Menu

 

A+ A A-

MENGUAP DARIPADA SYAITAN

Soalan: Saya inginkan penjelasan bagi meleraikan kekusutan berkenaan dengan menguap. Menurut hadis-hadis yang saya baca, menguap itu berasal daripada syaitan. Tetapi saya kematian hujah apabila seorang sahabat mengaitkan menguap itu dengan fakta sains, iaitu kerana kekurangan oksigen. Saya jadi keliru. Mungkinkah hadis Nabi bertentangan dengan sains?

Jawapan:

Hadis sahih tidak akan bertentangan dengan fakta yang sahih. Itulah kaedah yang mesti menjadi pegangan seorang Muslim. Justeru, jika menemukan sebuah hadis yang kandungannya seolah-olah menyalahi fakta sains atau tidak masuk akal, maka ada tiga kemungkinan:

1.   Hadis tersebut tidak sahih.

2.   Kita tersalah faham memahami kandungannya.

3.  Fakta sains tersebut belum terbukti kebenarannya. Berkenaan dengan hadis yang ditanyakan ini, hadis tersebut sahih daripada Nabi menerusi beberapa sanad. Salah satunya bersambung hingga ke Abu Hurairah yang meriwayatkan sabda Rasulullah: “Menguap berasal daripada syaitan. Jika salah seorang kamu menguap, hendaklah ia menahannya sedaya mungkin. Sesungguhnya apabila kamu mengeluarkan suara ‘ha’, maka ketika itu syaitan tertawa.” (Riwayat al-Bukhari) Apabila kita merujuk kitab-kitab syarah hadis, secara umumnya terdapat dua sikap ulama dalam mentafsirkan hadis ini.

MENGUAP2

Secara peribadi, saya cenderung kepada sikap yang kedua ini. Analisis kalimat syaitan dalam al-Quran dan sunnah menunjukkan makna yang sangat meluas. Segala sesuatu yang buruk dan merosak sama ada berbentuk manusia, jin ataupun makhluk lain layak dinamakan syaitan.

Fakta sains yang anda sebutkan di atas hanyalah salah satu teori yang diajukan untuk menjelaskan fenomena menguap. Bagaimanapun, pandangan yang dikenal juga sebagai the physiological theory ini diperdebatkan kebenarannya oleh para saintis. Beberapa teori lain diajukan, namun kesemuanya tetap belum menghasilkan sebuah pendapat final yang boleh dinyatakan sebagai “fakta sains”.

Bahasa Arab

Soalan: Saya belum pernah mendengar kalimat syaitan dimaksudkan seperti ini. Bolehkah ustaz huraikan lebih lanjut?

Jawapan:

Menurut ahli bahasa Arab, kalimat syaitan sama ada berasal dari kata Syata (bermakna binasa dan terbakar) atau daripada Syatana (bermakna jauh dan terusir). Al-Jauhari dalam kitab al-Sihah merumuskan: “Setiap sesuatu yang liar (suka merosak) daripada jin, manusia ataupun haiwan dinamakan syaitan.”

Jika kita bawa pengertian ini dalam konteks moden, maka virus, kuman (germs), bakteria dan mikrob jahat termasuk dalam kategori syaitan. Para ulama terdahulu tidak mengetahui kewujudan organisma halus ini kerana tidak dapat dilihat tanpa peralatan moden. Andai mereka mengetahuinya, nescaya mereka akan memasukkannya dalam kategori syaitan.

Hadis ini sekali gus menunjukkan mukjizat Rasulullah. Baginda telah mengetahui perkara ini sebelum Louis Pastuer membuktikan mikroorganisma penyebab infeksi pada akhir abad 19 Masihi. Kalimat syaitan digunakan hanya untuk mendekatkan pemahaman masyarakat yang hidup pada zaman itu. Wallahu a’lam.

Tidak Menolak Hadis

MENGUAP3Soalan: Saya keliru. Saya merasa pentafsiran majazi yang ustaz sebutkan ini seolah-olah menolak berita yang disampaikan oleh Nabi. Mohon penjelasan daripada ustaz.

Jawapan:

Saya tegaskan bahawa pentafsiran majazi bukan menolak sabda Nabi. Setiap mukmin wajib mengimani semua berita yang disampaikan oleh Rasulullah sama ada yang berbentuk al-Quran ataupun sunnah.

Pentafsiran majazi terhadap kandungan hadis lahir daripada realiti adanya majaz dalam bahasa Arab. Dan sebagai produk bahasa Arab, hadis Nabi turut mengandungi majaz.

Salah satu bukti yang menunjukkan adanya majaz dalam hadis adalah sabda Nabi kepada isteri-isterinya: “Orang pertama yang akan menyusulku setelah aku wafat nanti adalah orang yang paling panjang tangannya di antara kalian.” (Riwayat al-Bukhari.

Pada mulanya isteri-isteri Baginda memahami ucapan ini secara hakikat. Mereka menyangka Saudah adalah orang yang di maksud oleh Nabi sebab ukuran tangan beliau paling panjang. Namun apabila Zainab wafat terlebih dahulu, mereka tersedar bahawa yang dimaksudkan bukanlah makna hakiki, tetapi majazi. “Yang paling panjang tangannya” rupanya bermakna “yang paling suka bersedekah” sebab Zainab memiliki sifat seperti itu.

Menyedari realiti ini, para ulama selalu berhati-hati memahami kandungan hadis. Pendekatan majaz sering digunakan mengikut kaedah-kaedah bahasa Arab yang benar. Sesiapa yang menginginkan penjelasan lebih terperinci, sila merujuk buku saya yang bertajuk Takwil Hadis.

Syaitan Tertawa

Soalan: Bagaimana pula pentafsiran “syaitan tertawa” dalam hadis di atas? Takkanlah kita meletakkan makna bakteria atau kuman itu tertawa?

Jawapan:

Sekali lagi, ini terbuka untuk dua bentuk pentafsiran sebagaimana sebelumnya, iaitu pentafsiran hakikat ataupun majaz. Secara hakikat, ini adalah satu perkara ghaib yang diberitakan oleh Baginda s.a.w. dan kita hanya dituntut untuk mempercayainya sahaja. Secara majaz, kita dapat mengatakan bahawa ucapan ini merupakan majaz imaginatif (takhyili) untuk menggambarkan buruknya perbuatan tersebut. Kalimat syaitan digunakan untuk menjauhkan manusia daripada melakukan perkara itu sejauh-jauhnya.

Wallahu a‘lam.

UST. UMAR MUHAMMAD NOOR

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu13

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas