Menu

 

A+ A A-

MENYERANG KELALAIAN

IBADAH solat fardu lima waktu bermula solat subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak adalah sebuah perintah agung yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. kepada setiap hamba-Nya. Kita semua telah mengetahui akan peristiwa Israk Mikraj yang mana Nabi Muhammad s.a.w. telah menerima perintah kewajipan bersolat lima waktu ini daripada Allah s.w.t. Begitulah istimewanya ibadah solat.

Pun begitu, kita mestilah sama-sama mengambil pedoman daripada sebuah hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan pertama bagi seseorang hamba yang akan dihitung pada hari kiamat adalah solat yang didirikannya.”

Berdasarkan hadis tersebut dapatlah kita fahami solat adalah perkara utama yang akan dinilai oleh Allah s.w.t. di hari pembalasan kelak. Sebelum amalan lain dinilai oleh Allah, amalan solat diperiksa terlebih dahulu. Apabila mendengar peringatan ini, tidakkah rasa terjentik di hati kita untuk membuat penilaian kepada ibadah solat kita? Apakah kita sebelum ini sentiasa bersolat di awal waktu? Atau kita selama ini asyik saja melaksanakan solat di akhir-akhir waktu atau kata orang pada masa kecederaan? Atau kita tidak pernah bersolat langsung sebelum ini?

Itu belum lagi kita periksa kualiti solat yang kita telah persembahkan. Kadang-kadang walau sudah bertakbiratul ihram dalam solat, minda dan hati kita masih melayang terbayang-bayang bagaimana Wayne Rooney menjaringkan gol dalam perlawanan liga bolasepak Inggeris, walaupun aksi tersebut telah kita tonton seminggu yang lalu. Ternyata solat kita semacam ini memang tidak khusyuk. Kalau beginilah solat kita, sesungguhnya amatlah merisaukan benak hati ini jikalau Allah tidak menerima solat kita dek kerana sikap kita sendiri yang tidak solat bersungguh-sungguh.

menyerang-kelalaian-1

Kita mesti memahami bahawa solat adalah satu perintah yang perlu diberikan keutamaan dalam kehidupan seharian. Dengan kata lain, solat mesti ditunaikan dengan cara yang paling baik, walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini kerana perintah itu adalah hak Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Taha ayat 14 yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku-lah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku, oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Allah s.w.t. juga telah menjanjikan kepada hambanya bahawa ibadah solat adalah salah satu amalan yang akan membawa kita semua masuk ke dalam syurga Allah yang amat mahal harganya.

Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi telah menyebut yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Tuhan kamu, dirikanlah solat lima waktu kamu, berpuasalah kamu pada bulan kamu (bulan Ramadan), tunaikanlah zakat kamu, serta taatilah orang yang menguruskan urusan kamu: pastinya kamu masuk syurga Tuhan kamu.”

Selain itu, Allah s.w.t. juga telah memberikan penegasan bahawa sesiapa sahaja yang bersolat dengan sempurna, pastinya akan menyelamatkan diri orang yang mendirikan solat tersebut daripada perbuatan maksiat.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: “Bacalah dan ikutilah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Marilah sama-sama kita menanam azam dan berjanji kepada diri kita untuk tidak lagi meninggalkan perintah solat fardu. Mari juga kita berazam dengan teguh untuk melaksanakan ibadah solat fardu di awal waktu selain akan sentiasa berusaha untuk mendirikan solat dengan penuh khusyuk, berkualiti dan menepati hukum-hakam yang telah ditentukan oleh agama.

menyerang-kelalaian-2

Antara langkah yang telah disyorkan oleh para ulama agar hati kita sentiasa tetap untuk melaksanakan ibadah solat adalah:

1 Sentiasa menghadiri majlis ilmu.
2 Sentiasa membasahi lidah dengan zikir dan bertaubat kepada Allah.
3 Membaca al-Quran dan sentiasa berdoa pada Allah.
4 Bersahabat dengan orang soleh dan cantik akhlaknya.
5 Sentiasa bersolat berjemaah sama ada di surau dan masjid.
6 Mempunyai jadual waktu solat.
7 Sentiasa berada dalam keadaan berwuduk.

Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang berjaya di sisi Maha Pencipta. Allah telah menyatakan bahawa orang yang khusyuk dalam ibadah solat adalah orang yang berjaya seperti firman Allah s.w.t. dalam surah al-Mukminun ayat 1-2 yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”

Ayuh kita merebut peluang yang Allah sediakan ini. Kalau kita tidak mulakan hari ini, bila lagi? Jom solat! 


Ustaz Mohamad Zarifi Haji Mohamad Daud
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Ustaz Mohamad Zarifi Hj. Mohamad Daud

Lahir di Kelantan pada 31 Ogos 1982. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Fiqh dan Usul Fiqh) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2006. Mendapat Sijil Pengurusan Fatwa dan Dakwah, al-Azhar al-Syarif, Kaherah Mesir pada tahun 2010 dari kursus tajaan JPA dan JAKIM. Beliau menyambung pengajian di peringkat Sarjana (Fiqh dan Usul Fiqh) secara disertasi penuh dengan tajuk kajian ‘Judi Dalam Peraduan”. Menyertai JAKIM bermula pada 2 Oktober 2006. Beliau juga banyak menulis dan membentangkan kertas kerja dalam seminar, simposium, dan bengkel di peringkat kebangsaan.

Terkini daripada Ustaz Mohamad Zarifi Hj. Mohamad Daud

Kembali ke atas