Menu

 

A+ A A-

“USTAZ ADA AKAUN FACEBOOK?”

Internet dilihat sebagai salah satu medium dakwah yang berkesan. Ia turut menjadi pilihan pendakwah dan para ustaz untuk menyebarkan mesej dakwah. Apakah ini termasuk salah satu cara berdakwah dengan hikmah?

Jawapan

Berdakwah termasuk menyampaikan sesuatu ilmu yang bermanfaat, menyeru ke arah kebaikan, nasihat-menasihati dan mencegah kemungkaran yang selari dengan tuntutan Islam. Semua ini untuk merealisasikan kehendak hadis Nabi: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat (al-Quran atau sunnah).” (Riwayat al-Bukhari)

Sesuatu usaha dakwah itu dikatakan berhikmah jika pendakwah bijak dan kreatif mencari idea untuk menyampaikannya kepada masyarakat sekeliling. Hal ini sangat penting kerana bukan semua masyarakat di luar sana suka mendengar kuliah atau ceramah agama di masjid-masjid. Biasanya jemaah yang hadir amat sedikit jika dinisbahkan dengan jumlah penduduk yang terdapat di sekitar masjid tersebut.

Maka seiring dengan dunia tanpa sempadan hari ini, teknik berdakwah tidak lagi terhad kepada khutbah atau kuliah di masjid sahaja. Pelbagai alternatif lain telah diadaptasikan, termasuklah menggunakan Internet berserta segala kecanggihan teknologi.

Sudah menjadi sesuatu yang tidak asing lagi hari ini apabila para pendakwah kita menggunakan Facebook, Twitter, blog, laman web dan seumpamanya untuk menyampaikan dakwah dan ilmu. Malah yang menjadi peliknya sekiranya ada yang bertanya: “Ustaz tak ada akaun Facebook?”

Para pendakwah juga dilihat semakin aktif menjadikan medium-medium tersebut sebagai penangkis segala diayah yang dilemparkan terhadap Islam serta merungkaikan kekeliruan yang dicipta oleh musuh-musuh Islam sama ada dari luar atau dalam. Fenomena yang baik ini sudah tentu patut disyukuri malah digalakkan lagi.

Leka Berfacebook

Tapi ustaz, tidakkah penglibatan para ustaz dalam Facebook akan menarik lebih ramai orang untuk menghabiskan masa di dunia maya? Jadi, bagaimana sepatutnya kita mengawal diri agar tidak mensia-siakan waktu?

Jawapan

Waktu yang Allah peruntukkan kepada kita setiap hari adalah 24 jam. Ia sebenarnya suatu tempoh masa yang cukup dan memadai untuk melakukan banyak pekerjaan dan aktiviti sekiranya disusun dan dirancang dengan betul. Muslim yang beriman seharusnya pandai menguruskan waktunya untuk beribadat dan bekerja supaya keduaduanya dapat diseimbangkan.

Internet umpama dunia baru yang terbuka luas di hadapan dan membuatkan kita tidak puas mengembara di dalamnya. Masa melayari Internet jika tidak diuruskan dengan baik, akan “mencuri” sebahagian daripada umur kita.

Kata Imam Ibn al-Qayyim: “Mensiasiakan waktu lebih dahsyat daripada maut, kerana mati akan memutuskan kamu daripada kehidupan dunia, tetapi mensia-siakan waktu akan memutuskan hubungan kamu dengan Allah.”

Melayari Internet tanpa kawalan dikira mensia-siakan waktu. Lebih-lebih lagi sekiranya waktu itu digunakan untuk aktiviti yang tidak mendatangkan faedah. Apatah lagi jika aktiviti yang haram. Ia bukan setakat membazir umur dan waktu, tetapi menambahkan dosa dan maksiat kepada Allah.

Sekalipun kita berniat untuk mencari ilmu, biarlah waktu yang diperuntukkan memadai. Pastikan kita tahu matlamat dan sasaran. Janganlah sampai berjaga malam kerana asyik membaca perbincangan bab hukum sehingga terlepas solat Subuh dan sebagainya. Waktu bersama Internet tidak wajar menjadi penghalang daripada membaca al-Quran, menyambung silaturahim, beriadah dan sebagainya.

Ketagih Internet

Apakah tanda-tanda seseorang itu dikira sudah ketagih dengan Internet?

Jawapan

Untuk mengetahui sama ada seseorang itu telah ditimpa ketagihan Internet, senarai di bawah ini boleh disemak. Semoga kita semua masih terselamat daripada tergolong dalam golongan berikut:

1. Sentiasa mencari akses Internet, tidak kira sama ada di tempat kerja, atau di sekolah bagi guru atau murid. Bahkan lebih teruk di masjid sambal mendengar kuliah atau berzikir.

2. Berjaga malam sehingga terabai masa untuk ibu bapa, anak-anak dan keluarga.

3. Melayari Internet walaupun ketika makan atau di dalam bilik air.

4. Simptom gangguan saraf (tangan bergerak-gerak seolah-olah sedang menaip) dan kurang tidur serta fikiran bercelaru.

5. Kemerosotan hubungan kekeluargaan. Seseorang mungkin hanya berjumpa keluarganya pada waktu makan, kurang bercakap dan selalu marah-marah.

6. Hubungan sosial dengan kawan dan saudara semakin renggang, tidak lagi semesra dahulu. Apabila berjumpa pun, mata dan tangan masih melekat di telefon bimbit.

7. Apabila bangun daripada tidur, perkara yang pertama dicari adalah gajet-gajetnya (laptop, handphone, tablet dan lain-lain), serta bangun beberapa kali pada waktu malam untuk membaca SMS atau menyemak pemberitahuan (notification).

8. Urusan seharian tertangguh. Apabila tersedar, masa sudah banyak terbazir dan tidak boleh diundurkan semula.

Wallahu a‘lam.

ustaz-ada-akaun-facebook-2

 DR. ABDUL BASIT ABD RAHMAN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas