Menu

 

A+ A A-

MENDAMAIKAN SESAMA AHLI SUNNAH

SOALAN: Permasalahan ini membuat saya pening kepala. Ada yang mengatakan Allah di langit, ada juga yang mengatakan Allah tak bertempat. Yang mana pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah?

JAWAPAN

Untuk menjawab soalan ini, kita mesti mengetahui satu kaedah yang disepakati oleh semua Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu Allah berbeza dengan makhluk. Imaginasi akal manusia tidak dapat membayangkan zat dan sifat Allah yang Maha Tinggi. Apa-apa yang kita bayangkan tentang Allah, maka Allah jauh berbeza dengan itu.

Perkara ini disepakati oleh semua ulama dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sama ada daripada aliran Asy’ari, Maturidi mahupun Salafi. Dalilnya firman Allah: “Tiada sesuatu pun yang menyerupai Allah.” (Surah al-Syura: 11)

Berkenaan dengan soalan saudara, al-Quran memang mengandungi beberapa ayat yang mengisyaratkan Allah berada di atas langit, bahkan di atas Arasy. Antaranya firman Allah: “Allah yang Maha Penyayang, yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Taha: 5)

Para ulama bersepakat bahawa ayat ini memerlukan penafsiran yang mendalam. Jika dikatakan Allah di langit, maka dibimbangi akan timbul sangkaan seolah-olah Allah memerlukan tempat seperti makhluk-Nya. Maka, sekurang-kurangnya terdapat dua pandangan ulama dalam perkara ini:

mendamaikan-sesama-ahli-sunnah-3

 

Sama ada sikap tafwid ataupun takwil, kedua-duanya dibenarkan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka sering berkata, “Mazhab salaf lebih selamat (aslam), dan mazhab khalaf lebih kuat (ahkam).”

Maksud Takwil

SOALAN: Boleh ustaz jelaskan makna takwil? Saya sering dengar istilah ini dalam perbincangan akidah namun tidak memahami maksudnya.

JAWAPAN

Takwil merupakan salah satu teknik pentafsiran teks al-Quran dan sunnah. Ringkasnya, takwil ialah memilih makna yang jauh dalam meletakkan makna kalimat dan meninggalkan makna yang dekat. Sebagai contoh, kalimat “tangan”. Ia memiliki beberapa makna. Salah satu makna itu sangat dekat iaitu anggota tubuh. Makna ini dekat kerana ia segera terbayang di minda kita setiap kali kalimat “tangan” disebut.

Namun begitu, kalimat “tangan” ini juga terkadang mengandungi makna lain seperti pemberian, kekuasaan, bantuan dan sebagainya. Makna-makna ini dikira sebagai makna jauh bagi kalimat “tangan” sebab minda kita tidak beralih kepadanya melainkan dalam susunan ayat tertentu.

Keputusan kita untuk meninggalkan makna yang dekat, lalu beralih kepada makna yang jauh, apabila mentafsirkan makna kalimat ini disebut dengan istilah “takwil”.

Perhatikan makna kalimat tangan dalam contoh ayat berikut:

mendamaikan-sesama-ahli-sunnah-4

Takwil yang berlaku dalam Bahasa Melayu, berlaku juga dalam Bahasa Arab. Bahkan konsep dan bentuk majaz dalam bahasa Arab jauh lebih luas kerana ketinggian sasteranya. Maka konsep takwil seperti ini sebenarnya sangat diperlukan dalam memahami kandungan al-Quran dan sunnah yang berbahasa Arab.

Hukum penggunaan takwil menjadi perbincangan apabila perbahasan menyentuh ayat-ayat atau hadishadis yang membincangkan zat dan sifat Allah. Ulama dari kalangan Salafiyyah melarang penggunaan takwil, namun ulama aliran Asy’ariah membolehkannya.

Pendapat pertengahan disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Daqiq al-Id yang berkata: “Engkau wajib meyakini sifat-sifat yang musykil [maknanya] bahawa ia benar adanya sebagaimana yang dikehendaki Allah. Jika ada yang mentakwilnya, maka kita hendaklah memperhatikannya. Jika takwilnya dekat dengan kaedah-kaedah Bahasa Arab, maka kita tidak mengingkarinya. Namun jika takwil itu jauh (dari kaedah dan tradisi Arab), maka kita tidak boleh menerimanya. Dan kembalilah kepada sikap mengimani sambil mensucikan Allah.” Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan ucapan ini dalam Fath al-Bari dan menyetujuinya.

mendamaikan-sesama-ahli-sunnah-5

Menyalahi Hadis

SOALAN: Saya hairan mengapa banyak sekali pendapat ulama yang menyalahi hadis sahih? Mengapa mereka tidak mahu menerima hadis Nabi?

JAWAPAN

Saya tidak faham siapakah ulama yang anda maksudkan ini? Jika anda maksudkan ulama-ulama yang menjadi ikutan mazhab seperti Abu Hanifah, Malik, Syafii dan Ahmad, maka mereka tidak mungkin menyalahi hadis Nabi.

Menurut Ibn Taymiah, semua ulama sangat tunduk kepada Baginda Rasulullah. Setiap kali menemukan hadis yang sahih sanadnya dan jelas kandungan matannya, mereka segera mengamalkan hadis itu. Jika ada pendapat mereka yang menyalahinya, mereka segera memperbaikinya.

Namun begitu, kita wajib tahu bahawa ilmu hadis sangat luas. Ilmu ini juga terbuka untuk perbezaan pendapat sama ada yang berkaitan dengan kriteria kesahihan sanad ataupun yang berkaitan kandungan matannya. Boleh jadi sebuah hadis yang anda lihat sahih tidak dapat mereka amalkan kerana kecacatan tersembunyi yang terdapat dalam sanad ataupun matannya.

Maka, Ibn Taymiah menyatakan: Apabila bertemu pendapat ulama yang menyalahi hadis, itu mestilah kerana salah satu daripada sebab-sebab ini:

1. Ulama itu tidak meyakini hadis tersebut berasal daripada Nabi. Mereka meragui kesahihannya kerana cacat tertentu walaupun disahihkan oleh ahli hadis yang lain.

2. Ulama itu meyakini kandungan hadis itu bukan ditujukan untuk masalah berkenaan. Mungkin kerana kalimatnya ditakhsis oleh hadis lain, ditafsirkan oleh hadis lain, atau sebab-sebab lainnya.

3. Ulama itu meyakini bahawa hokum yang terkandung di dalam hadis itu telah dimansukh. Hadis Mansukh tidak boleh diamalkan. Maka, menjaga sangka baik kepada ulama sangat digalakkan. Walaupun mereka manusia biasa yang terbuka untuk salah dan lupa, namun mereka pakar dalam bidang masing-masing. Dan kesalahan seorang pakar bukanlah sesuatu yang sangat jelas sehingga boleh diketahui oleh seorang pelajar yang baru menuntut ilmu.

mendamaikan-sesama-ahli-sunnah-6

Kedudukan Asy’ariyah

SOALAN: Adakah Asya’ariyah termasuk ahli sunnah dan pengikut salaf?

JAWAPAN

Ya. Mereka termasuk Ahli Sunnah Wal Jamaah dan pengikut setia tokoh-tokoh salafus saleh.

Asy’ariyah ialah satu aliran yang berpegang dengan kaedah-kaedah yang diletakkan Abu al-Hasan al-Asy’ari dalam memahami dan mengamalkan akidah Islam. Menurut Dr. Muhammad Imarah, aliran ini mengambil pendekatan pertengahan (wasatiyyah) antara rasionalis (‘aqlaniyyun) dan literalis (nassiyun).

Aliran Asy’ ariyah tidak berlebihan dalam menggunakan akal sehingga meletakkannya lebih tinggi daripada nas al-Quran dan hadis seperti Muktazilah. Pada masa yang sama, mereka tidak juga mengesampingkan akal sama sekali. Aliran Asy’ari menggunakan akal sebagai penyokong, pentafsir dan saksi kebenaran nas al-Quran dan sunnah.

Asy’ariyyah turut menjadikan generasi salaf sebagai anutan mereka. Berkata Tajuddin al-Subki dalam Tabaqat al-Syafiiyah: “Ketahuilah bahawasanya Abu al-Hasan tidak mereka pendapat atau menciptakan mazhab baru. Beliau hanya menetapkan akidah Salaf dan memperjuangkan pegangan para sahabat Nabi.”

Sungguh keliru orang yang menuduh beliau membuat bidaah dan membawa ajaran yang menyalahi pegangan salaf. Sebaliknya, mereka sangat tegar membela akidah salaf dan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana pengiktirafan para ulama dari zaman ke zaman.

mendamaikan-sesama-ahli-sunnah-7

Salafi

SOALAN: Adakah salafi ahli sunnah?

JAWAPAN

Ya. Mereka juga termasuk dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Menurut Syeikh Abu Zahrah dan Dr. Imarah, Salafiyah sebenarnya ialah pengikut akidah dan fiqah Imam Ahmad bin Hanbal. Mereka berusaha mengembalikan akidah umat Islam kepada ajaran salafus saleh setelah dirosakkan oleh kesesatan puak-puak ahli bidaah seperti Muktazilah, Qadariah, Syiah dan lain-lain.

Aliran ini kembali dihidupkan oleh Ibn Taymiah pada abad kelapan hijrah, lalu disambung oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada abad 12 Hijrah. Pada hari ini, salafiyah merupakan aliran yang meliputi banyak sekali kumpulan yang berbeza haluan dan pendirian. Dari aspek prinsip akidah dan fiqah, aliran salafiyah tetap berpegang kepada al-Quran, hadis sahih dan pendapat para ulama terdahulu. maka penguasa Islam di Malaysia tidak memasukkan kumpulan ini ke dalam kategori aliran sesat.

Pendekatan Keras

Satu perkara yang selalu diperbincangkan ialah berkenaan dengan sikap mereka yang dinilai keras dan tidak simpati. Syeikh Abu Zahrah pernah berkata: “Ulama Wahabiyah selalu menyangka pendapat mereka benar dan tidak mungkin salah, sementara pendapat orang lain salah dan tidak mungkin benar.” Sikap ini tentu sahaja tidak terpuji. Sehubungan dengan itu, ramai menyeru para ulama semasa menyeru agar pengikut salafiyah mengkaji kembali pendekatan mereka dalam berinteraksi dengan sesama Muslim. Dr. al-Qaradawi dalam bukunya al-Sahwah al-Islamiyah berkata: “Kami menyeru kepada salafiyah dengan seluruh kumpulannya agar melihat kaum Muslimin sebagai saudara seagama, yang menghadap ke kiblat yang sama, sekalipun berbeza dalam furuk akidah dan fiqah.” Seruan ini turut ditujukan kepada semua aliran yang lain. Kewajiban kita sebagai Muslim ialah meniru akhlak Rasulullah dan para sahabat. Mereka sangat lembut, beradab dan berakhlak mulia. Mereka tidak suka mencaci dan mencela, akan tetapi berdakwah dan mengajar.

Pengikut Salaf

SOALAN: Saya melihat di sini terdapat dua aliran yang sama-sama mengaku pengikut salaf, namun selalu berbeza pandangan. Iaitu aliran Asy’ariyah dan aliran Salafiyah. Bolehkah ustaz jelaskan di mana persamaan dan perbezaan kedua-dua aliran ini?

JAWAPAN

Titik persamaan kedua-dua aliran ini sangat banyak. Salah seorang yang menyebutkan perkara ini ialah Sayfudin al-Amidi dalam kitabnya Abkar al-Afkar. Apabila berbincang tentang aliran yang selamat (al-firqah al-najiyah), al-Amidi berkata: “Aliran ini ialah Asy’ariyah, Salafiyah dari kalangan ahli hadis dan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebab mereka tidak mencampur prinsip akidah mereka dengan bidaah-bidaah Qadariyah, Syiah, Khawarij, Murjiah, Najjariyah, Jabriyyah, Musyabbihah yang telah dijelaskan kesesatan pandangan mereka sebelum ini.

“Mereka bersepakat tentang baharunya alam, wujudnya Allah, tiada pencipta melainkan Allah. Ia Maha Qadim dan terus menerus wujud. Ia memiliki sifat-sifat sempurna seperti ilmu, kudrat, iradat dan lain-lain.”

Beliau lalu menyebutkan beberapa permasalahan akidah lainnya yang terlalu panjang untuk disebutkan di sini. Sila rujuk buku tersebut bagi sesiapa yang menginginkan perbahasan lebih terperinci.

Perbezaan pendapat yang berlaku antara kedua-dua aliran ini pun cukup banyak, walaupun tidak sebanyak persamaan mereka. Antaranya berkaitan dengan cara mentafsirkan sifat-sifat Allah yang dilihat dapat melahirkan kesalah fahaman seperti “wajah Allah”, “tangan Allah”, “istiwa” dan lain-lain. Aliran Asy’ari membolehkan takwil, manakala aliran Salafi melarangnya. Namun kedua-duanya sepakat bahawa Allah tidak menyerupai makhluk.

Guru Bersanad

SOALAN: Adakah seorang guru wajib bersanad? Dan adakah kita wajib mengambil ilmu hanya daripada guru-guru yang memiliki sanad?

JAWAPAN

Sanad ialah rantaian nama-nama perawi yang menghubungkan seseorang kepada Rasulullah. Dalam ilmu hadis, sanad sangat penting untuk memastikan kesahihan hadis. Sebab jika terdapat seorang perawi yang lemah hafalannya atau tidak berjumpa dengan gurunya dalam sebuah sanad, maka hadis berkenaan dinilai lemah.

Menurut para ulama, sistem sanad ini hanya dimiliki umat Islam. Tiada agama lain yang memiliki kajian teliti seperti ini. Bagaimanapun, setelah semua hadis sempurna dikumpulkan pada kira-kira abad 5H, fungsi sanad bukan lagi sebagai penentu kesahihan, akan tetapi sekadar ingatan umat Islam kepada kelebihan ini. Demikian dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn al-Salah dalam kitab ‘Ulum al-Hadith.

Menjawab soalan saudara, pada zaman sekarang memilih guru yang bersanad bukan satu kewajipan. Anda boleh belajar daripada sesiapa sahaja yang berkelayakan tanpa melihat adakah ia memiliki sanad atau sebaliknya.

Wallahu a‘lam.

 

USTAZ UMAR MUHAMMAD NOOR     

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas