Menu

 

A+ A A-

MESIN BASUH MENYUCIKAN NAJIS?

SOALAN: Oleh kerana tiada masa, saya membasuh pakaian yang telah terkena najis menggunakan mesin basuh automatik. Adakah pakaian saya suci dengan cara ini?

 

 

JAWAPAN

Kebanyakan mesin basuh menggunakan sistem air takungan, iaitu air yang masuk ke dalam tab cucian akan ditakung terlebih dahulu. Maka, ketika air yang mengalir masuk ke dalam mesin basuh terkena pakaian yang najis, maka air tersebut akan menjadi air mutanajis.

Apabila air mutanajis ini ditakung, maka keseluruhan tab pencuci di dalam mesin basuh tersebut akan turut terkena najis. Kemudian ketika air dibuang untuk proses cucian kedua, pakaian tersebut tetap kekal hukumnya sebagai pakaian mutanajis (pakaian yang terkena najis).

Apabila air cucian kedua masuk ke dalam tab dan ditakung, perkara yang sama berlaku iaitu air mutlak yang masuk akan bertukar menjadi air mutanajis kerana ia telah terkena pada baju yang mutanajis.

Dan begitulah seterusnya, jika proses air keluar masuk seperti ini, pakaian akan tetap kekal sebagai pakaian yang mutanajis, walaupun sudah hilang kesan najis dari segi zat, bau, warna dan rasa. Hukum pakaian ini adalah najis hukmi.

Selepas dibasuh dengan mesin basuh, pakaian tersebut hendaklah dicuci semula. Caranya adalah dengan mengalirkan air mutlak ke atas baju tersebut tanpa perlu diberus atau dibilas. Aliran air yang mengenai pakaian yang mengandungi najis hukmi akan menjadikan ia suci.

Saranan saya, sekiranya saudara ingin membasuh pakaian dengan mesin basuh automatik seperti ini, sebaikbaiknya hilangkan terlebih dahulu kesan najis pada pakaian menggunakan air yang mutlak. Kemudian barulah dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Perlu diberi perhatian juga bahawa tidak semua mesin basuh automatik mempunyai cara cucian yang disebutkan. Bahkan saya pernah mendengar ada mesin basuh automatik yang benar-benar patuh syariah dalam menyucikan najis.

Hukum yang dijelaskan di atas bersandarkan kepada mazhab Syafii. Ada pandangan-pandangan lain yang akan saya perincikan dalam perbincangan akan datang, insya-Allah.

Najis Hukmi dan Aini

SOALAN: Tadi ustaz menyebutkan tentang najis hukmi. Boleh ustaz terangkan maknanya?

JAWAPAN

Dalam mazhab Syafii, najis dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu:

Najis aini: Najis yang boleh dirasai oleh pancaindera iaitu yang mempunyai zat, bau, warna atau rasa. Dengan kata lain, kita boleh melihat najis itu dan menghidu baunya.

Najis hukmi: Najis yang sudah tidak dapat lagi dirasai oleh pancaindera. Contohnya seperti air kencing yang telah kering dan tidak meninggalkan sebarang kesan atau bau. Hukumnya tetap najis, meskipun sudah tidak dapat dikesan lagi.

Untuk membersihkan najis, hanya air mutlak sahaja yang boleh digunakan. Air yang digunakan mestilah mengalir membasahi tempat najis. Sekiranya air yang digunakan tidak mengalir kerana terlalu sedikit atau seperti menggunakan semburan, maka ia tidak memadai.

Bagi najis aini, cara menyucikannya adalah dengan menghilangkan zat, warna, bau dan rasa. Namun sekiranya warna najis atau baunya sukar dihilangkan walaupun telah dicuci berkali-kali, maka ia dimaafkan.

Manakala najis hukmi disucikan dengan cara melalukan air ke tempat najis tersebut. Air yang mengalir membasahi tempat najis hukmi itu akan menyucikan tempat najis. Tidak disyaratkan untuk mencuci najis berkali-kali, bahkan memadai hanya sekali dengan syarat-syarat yang disebutkan. Hukum ini sudah tentu tidak sama bagi najis anjing dan babi. Kedua-dua najis berat ini mesti dibersihkan dengan tujuh kali basuhan, salah satunya dengan tanah.

mesin-basuh-menyucikan-najis-2

Niat Mencuci Najis

SOALAN: Adakah disyaratkan niat ketika mencuci najis? Kerana setiap amalan terutamanya dalam bab ibadah hendaklah dimulakan dengan niat.

JAWAPAN

Tidak perlu berniat untuk mencuci najis. Malah sekiranya seseorang secara tidak sengaja tercuci pakaian atau tempat yang bernajis dan ia menghilangkan zat najis, warna, bau dan rasa, maka pakaian atau tempat itu telah berubah menjadi suci.

Penyucian najis tersebut juga tidak disyaratkan untuk dilakukan oleh manusia. Bahkan sekiranya tempat yang bernajis tersebut ditimpa air hujan dan membersihkannya, maka tempat tersebut menjadi suci.

Kesan Air Kencing

SOALAN: Saya tidur di atas katil yang ada kesan kencing yang telah kering. Adakah najis itu akan mengenai badan saya?

JAWAPAN

Sekiranya badan atau pakaian saudara basah, maka najis tersebut akan berpindah dari tempat najis ke badan atau pakaian saudara. Begitu juga jika tilam yang terkena najis itu basah, maka ia boleh mengotori badan saudara.

Jika kedua-duanya kering, maka najis tidak berpindah kepada baju atau badan anda yang menyentuhnya. Ini sesuai dengan kaedah masyhur yang sering disebut oleh alim ulama: “Kering bertemu kering tidak akan menajiskan tanpa khilaf (perbezaan pendapat ulama).”

Bagi tilam yang terkena najis hukmi, disarankan agar saudara membasuhnya dengan hanya menyiram air mutlak ke tempat berkenaan. Selepas disiram, ia menjadi suci.

Pakaian Bernajis

SOALAN: Apakah hukum memakai pakaian yang bernajis?

JAWAPAN

Tidak boleh memakainya jika digunakan untuk solat. Namun jika bukan untuk bersolat, maka hukumnya harus dengan syarat tubuh kita dan baju tersebut kering.

Adapun sekiranya tubuh kita basah kerana berpeluh, atau pakaian yang dipakai basah, maka perkara ini akan menyebabkan najis berpindah dari baju ke badan. Dalam mazhab Syafii, menajiskan badan tanpa keperluan yang mendesak tidak dibenarkan.

Wallahu a‘lam.

 USTAZ MUHAMMAD RAJI MUSA

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


 

Ustaz Muhammad Raji Musa

Lulusan Universiti al-Azhar Fakulti Syariah (BA), Diploma master Feqah Perbandingan Jam’iyyah al-Fatah al-Islami Damsyik. Pernah menimba ilmu daripada beberapa ulama di Syria seperti Dr. Hasan Hito, Dr Taufiq Ramadan al-Buti dan lain-lain.

Kembali ke atas