Menu

 

A+ A A-

BAYAR CUKAI GUGUR ZAKAT

Setiap warganegara Malaysia wajib membayar cukai kepada kerajaan. Adakah cukai yang dibayar oleh semua rakyat ini sama seperti zakat?

Jawapan: Cukai dan zakat adalah dua perkara yang memiliki persamaan namun sangat berbeza dari segi konsep, kaedah, pensyariatan mahupun aspek kewajipannya.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, cukai disebut dharibah dalam bahasa Arab. Ia ditakrifkan sebagai kewajipan yang dilazimkan kepada rakyat mengikut kadar tertentu bagi merealisasikan sebahagian daripada perancangan dan penstrukturan ekonomi, kemasyarakatan, politik, pentadbiran dan tujuan-tujuan lain yang menjadi agenda sesebuah negara.

Sumber cukai adalah semua jenis hasil pendapatan dan dipungut daripada semua rakyat yang berpendapatan. Cukai juga dikutip bagi tujuan kepentingan pentadbiran negara.

Cukai sangat penting bagi menjaga kepentingan rakyat. Dalam kaedah siasah Islamiah, pemerintah dan rakyat sama-sama bertanggungjawab. Sebagaimana pemerintah bertanggungjawab menjaga kemakmuran rakyat, rakyat juga sepatutnya memberi kerjasama kepada pemerintah dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan selagi tidak berlaku kezaliman.

Zakat pula kewajipan agama berdasarkan kadar tertentu daripada harta umat Islam untuk disalurkan kepada golongan tertentu dengan syarat tertentu bertujuan menyucikan jiwa dan harta.

bayar-cukai-gugur-zakat-2

bayar-cukai-gugur-zakat-3

Zakat Selesai?

Wajibkah orang Islam membayar cukai? Apabila seseorang Muslim membayar cukai, adakah kewajipan zakatnya dianggap sudah selesai?

Jawapan

Mengikut hukum Islam, cukai tidak wajib ke atas umat Islam. Yang wajib dibayar hanyalah zakat. Ini bersandarkan kepada banyak dalil, antaranya hadis Nabi: “Tidak ada kewajipan dalam harta kecuali zakat.” (Riwayat Ibn Majah)

Dalam negara Islam, cukai hanya dikenakan kepada golongan bukan Islam sahaja dengan kadar tidak melebihi 10%. Antara cukai-cukai itu ialah jizyah (cukai individu), kharaj (cukai tanah) dan ‘usyur (cukai perdagangan). Cukai atau dharibah hanya dikenakan kepada umat Islam sekiranya jumlah dana zakat yang berada di baitulmal tidak mencukupi.

Namun begitu, hukum ini belum dijalankan oleh negara moden kini. Maka apabila sesebuah negara seperti Malaysia mewajibkan rakyatnya membayar cukai, kita sebagai warganegara wajib menunaikannya. Walaupun begitu, cukai yang dibayar tidak menghapuskan kewajipan zakat ke atas individu terbabit. Dengan kata lain, tanggungjawab berzakat masih belum selesai.

Umat Islam di Malaysia perlu menunaikan zakat terlebih dahulu dan kemudian menyelaraskan bayaran zakat tersebut dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapat rebat cukai sebagaimana yang termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

Rebat Cukai

Boleh ustaz terangkan dengan lebih lanjut mengenai rebat cukai dan hubung kaitnya dengan zakat?

Jawapan

Alhamdulillah, Malaysia memperuntukkan undang-undang yang meraikan para pembayar zakat dan kelonggaran cukai. Tidak banyak negara di dunia yang membuat peruntukan sedemikian.

Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3) menyebut: “Rebat hendaklah diberikan pada tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat, fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayaran wajib, dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu, dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis.”

Ini bermaksud semakin tinggi kadar zakat yang ditunaikan, semakin banyak rebat diberikan kepada pembayar zakat tersebut. Jika amaun zakat itu telah melebihi atau menyamai amaun cukai, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatannya.

Namun harus diingat, pembayaran zakat tersebut mestilah dilakukan dalam tahun semasa taksiran sebagaimana tahun semasa taksiran cukai. Sebagai contoh, jika seseorang membayar zakat pada tahun taksiran 2012, maka rebat cukai oleh pihak LHDN akan diberikan berdasarkan bayaran yang dibuat sepanjang tahun taksiran 2012 sahaja. Ia berpandukan tarikh yang dicetak pada resit rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.

Walau bagaimanapun, hal ini berbeza bagi cukai perniagaan. Sehingga ke hari ini, pihak kerajaan hanya mengizinkan rebat ke atas cukai perniagaan sebanyak 2.5% daripada pendapatan agregat mana-mana perniagaan Muslim sama ada berbentuk syarikat, koperasi mahupun badan amanah. Ia tidak berdasarkan jumlah zakat perniagaan yang telah ditunaikan pada tahun berkenaan.

bayar-cukai-gugur-zakat-4

Menurut pengisytiharan pihak kerajaan, rebat 2.5 % ke atas pendapatan agregat ini diberikan kepada pihak syarikat Muslim yang membayar zakat bermula tahun 2005. Bagi koperasi dan badan amanah pula, rebat diberikan bermula tahun 2007. Rebat yang diberikan untuk tahun taksiran cukai perniagaan mestilah sama seperti tarikh pembayaran zakat yang telah dilakukan oleh pihak syarikat. Walau bagaimanapun jika ada lebihannya, ia dibenarkan untuk dibawa ke tahun hadapan.

Wallahu a‘lam.

USTAZ AHMAD HUSNI ABD RAHMAN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas