Menu

 

A+ A A-

MERASAI KEHEBATAN AL-QURAN

AL-QURAN dan fenomena alam dinamakan oleh al-Quran dengan ayat-ayat Allah. “Ayat” bermaksud petunjuk atau tanda perjalanan menuju keredaan Allah dunia dan akhirat.

Al-Quran al-Karim merupakan kitab yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. dinyatakan sebagai; “Tali Allah yang terhulur dari langit ke bumi, dalamnya terdapat berita tentang umat terdahulu, dan khabar tentang situasi masa akan datang. Sesiapa yang berpegang dengan petunjuknya dia tidak akan sesat.”

Kitab suci ini juga memperkenalkan dirinya sebagai “huda li al-nas” (petunjuk bagi seluruh umat manusia), sekali gus melemahkan manusia dan jin untuk menyusun sesuatu yang sama dengannya. Kitab suci ini berfungsi sebagai mukjizat (bukti kebenaran), sekali gus mengatasi kepakaran manusia yang ahli dalam bidang penulisan dan karya seni sekalipun, mereka tidak mampu mencabar keindahan perkataan, frasa dan susunan ceritanya.  Bahasanya yang begitu mempesonakan, redaksinya yang dipersembahkan dengan begitu teliti, dan mutiara pesanannya demikian agung, telah menghantar kalbu masyarakat yang mengkajinya menjadi kagum, walau secara zahir sebahagian mereka menunjukkan  penolakan terhadapnya.

kehebatan al-quran

Apakah inti dalam al-Quran yang dapat mengubah manusia?

Menurut orientalis Gibb:

“Tidak ada seorang pun dalam 1500 tahun ini, mampu mendidik manusia dan mencorakkan cara berfikirnya secara baru, sebagaimana berjayanya al-Quran memberikan kesannya pada jiwa manusia daripada kalangan pengikut Muhammad s.a.w. dan bangsa-bangsa yang lain.”

Masakan golongan yang menolak al-Quran itu mampu menafikan peranannya sebagai mukjizat, sedangkan fungsinya sebagai “huda” sudah jelas terbukti ditujukan kepada seluruh umat manusia, sekalipun yang menggunakannya dengan baik sebagai “huda” hanyalah orang yang bertakwa. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Alif Lam Mim. Itulah (al-Quran) kitab yang sempurna, tiada keraguan di dalamnya. Ia adalah petunjuk untuk orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2: 1-2)

Mengapakah umat belum dapat mengambil pedoman daripada al-Quran

Ayat-ayat (petunjuk) Allah yang terdapat di alam ini, telah wujud lama sebelum turunnya ayat-ayat al-Quran. Ia juga sangat mengagumkan. Sedemikian indah lagi mempesonakan sehingga banyak orang yang terpaku dan terpukau, bahkan berusaha menguasai dan mencarinya sebanyak mungkin.

Sikap ini memandu mereka kepada budaya materialistik sehingga ayat-ayat itu tidak lagi dijadikan landmark atau tanda perjalanan, tetapi telah menjadi tujuan.

Anda boleh membayangkan bagaimana jadinya kalau isyarat-isyarat dan simbol-simbol lalu lintas bertukar menjadi indah menakjubkan sehingga yang seharusnya menjadi arah sudah mula diabaikan. Lebih parah lagi apabila pengguna jalan raya memberhentikan perjalanannya lantaran terpaku dan terpukau di sisi papan tanda yang beraneka ini, meninggalkan motif asal keluarnya beliau dari rumah.

Demikian pula al-Quran juga merupakan sebahagian daripada ayat-ayat Allah, yang juga  sangat mempesonakan, sehingga mengakibatkan sebahagiannya hanya berhenti kerana  terpesona terhadap bacaan ketika ia disampaikan, meninggalkan peranan yang lebih besar iaitu penghayatan terhadap mesejnya dan pelaksanaan pada ketetapannya. Bacaan hendaklah disertai dengan kesedaran akan keagungan al-Quran, pemahaman dan penghayatan disertai dengan “tadabbur”.

Sungguh pelik jika ada pendengar yang mendengar penuh kagum terhadap bacaan seorang qari, berseru dengan kata; “Allah, Allah”, bergembira dan senyum simpul menghiasi bibirnya, sedangkan ayat yang dibaca oleh qari merupakan ayat ancaman. Itulah salah satu contoh mereka yang terpesona dengan bacaan.

kehebatan al-quran1

Adakah maksud Igra' dalam wahyu pertama semata-mata membaca?

Memang, wahyu pertama adalah اقرأ باسم ربك, bahkan kata iqra’ berulang sebanyak dua kali. Akan tetapi, kata ini bukan sekadar perintah membaca dalam pengertiannya yang sempit, sebaliknya makna yang lebih mendalam yang terkandung dalam arahan ini adalah; telitilah, dalamilah, kerana dengan penelitian barulah datang penghayatan yang akan menyebabkan seseorang manusia itu mampu meraih sebanyak mungkin kebahagiaan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Kitab yang telah Kami turunkan kepadamu penuh berkat agar mereka memikirkan ayat-ayatnya dan agar ulul albab (orang yang berakal sempurna) mengingat atau mengambil pelajaran daripadanya.” (Surah Sad 38: 29)

Apakah hukum membaca al-Quran tanpa mengambil pesanan-pesanan di dalamnya?

Al-Quran mengecam mereka yang tidak menggunakan akal untuk menghayati al-Quran. Mereka itu dinilainya telah tertutup hatinya. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Muhammad ayat 24, maksudnya:

“Apakah mereka tidak memikirkan al-Quran, atau hati mereka terkunci?”

Alangkah malangnya kita jika mendapat label teguran menghinakan dariapada Allah s.w.t. seperti yang terjadi pada umat yang terdahulu, menerusi ayat-Nya dalam surah al-Baqarah ayat ke 78 yang bermaksud:

“Antara mereka ada ‘ummiyyun’ yang tidak mengetahui al-Kitab kecuali dengan menduga-duga.”

Salah satu pandangan yang dikemukakan oleh tafsir Zad al-Masir adalah kejahilan yang berlaku sehingga mengakibatkan kegagalan memahami kandungan al-Quran itu sendiri. Ibn ‘Abbas mentafsirkan kalimah “ummiy” dengan erti tidak mengetahui makna pesan-pesan Allah itu, walaupun boleh jadi mereka menghafalnya. Mereka hanya berangan-angan atau “amaniy” dalam istilah ayat di atas, turut merujuk pada kebodohan laksana keldai yang membawa kitab-kitab tanpa mendapat manfaat langsung daripadanya. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al- Jumu‘ah ayat 5, maksudnya:

“… seperti keldai yang memikul buku-buku.”

Mengapakah al-Quran berkesan kepada orang Islam terdahulu tetapi tidak kepada kita?

Al-Quran menjelaskan bahawa pada Hari Kemudian nanti, Muhammad s.a.w., penerima al-Quran itu, akan mengadu kepada Allah. Beliau berkata, seperti yang Allah khabarkan kepada kita dalam surah al-Furqan ayat 30, maksudnya:

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku (umatku) telah menjadikan al-Quran ini sesuatu yang tidak diambil peduli (mahjura).”

Menurut Ibn al-Qayyim rhm., dalam al-Tafsir al-Qayyim, selain daripada terjemahan “sesuatu yang tidak diambil peduli”, mahjura juga membawa makna:

1.      Tidak tekun mendengarkannya.

2.      Tidak mengendahkan halal dan haramnya, walau diimani dan dibaca.

3.      Tidak menjadikannya rujukan dalam menetapkan hukum berkaitan usuluddin (prinsip-prinsip ajaran agama) dan detilnya.

4.      Tidak berupaya untuk memikirkan dan memahami apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

5.      Tidak menjadikannya rujukan atau penawar bagi semua penyakit jiwa.

Semua yang disebut di atas terangkum dalam pengaduan Nabi Muhammad s.a.w. Semoga kita tidak hanya memiliki, mashaf al-Quran, tetapi pandai juga membaca, memahami, dan mengamalkan tuntutannya.

Agar kita terselamat daripada disamakan dengan keldai atau binatang apa pun. Semoga keengganan itu dapat kita buktikan dengan “plan of action” yang selari. , Wallahu a’lam.

 

Ustaz Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 01

 


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas