Menu

 

A+ A A-

KEMUSYKILAN HUKUM-HAKAM INTERNET

Asalnya Harus

Apakah hukum melayari Internet dan laman social seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain?

Jawapan

Hukum asal perkara ini adalah harus, sesuai dengan kaedah mengharuskan yang asal (istishab al-asl). Kaedah ini bersandarkan kepada penegasan Allah bahawa segala sesuatu di atas muka bumi ini adalah untuk kegunaan manusia. Maka, selagi tiada larangan syarak terhadap sesuatu itu, maka hukumnya halal. Namun begitu, hukum ini boleh berubah apabila penggunaan Internet membabitkan perkara-perkara tertentu. Ia boleh menjadi haram, wajib, sunat dan makruh.

kemusykilan-hukum-hakam-internet-3

Kafe Siber Patuh Syariah

Apakah hukum membuka kafe siber? Saya bercadang untuk menjalankan perniagaan kafe siber yang mematuhi hukum syarak.

Jawapan

Tahniah saya ucapkan atas keprihatinan saudara dalam memastikan pendapatan yang halal. Ramai yang pandai meneroka peluang perniagaan, namun hanya sedikit yang berusaha memastikan peluang itu halal atau sebaliknya.

kemusykilan-hukum-hakam-internet-2

Hukum asal melayari Internet adalah harus, maka membuka kafe siber hukum asalnya juga harus. Namun begitu, saudara perlu ingat bahawa hukum ini boleh menjadi makruh dan haram apabila terdapat unsur-unsur yang terlarang sebagaimana penjelasan saya di atas.

Jika saudara memang berminat membuka kafe siber, pastikan ia digunakan hanya untuk perkara-perkara yang halal sahaja. Antara caranya: Laman-laman maksiat disekat, tiada permainan yang melalaikan, dan masa penggunaan dihadkan. Dengan cara ini, pembaziran masa dan wang dapat dihindari.

Penyedia Khidmat

Saya bekerja di sebuah syarikat penyedia khidmat Internet di rumah. Sesetengah orang menggunakan kemudahan Internet ini untuk perkara-perkara yang haram. Adakah saya dikira membantu dalam maksiat? Adakah gaji saya halal?

Jawapan

Internet terdedah kepada perkara baik dan buruk. Jika digunakan untuk kebaikan, maka ia dikira suatu ibadah. Namun jika kemudahan ini digunakan untuk keburukan, maka ia menjadi satu maksiat.

Setiap perkara yang terbuka untuk kebaikan dan keburukan, hukumnya harus untuk dijual, dibeli, disewakan dan disediakan seperti yang saudara lakukan. Gaji yang diterima daripada pekerjaan ini halal, insya-Allah.

Ceroboh Wi-fi

Kini sudah ada satu perisian yang boleh mencuri kata laluan dan seterusnya menceroboh jaringan Wi-fi milik orang lain. Apakah hukum perbuatan seperti ini?

Jawapan

Hukumnya haram. Islam memandang suci hak pemilikan orang lain. Seorang Muslim tidak dibenarkan mengambil milik orang lain tanpa izinnya sama ada berbentuk barang ataupun manfaat.

Rasulullah mengingatkan: “Tidak halal bagi seseorang mengambil tongkat milik saudaranya melainkan dengan rela hati.” (Riwayat Ibn Khuzaimah)

Bersandarkan hadis ini , menggunakan jaringan Wi-fi milik orang lain tanpa kebenaran daripadanya adalah salah. Apatah lagi jika perbuatan ini melibatkan pencerobohan hak privasi seseorang. Jika telah mendapat kebenaran daripada pemiliknya atau ia memang disediakan untuk kegunaan umum seperti di lapangan terbang, kedai makan dan lain-lain, maka hukumnya harus.

Ketika Khutbah

Bolehkah kita melayari Internet ketika imam sedang berkhutbah dalam solat Jumaat? Yang saya faham, kita hanya dilarang bercakap-cakap sahaja.

Jawapan

Melayari Internet ketika khutbah termasuk perbuatan lagha (sia-sia). Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang berkata kepada rakannya ‘diam’ ketika imam sedang berkhutbah, maka ia telah melakukan perkara lagha.” (Riwayat al-Bukhari)

kemusykilan-hukum-hakam-internet-4

Tujuan larangan ini adalah agar kita memberikan tumpuan kepada ucapan khatib. Ia tidak hanya terhad kepada percakapan sahaja, akan tetapi meliputi semua aktiviti yang melengahkan kita daripada mendengar khutbah. Termasuklah salah satunya melayari Internet.

Para ulama berbeza pandangan tentang hukum bercakap ketika khutbah Jumaat sama ada haram atau makruh. Kebanyakan ulama menghukumkannya haram manakala Imam al-Syafii pula menghukumkannya sebagai makruh. Ia seharusnya dihindari untuk memastikan kesempurnaan solat Jumaat kita.

Internet Semasa Kerja

Apakah hukumnya sekiranya saya melayari Internet sewaktu kerja? Biasanya saya membuka akaun Facebook saya di pejabat setelah selesai melakukan semua kerja yang sepatutnya dilakukan

Jawapan

Saya mengandaikan saudara seorang pekerja sepenuh masa yang wajib berada di tempat kerja setiap hari pada masa-masa yang telah ditetapkan. Ada kalanya saudara menghadapi tuntutan kerja yang banyak sehingga memerlukan tambahan masa. Jika ada masa terluang, saudara melayari Internet sama ada untuk tujuan peribadi ataupun untuk meningkatkan pengetahuan diri.

Melayari Internet pada masa terluang seperti ini adalah harus selagi tidak memberikan sebarang kesan kepada prestasi kerja, tidak menyebabkan kos tambahan luar biasa kepada syarikat dan tidak ditegah oleh syarikat dalam pekeliling umum kepada semua kakitangan.

Namun begitu, sebaik-baiknya waktu kosong tersebut dimanfaatkan untuk apa-apa jua aktiviti yang boleh meningkatkan tahap efisien diri. Untuk huraian lengkap, sila rujuk artikel Dr. Zaharuddin Abd Rahman yang bertajuk Layar Internet, Waktu Kosong & Kerja di www.zaharuddin.net.

Letak Gambar

Instagram antara aplikasi muat naik gambar yang popular. Jika seseorang wanita meletakkan gambar-gambarnya di situ, apakah hukumnya? Untuk makluman, gambar-gambar tersebut tidak mendedahkan aurat.

Jawapan

Selagi gambar tersebut dalam keadaan menutup aurat, saya tidak dapat mengatakan hukumnya haram. Namun ia sangat dekat kepada hokum makruh apabila tiada keperluan.

Bagaimanapun, sebaik-baiknya hindarilah daripada meletakkan gambar di laman Internet mahupun media yang lain. Kerana telah terbukti gambar-gambar itu digunakan untuk memudaratkan kita. Pihak yang tidak bertanggungjawab akan memanipulasi gambar tersebut untuk menjatuhkan maruah kita.

kemusykilan-hukum-hakam-internet-5

Ketagih Internet

Baru-baru ini saya terbaca kisah tentang seorang ibu muda yang tidak mengendahkan bayinya kerana terlalu asyik dengan Internet. Jelaslah wanita ini telah ketagih Internet. Apa pandangan Islam tentang ketagihan Internet ini?

Jawapan

Ketagihan Internet (Internet addiction disorder) adalah suatu keadaan di mana seorang pengguna terlalu terikat dengan Internet sehingga melalaikan tugasan seharian dirinya. Ia tidak mampu menahan dirinya daripada melayari Internet walaupun sehari.

Kira-kira 5-10% pengguna Internet telah mengalami ketagihan Internet sehingga mengabaikan semua kewajipan dirinya. Para “pesakit” ini akan kehilangan keterampilan diri sehingga menjejaskan prestasi mereka dalam pekerjaan atau pelajaran.

Dengan kemudaratan ini, sudah pasti Islam memandang negatif fenomena ini. Salah satu matlamat utama (maqasid) syariah Islam adalah menjaga akal agar tidak dirosakkan. Islam mengharamkan arak, dadah, pornografi dan sebagainya kerana ia membawa kepada kerosakan akal dan minda gara-gara ketagihan.

kemusykilan-hukum-hakam-internet-6

Maka, segala bentuk ketagihan tidak disukai Islam. Ini termasuklah ketagihan permainan, Internet dan sebagainya. Ia satu bentuk penyakit yang wajib dihindari dan diubati. Nasihat saya, gunakanlah kemudahan Internet secara terkawal. Hadkan pada masa-masa dan kadar waktu tertentu sahaja. Selebihnya, gunakan masa yang ada untuk bekerja, berkarya dan mengejar cita-cita.

Periksa Mesej Isteri

Suami saya meminta kata laluan bagi akaun Facebook saya. Dia ingin membaca setiap mesej peribadi yang masuk ke dalam inbox saya. Adakah saya wajib memberikan kata laluan itu, atau saya boleh menolaknya atas alasan privasi?

Jawapan

Hak suami amat besar kepada isteri. Setelah hak Allah dan rasul-Nya, tidak ada hak yang lebih wajib dipenuhi seorang isteri daripada hak suaminya. Maka isteri yang solehah akan selalu mentaati perintah suaminya.

Rasulullah bersabda: “Jika aku boleh memerintahkan seseorang sujud kepada manusia, maka aku akan memerintahkan seorang isteri sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atasnya.” (Riwayat Abu Dawud)

Suami saudari berhak mengetahui mesej yang masuk ke dalam inbox saudari. Terutama untuk memastikan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kecurigaan. Menolak permintaan ini hanya akan membuka jalan bagi syaitan meruntuhkan rumah tangga saudari.

Nasihat: Pasangan suami isteri Muslim sepatutnya mengamalkan sikap saling mempercayai. Mereka tidak perlu mengawasi pasangannya. Cukuplah Allah sebagai penjaga bagi kedua-duanya.

Balas Mesej

Apa hukumnya tidak membalas mesej yang masuk ke dalam inbox saya? Saya banyak menerima mesej daripada kenalan dan juga yang bukan kenalan.

Jawapan

Tiada kewajipan untuk membalas mesej yang masuk dan melayani setiap orang yang ingin berbual dengan kita. Lebih-lebih lagi jika kita tidak mengenalinya dan kandungan mesejnya bukan sesuatu yang mustahak.

Namun begitu, jika saudara mengenali orang tersebut, alangkah baiknya jika saudara membalas mesej itu walau dengan beberapa patah kata. Ini salah satu adab Muslim yang sangat baik.

Rasulullah bersabda: “Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain ada enam perkara: Jika ia memberi salam, maka jawablah. Jika ia mengundang, maka hadirilah. Jika ia meminta nasihat, maka nasihatilah. Jika ia bersin, maka doakanlah. Jika ia sakit, maka ziarahilah. Dan jika ia mati, maka hantarkanlah jenazahnya (ke perkuburan).” (Riwayat Al-Bukhari)

Hilang Malu

Bagaimana pula hukum seorang wanita menulis status yang menunjukkan seolah-olah dirinya sedang mencari calon suami?

Jawapan

Pada pandangan saya, laman sosial bukanlah media yang tepat untuk mencari jodoh. Identiti kebanyakan pengguna laman ini tidak jelas. Status mencari jodoh ini hanya akan membuka pintu kerosakan belaka.

Cara tradisional dalam mencari jodoh masih menjadi media yang paling baik. Yakni menerusi bantuan ibu bapa ataupun individu yang diyakini sifat amanahnya.

Tambahan: Saya perhatikan, laman sosial membuat ramai Muslimah hilang malu. Mungkin kerana mereka merasa selamat berselindung di sebalik gambar dan nama samaran. Mereka menyangka sesuatu yang memalukan untuk dilakukan dalam alam nyata boleh dilakukan di laman sosial.

Ramai yang menulis status kiasan seperti “calon imamku” dan “pemilik tulang rusuk”. Bahkan ada juga menawarkan diri menjadi isteri kepada lelaki tertentu menerusi mesej peribadi. Ini adalah satu tindakan yang kurang terpuji. Hakikatnya, seorang Muslimah wajib menjaga maruah dan sifat malunya di mana sahaja ia berada.

Padah Like

Apakah hukum menyukai (like) iklan arak?

Jawapan

Hukumnya haram. Sebagai Muslim, kita wajib membenci maksiat. Kita tidak boleh menunjukkan kesukaan dan sokongan kepada setiap perkara yang dibenci Allah.

kemusykilan-hukum-hakam-internet-7

Butang “like” memang sangat ringan ditekan. Namun jangan ingat ia tidak mengandungi nilai dosa dan pahala. Jika tersalah klik, ia boleh membawa padah.

Sekecil mana pun perbuatan kita, malaikat amal akan mencatatnya. Di saat hisab nanti, ia akan dipersoalkan kelak oleh Allah. Sufyan al-Thauri berkata: “Kita akan dipersoalkan semuanya hingga sebuah senyuman sekalipun. Allah akan bertanya: ‘Mengapa engkau tersenyum pada hari ini dan ini?”

Maka, hindarilah diri daripada menekan butang like dan share bagi perkara-perkara maksiat seperti iklan arak, pergaulan bebas, status memfitnah dan sebagainya. Kerana semuanya ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

Wall Keluhan

Saya perasan ramai pengguna media sosial yang mendedahkan masalah peribadinya di wall Facebook mereka. Sebahagian daripada mereka mengeluhkan keadaan hidup yang sukar, suami yang suka meradang, anak yang sukar diatur dan lain-lain. Apa hukum menulis status yang bernada keluhan seperti ini di laman sosial untuk bacaan awam?

Jawapan

Perbuatan seperti ini tidak disukai Islam. Kita dituntut untuk menutup keburukan dan menyebarkan kebaikan, bukan sebaliknya.

Allah berfirman: “Allah tidak suka menampakkan ucapan buruk kecuali daripada orang yang dizalimi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendengar.” (Surah al- Nisa’: 148)

Seseorang yang dizalimi boleh mengadukan kezaliman yang dialami kepada pihak berwajib seperti polis, hakim dan lain-lain, bukan menghebahkannya di media social kecuali ada keperluannya. Kesusahan hidup hendaklah diadukan kepada Allah. Hanya Allah yang dapat membantu kita. Keluhan yang diperlihatkan kepada manusia hanya akan mendatangkan kebencian dan penghinaan di hati makhluk.

Wallahu a‘lam.

USTAZ UMAR MUHAMMAD NOOR

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas