Menu

 

A+ A A-

ISLAM MEMBERI KEMUDAHAN

Kita tidak selamanya sihat. Kalau bukan hari ini, suatu hari kita pasti jatuh sakit. Bukan hanya kita, ahli keluarga kita tentu akan jatuh sakit. Sama ada anak, pasangan, ibu bapa ataupun adik beradik dan sahabat kita. Sakit itu boleh jadi ringan, boleh jadi berat.

Sebagai Muslim, kita wajib mempersiapkan diri sebelum jatuh sakit. Selain mempersiapkan kondisi kewangan yang cukup untuk membayar bil hospital dan ubat-ubatan, lebih penting adalah membekali diri dengan ilmu yang cukup agar kita tetap menjadi hamba Allah yang taat walau dalam keadaan sakit parah sekalipun. Sebab sakit adalah ujian yang Allah berikan kepada hamba-Nya untuk menilai setinggi mana darjat ‘ubudiah kita.

Perbincangan fokus kali ini mengajak kita untuk menerokai pelbagai cara dan keringanan yang diberikan oleh Islam bagi para pesakit dan orang yang mengurus mereka. Perbincangan ini insya-Allah akan membuka mata bahawa Islam sangat mudah dan memberikan kemudahan bagi umatnya.

Keringanan Kerana Sakit>

Soalan: Bolehkah ustaz jelaskan bentuk-bentuk keringanan yang diberikan kepada pesakit?

Jawapan:

Salah satu prinsip utama hukum Islam adalah menginginkan keringanan bagi umat Islam. Allah berfirman: “Allah menginginkan kemudahan bagimu, dan tidak menginginkan kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah: 185) Antara bentuk-bentuk keringanan yang Allah berikan bagi pesakit adalah:

 keringanan

Pindah Mazhab

Soalan: Saya pernah menjalani rawatan di hospital beberapa hari kerana luka-luka akibat satu kemalangan jalan raya. Saya berasa sangat sukar melakukan solat pada waktu yang telah ditetapkan. Salah seorang rakan memaklumkan bahawa saya sebenarnya boleh melakukan solat jamak menurut pendapat ulama Hambali. Saya ini bermazhab Syafii. Bolehkah dalam perkara ini saya pindah ke mazhab Hanbali untuk mengambil keringanan tersebut?

Jawapan:

Boleh. Tidak ada larangan untuk mengambil pendapat yang lebih mudah untuk keadaan anda selagi mana pendapat itu berasal daripada fatwa ulama-ulama yang diakui keilmuannya di dunia kesarjanaan Islam.

Huraian: Sultan Ulama Izzudin bin Abdul Salam pernah ditanya oleh seorang pesakit kencing tidak lawas yang bertugas sebagai imam masjid. Ia selalu berada di masjid sebelum masuk waktu, lalu azan dan menunggu para jemaah. Dalam mazhab Syafii perbuatan ini tidak diperbolehkan sebab pesakit kencing tak lawas mesti berwuduk setelah masuk waktu lalu melakukan solat dengan segera. Justeru ia bertanya: “Bolehkah bertaklid mazhab Maliki yang membolehkan perkara ini?”

Pakar fiqah mazhab Syafii ini menjawab: “Ya. Ia boleh bertaklid (mazhab Maliki) dalam semua perkara ini.” Demikian dalam kitab Fatawa beliau. Selain beliau, ramai para ulama terdahulu dan terkemudian membolehkan perkara ini. Syeikh Ali Jumaah (mantan mufti Mesir) antara yang berpendapat sedemikian. Dalam kitab al-Fatawa al-‘Asriyyah, beliau berkata: “Mesti diketahui bahawa orang yang tertimpa sebahagian daripada masalah-masalah yang dikhilafkan, lalu ia beminat mempraktikan salah satunya kerana kesusahan atau tidak mampu melakukan selainnya, maka bertaklidlah kepada orang yang mengharuskannya.”

Cara Menasihati

Soalan: Saya bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital kerajaan. Saya perhatikan ramai pesakit yang tidak melakukan solat di wad mereka. Mohon panduan dari ustaz mengenai cara menasihati para pesakit itu agar melakukan solat tanpa menyinggung perasaannya.

Jawapan:

Kaji selidik secara rambang kepada para pesakit di hospital-hospital mendapati hanya sedikit sahaja pesakit yang mengambil berat masalah ibadat sepanjang keberadaan mereka di wad-wad hospital. Kebanyakan mereka meninggalkan kewajipan solat kerana pelbagai alasan sama ada kerana tidak tahu cara bersuci dan solat dalam keadaan sakit, atau kerana malas.

Kewajipan setiap orang yang memiliki ilmu untuk menasihati mereka sedaya yang termampu. Menjaga perasaan dalam dakwah memang sangat digalakkan. Namun terlalu berlebih dalam perkara ini sering kali merupakan helah syaitan untuk menutup mulut kita daripada memberi nasihat dan berdakwah.

Justeru berikanlah nasihat itu dengan hati yang ikhlas kerana Allah. Beritahu dia tentang kewajipan solat yang tetap dibebankan kepada manusia meskipun sedang sakit. Insya-Allah pesakit akan menerimanya dengan hati yang terbuka. Sesuatu yang datang dari hati akan menetap di hati.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.13


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas