Menu

 

A+ A A-

HUKUM MEMINUM SEDIKIT ARAK

Apakah hukum minum arak dalam kuantiti yang kecil dan tidak memabukkan?

MUKADIMAH: Arak merupakan salah satu daripada perkara yang diharamkan oleh Allah secara jelas dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Bahkan ia merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar dalam Islam. Firman Allah s.w.t. maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (surah al-Maidah 5: 90)

RINGKASNYA: Menjawab soalan saudara, arak adalah haram digunakan sama ada dalam jumlah yang kecil atau banyak.

HUJAH:Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: “Apa-apa yang memabukkan dalam jumlah yang banyak, adalah diharamkan walau dalam jumlah yang sedikit.” (Kitab Sunan Ibnu Majah jil. 3, kitab memabukkan, bab 30, hadis no. 3392) Bahkan bukan sekadar arak itu yang haram, tetapi dalam hadis yang lain, dosa arak juga melibatkan pihak-pihak seperti di bawah berdasarkan hadis yang bermaksud: “Sepuluh orang yang dikutuk Allah mengenai arak: 1 Pembuatnya. 2 Pengedarnya. 3 Peminumnya. 4 Pembawanya. 5 Pengirimnya. 6 Penuangnya. 7 Penjualnya. 8 Pemakan wang hasilnya. 9 Pembayarnya. 10 Pemesannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

TAMBAHAN: Arak juga diiktiraf sebagai punca segala maksiat dan jenayah. Ini dinyatakan oleh hadis bermaksud: “Arak adalah ibu segala maksiat dan ia adalah maksiat paling mengaibkan.” (Kitab Sunan Ibnu Majah jil. 3, kitab memabukkan, bab 30, hadis no. 3371)

RUMUSAN: Justeru, pendapat yang menyatakan boleh meminum arak dalam jumlah yang kecil dan tidak memabukkan adalah tidak benar dan hukumnya tetap berdosa.

hukum-minum-sikit-arak-1

Saya sering makan di hotel-hotel 5 bintang dan saya dapati chef-chef hotel tersebut meletakkan bir atau arak dalam masakan semasa memasak. Apakah hukum makanan tersebut? Apakah cara terbaik untuk mengelakkan keadaan tersebut?

MUKADIMAH: Persoalan saudara ini sememangnya berlaku dan menjadi dilema dalam kalangan pengunjung-pengunjung hotel apa-apa jua taraf bintangnya.

RINGKASANYA: Sekiranya anda pasti makanan-makanan yang dihidangkan tersebut mengandungi arak, maka hukumnya tetap haram kerana kewujudan arak walaupun sedikit dikira haram.

HURAIAN: Walaupun begitu, dalam banyak keadaan, pengunjung-pengunjung hotel tersebut bukan sengaja untuk memakan makanan yang mengandungi arak kerana mereka tidak mengetahui kandungan makanan yang dimasak di hotel-hotel tersebut. Lantaran itu, sekiranya mereka tidak tahu tentang perkara tersebut, maka hukum tersebut tidak tertakluk kepada mereka yang tidak sampai mengetahui.

Namun, pada zaman kecanggihan teknologi dan informasi ini, sewajarnya pengunjung-pengunjung Islam wajib peka akan sumber makan dan minum mereka. Lantaran terdapat hotel-hotel yang telah mendapat sijil halal, maka sudah tentulah menjadi kewajipan kepada mereka menempah hotel-hotel yang diiktiraf halal oleh pihak yang berkuasa yang dipercayai.

Pihak penganjur program juga boleh bertindak membatalkan tempahan sekiranya didapati hotel itu tidak mendapat sijil halal. Ini sebagai cara untuk “check and balance” kepada industri perhotelan dan apa-apa industri penyajian makanan agar lebih bertanggungjawab menyediakan hidangan yang halal dan selamat kepada pengguna.

hukum-minum-sikit-arak-2

Adakah semua alkohol itu haram? Saya pernah mendengar ada pandangan yang mengatakan alkohol itu halal. Apa pandangan ustaz?

MUKADIMAH: Secara umumnya, ramai yang masih keliru tentang hukum alkohol. Alkohol boleh dikategorikan kepada dua iaitu alkohol arak iaitu minuman arak atau dalam bahasa Arabnya ialah khamar dan alkohol industri iaitu kegunaannya sebagai pelarut atau pembawa bahan perisa dan pewarna makanan.

RINGKASNYA: Alkohol yang secara jelas diharamkan ialah arak itu sendiri, sama ada diminum atau digunakan dalam masakan secara banyak atau sedikit, memabukkan atau tidak. Manakala alkohol industri dibenarkan penggunaannya berdasarkan fatwa mengikut negara-negara Islam. Sebagai contoh, Malaysia membenarkan etanol hanya kira-kira 0.01% sahaja, Indonesia: 1.0%, Thailand: 0.5% dan IFANCA iaitu badan pensijilan halal Amerika Syarikat mengharuskan 0.5%.

TAMBAHAN: Terdapat isu baru-baru ini berkenaan dengan bir halal yang dijual di pasar raya tempatan dan mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pengguna. Kekeliruan yang berlaku bukan pada kandungan air minuman tersebut, tetapi kerana istilah bir halal itu sendiri mengakibatkan kekeliruan yang boleh mendatangkan syubhah atau keraguan atas produk tersebut.

hukum-minum-sikit-arak-3

Di Malaysia, sebarang label atau nama makanan atau minuman yang tidak menepati dengan kehendak syariat termasuk menggunakan perkataan yang mengelirukan umat Islam, maka produk tersebut tidak akan diberikan sijil halal. 

Sebagai contoh, pernah istilah Bak Kut Teh Halal dijual di restoran-restoran Cina sedangkan istilah Bak Kut The itu sendiri merujuk kepada sup khinzir. Justeru para pengguna Islam perlu lebih peka agar tidak semudah-mudahnya diperdayakan oleh peniaga semata-mata untuk mencari keuntungan.

Fahrul Irfan Bin Ishak

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2 


Fahrul Irfan bin Ishak

Lulusan B.A (Hons) Syariah Islamiah Universiti al-Azhar Mesir. Kemudian memperolehi Master of Comparative Laws, IIUM. Kini sedang mengikuti pengajian PhD in Halal Product Managemenet, UPM. Bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kuala Lumpur-MITEC

Kembali ke atas