bersetuju. Saya tidak mahu berpisah dengan isteri saya kerana saya tetap sayang kepadanya dan juga anak-anak. Adakah syariat membenarkan berkahwin tanpa keizinan isteri pertama? Bolehkah saya berkahwin tanpa berdaftar di mahkamah syariah, kerana difahamkan banyak prosedur yang menyusahkan?

Poligami atau dalam istilah fiqah, ta’addud zawaj pada dasarnya adalah mubah, yakni diharuskan. Mengikut syariat Islam, seorang lelaki dibenarkan berkahwin lebih daripada seorang isteri. Berpoligami sememangnya mengandungi banyak maslahat yang sangat besar bagi kaum lelaki, wanita dan umat Islam secara keseluruhan. Ini kerana, menerusi poligami dapatlah tercapai pola hidup “menundukkan pandangan” (ghaddul bashar) yang sangat dituntut dalam agama, selain terpeliharanya kehormatan, melahirkan keturunan yang banyak dan pelbagai manfaat lagi.

Justeru, soal kebenaran berpoligami merupakan satu perkara yang jelas dan tidak perlu lagi dihuraikan. Walau bagaimanapun, perlulah diingat bahawa prinsip terpenting dalam poligami ialah berlaku adil. Jika kita melihat kepada siyaqul - ayah dalam konteks Surah alNisaa’ ayat 3, memang disyaratkan suami mesti adil. Jikalau diteliti, perkara ini ditekankan oleh Allah dalam ayat  tersebut, yang bermaksud:

“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu menikahinya), maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senang; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”

Jadi, syarat utama poligami ialah adil terhadap isteri, baik dalam nafkah zahir dan batin, ataupun dalam perhatian, kasih sayang, perlindungan serta pembahagian waktu giliran. Jangan sampai salah satunya tidak diberi dengan cukup. Apatah lagi jika kesemuanya tidak diberi dengan cukup, maka hal itu adalah satu kezaliman.

Untitled
Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan menekankan soal keadilan dalam peruntukan berkaitan poligami. Dan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor diperuntukkan bahawa keizinan mahkamah syariah diperlukan sebelum seseorang itu boleh berpoligami.

Merujuk soalan di atas, saudara tidak seharusnya berasa bimbang dan khuatir untuk berurusan di mahkamah bagi mendapat kebenaran poligami. Mungkin ada rakan-rakan yang sengaja menakut-nakutkan, kononnya pihak mahkamah akan melambat-lambatkan dan menyusahkan permohonan berpoligami. Sebenarnya, pihak mahkamah akan memanggil isteri yang sedia ada bersama bakal isteri ke mahkamah untuk memberi keterangan berkaitan dengan permohonan tersebut.

Seksyen 23 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, contohnya, memperuntukkan bahawa suami perlu mendapatkan dan mengemukakan satu kebenaran bertulis di mahkamah untuk berpoligami. Manakala seksyen 23 (4) Enakmen tersebut menggariskan beberapa prosedur untuk suami yang ingin berpoligami. Mahkamah akan meneliti mengenai alasan-alasan yang dikemukakan oleh suami untuk berpoligami, antaranya termasuk: Pendapatan terkini suami. Butir-butir tanggungan kewangannya. Bilangan orang di bawah tanggungannya. Izin/pandangan isteri yang sedia ada.

Menurut seksyen 23 (5) Enakmen tersebut pula, apabila menerima permohonan poligami, mahkamah akan memanggil suami, isteri yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang lain untuk memberi keterangan terhadap perkahwinan tersebut.

Selain itu di Selangor, seseorang suami yang ingin memohon berpoligami perlu mengisi Borang 1B, iaitu borang permohonan berpoligami. Suami perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pendaftar atau Pendaftar atau Timbalan Pendaftar atau Penolong Pendaftar Nikah bagi kariah masjidnya dengan membawa dua orang saksi lelaki.

Untitled3

Oleh yang demikian, apabila dipanggil oleh mahkamah pada tarikh yang ditetapkan, isteri sedia ada akan tampil ke mahkamah untuk memberi keterangan agar mahkamah berpuas hati sama ada: Perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu jika ada hal keadaan seperti kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, gila di pihak isteri dan sebagainya. Bahawa suami berkemampuan dari segi hukum syarak dengan melihat jumlah tanggungan sedia ada dan bakal ditanggung. Bahawa suami berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut hukum syarak dan; Bahawa perkahwinan dicadangkan tidak menyebabkan dharar syari’e (mudarat dari segi syarie) kepada isteri yang sedia ada.

Apabila isteri sedia ada tersebut memberi keterangan mengenai perkara-perkara yang ditimbulkan seperti di atas, pihak mahkamah akan menilai sama ada kesemua perkara (a) hingga (d) di atas telah dipenuhi. Dan sekiranya mahkamah berpuas hati kesemuanya telah dipenuhi maka barulah mahkamah membenarkan poligami tersebut, walaupun tanpa persetujuan isteri sedia ada.


Implikasi Perkahwinan Tanpa Kebenaran Mahkamah

Sekiranya saudara tidak mendapat kebenaran berpoligami dari mahkamah sebaliknya pergi ke luar daerah untuk berkahwin, maka isteri sedia ada boleh membuat aduan mengenai perkara tersebut di Jabatan Agama Islam Negeri atau di Pejabat Agama Islam Daerah. Jika disabit kesalahan, menurut Seksyen 123, saudara boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Salah satu kesan perkahwinan yang dilakukan tanpa kebenaran mahkamah ialah perkahwinan tersebut tidak didaftarkan di sini secara sah. Tujuan pendaftaran bukanlah hanya satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah semata-mata, tetapi merupakan satu rekod yang mensahihkan bahawa perkahwinan tersebut bukan sahaja menurut undang-undang negeri tetapi juga telah menepati hukum syarak.

Perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang negara. Ini bermaksud bahawa isteri kedua saudara tidak mempunyai hak sebagai seorang isteri dan tidak boleh membuat apa-apa tuntutan di Mahkamah Syariah. Malah isteri kedua saudara tidak akan dibenarkan menuntut hak ke atas nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak dan lain-lain tuntutan di mahkamah sehinggalah perkahwinan tersebut didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah satu perkara yang mudah terutama sekali sekiranya ia dilakukan di luar negeri, tanpa saksi yang dikenali atau enggan bekerjasama.

Sekiranya hasil perkahwinan kedua itu saudara mempunyai anak, maka tanpa sijil nikah yang sah, akan menyukarkan proses pendaftaran kelahiran anak tersebut dan lain-lain proses yang memerlukan kesahihan bahawa saudara adalah bapa kepada anak tersebut. Perkahwinan poligami di luar negara bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap ringan. Saudara tentu pernah mendengar mengenai perkahwinan sindiket yang dijalankan oleh pendaftar nikah yang tidak bertauliah dan menyebabkan perkahwinan tersebut tidak sah.

Perkahwinan adalah satu tanggungjawab dan seharusnya dipikul dengan sebaik-baiknya oleh pasangan terbabit. Apatah lagi dalam perkahwinan poligami yang ramai terlibat iaitu ada isteri-isteri dan keluarga masing-masing. Selain tanggungjawab biasa, suami perlu adil terhadap isteri yang terlibat.

Perundangan Islam di negara kita amat memandang berat kepada prinsip keadilan. Oleh sebab itulah kerajaan menggariskan beberapa panduan yang perlu diikuti. Ini bukan sahaja untuk menjamin kepentingan isteri yang sedia ada, tetapi juga bakal isteri yang saudara akan nikahi. Saudara harus ingat bahawa poligami adalah satu tanggungjawab, bukannya keistimewaan. Undang-undang memberi hak kepada isteri saudara untuk memberi pandangannya di mahkamah atas permohonan poligami saudara kerana jika saudara tidak mampu berlaku adil, yang akan menderita tentulah isteri saudara dan juga anak-anak.

satu


Ustaz Badli Shah Alauddin

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Read 29093 times
Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.