TREND AMBIL RINGKAS
- Ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
- Kategori Terkini
- Read 5548 times
Soalan: Satu trend kurang sihat yang kerap saya lihat sejak dahulu hingga sekarang adalah desakan dan keinginan penyoal kepada jawapan ringkas dan mudah. Fenomena ini berlaku agak meluas di kalangan orang awam di negara kita. Mereka inginkan satu jawapan pendek tanpa ingin mendengar sebarang syarat dan ulasan serta penjelasan. Apa pandangan Dr Zaharuddin berkenaan masalah ini?
Jawapan:
Memang benar, saya kerap ditanya soalan seperti berikut:
“Apa hukum demonstrasi, ustaz?”
“Apa hukum sambutan hari jadi?”
“Apa hukum forex tanpa leverage?”
“Apa hukum jual barang ini?”
“Bolehkah kita makan ayam Mcdonald dan KFC?”
“Saya nak jamak solat kerana tersekat jem di jalan raya, boleh ke?”
“Bagaimana kalau saya solat fardu dalam kereta sahaja kerana di United Kingdom ni mungkin bahaya solat di tempat awam, nanti mereka tuduh terroris?”
“Boleh kan jika saya tayamum guna batu?”
“Saya masih pelajar tapi saya mesti berdakwah, wajibkah?”
“Saya masih di tahun ketiga university tetapi nak berkahwin, okey ke nak kahwin semasa belajar?”
“Ustaz, saya nak berpoligami dan ada kemampuan, kira okey kan ustaz?”
“Saya nak pergi haji walaupun ada hutang, boleh tak?”
“Saya terpaksa berkongsi rumah dengan pelajar wanita di sini kerana kos hidup di UK terlalu tinggi, ia darurat, boleh tak ustaz?”
“Boleh tak menyertai skim perniagaan MLM?”
“Imam Ghazali kata semua alat muzik boleh main, jadi saya nak masuk kelas gitar, boleh kan ustaz?”
Dan seribu satu macam soalan lagi yang diajukan.
Persoalan dan Punca
Bagaimana sebenarnya jawapan yang penyoal ingin dengar dan apa sebenar kandungan jawapan yang ingin disampaikan, ia sering kali tersasar. Salah siapa? Penyoal yang hanya memikirkan jawapan yang ingin didengari atau pemberi yang kurang cekap dan berhati-hati?
Lebih elok tidak menuding jari. Namun begitu, perlu dicari beberapa punca kefahaman jawapan tersasar. Dari senarai panjang sebab musababnya, ada yang timbul dari pemberi jawapan dan ada yang datang dari penyoal. Namun bagi tidak menulis panjang lebar, ingin saya pilih satu sahaja sebab dan diulas secara ringkas.
Saya dan beberapa rakan yang kerap membantu merungkaikan permasalahan agama dari orang ramai sentiasa berusaha memberikan sesuatu yang baru kepada minda umat Islam serta memberi jawapan yang spesifik sesuai dengan keadaan dan latar belakang soalan. Kami cuba mengelak dari memberi jawapan ringkas tanpa huraian dan syarat.
Huraian dan pemberitahuan berkenaan syarat-syarat bagi sesuatu hukum amat penting agar kefahaman penyoal jelas bukan setakat kepada soalan yang ditanya sahaja, tetapi melangkaui pelbagai persoalan lain dalam situasi yang berbeza. Ia penting bagi menambah kemampuan masyarakat untuk mengerti status hukum pada masa akan datang tanpa perlu merujuk semula kepada pemberi jawapan.
Bagi mencapai objektif ini, sudah tentu kami ingin mulakan daripada individu yang masih mempunyai keinginan untuk bertanya mengenai pandangan Islam dalam kehidupannya. Iaitu mereka yang masih yakin dengan halal dan haram, dosa dan pahala.
Kami akui, sebahagian besar dari kumpulan yang mempunyai benih iman ini punyai minda yang lebih cenderung inginkan jawapan ringkas seperti salah satu dari lima hokum yang disebut di atas.
Minda sebegini perlu diubah, ini minda yang sefesyen dengan minda ingin cepat kaya, cepat faham, cepat lulus, cepat segala-galanya. Ia bukan dari kaedah tepat dalam memahami dan mempelajari ilmu. Ia lebih mudah membawa kesilapan faham.
Syarat Dilupakan
Jawapan dari ilmuwan syariah yang baik biasanya akan disertai dengan ulasan dan syarat-syaratnya. Perlu diingat hukum dengan mudah boleh berubah apabila sesuatu syarat tidak dipenuhi atau situasi berbeza.
Hampir semua suruhan dan larangan dalam Islam mempunyai syaratnya. Ia fenomena lumrah dalam hokum hakam agama. Maka tidak lengkap pengajian tanpa mempelajari dan meneliti syarat. Sesuatu perbuatan baik seperti solat mungkin sahaja ditolak tanpa ditunaikan syaratnya.
Firman Allah berkenaan arahan-Nya kepada Nabi Adam a.s: “Dan Kami berfirman: “Hai Adam diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah: 35)
Lihat, kebenaran yang diberikan oleh Allah untuk menginap di syurga. Namun masih ada syarat dan larangannya. Tanpa penelitian kepadanya, akan jatuhlah dalam larangan.
Juga sabda Nabi: “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku menunaikan solat” (Riwayat al-Bukhari)
Perkataan ‘sebagaimana kamu melihat aku solat’ adalah syarat dan tuntutan kepada setiap individu Muslim untuk mempelajari dengan mendekati hadis-hadis berkenaan cara Nabi solat, jika tidak mampu memahami secara terus, melalui fatwa ulama Syafii atau lainnya.
Apa yang penting, kalau solat secara semberono tanpa ilmu, tanpa fahami syarat dan tuntutannya. Ia bukanlah solat seperti yang didirikan oleh Baginda Nabi s.a.w. dan sebagaimana yang diarahkannya.
Nama Tanpa Isi Satu
Satu kontrak halal dalam perniagaan seperti jual beli secara murabahah boleh dengan mudah menjadi murabahah yang haram apabila syaratnya dilanggari. Demikian juga kontrak pelaburan Islam seperti mudarabah yang cukup popular, kerap kali disalahgunakan kerana penganjur dan pelaburnya tidak membaca syarat sah bagi kontrak Mudarabah. Akhirnya tinggal nama tanpa roh.
Demikian orang Islam tanpa meneliti syarat sebagai seorang Muslim, mereka hanya akan menjadi beban kepada Islam. Merosakkan imej Islam di mata penganut agama lain. Mengapa? Kerana tidak meneliti dan memahami syarat seorang Muslim. Namun masalahnya, senarai syarat ini kerap kali dilupakan, ditinggalkan dan tidak diendahkan, sehingga seseorang boleh beramal dengan salah kerana tidak meneliti syarat dalam jawapan yang diberikan.
Fatwa hebat dari dua tokoh ilmuwan seperti Imam Abu Hamid al-Ghazali dan Syeikh Yusuf al-Qaradawi berkenaan muzik turut menjadi mangsa salah faham dan sikap malas pembaca syarat bagi hukum.
Memang benar kedua-dua mereka memberi fatwa keharusan menggunakan alatan muzik dari jenis apa pun. Namun terlalu ramai yang membaca fatwa dan pandangan ini mengutip 10 % dari fatwanya lalu meninggalkan bakinya. Mereka hanya mengambil hukum “harus”, tanpa membaca dengan teliti bilakah yang dikatakan harus itu, dan bila pula ia bertukar menjadi haram.
Malangnya, dengan kelemahan itu mereka mengambil dan menyebarkan fatwa hukum harus muzik, sambil melupakan bahawa kedua-dua tokoh tadi meletakkan syarat-syarat yang mesti diambil kira bagi sesiapa sahaja yang ingin beramal dengan fatwa mereka.
Tanpa melihat syarat, seseorang sebenarnya telah salah dalam mengambil fatwa kedua tokoh terbabit, terlebih salah lagi apabila menyebarkannya. Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ni. Ramai yang ingin fatwa “mee segera” dan melupakan syarat. Mereka hanya ingin baca apa-apa yang mereka ingin baca bukan fahami perkara yang pemberi jawapan inginkan mereka faham.
Baru-baru ini, saya menulis pandangan berkenaan hukum membeli dan menjual melalui web eBay. Kesimpulannya harus dengan syaratsyarat. Namun pastinya sudah ada yang mula menyatakan harus dengan melupakan syarat.
Demikian juga bagi mereka yang membaca hukum onani yang difatwakan oleh Syeikh al-Qaradawi, tetapi melupakan syarat-syaratnya.
Perkara yang sama dalam hal MLM, apabila saya katakan syubhah atau haram, mereka lupakan bahawa saya sertakan beberapa sebab dan bentuk yang menyebabkan ia jatuh haram atau syubhah. Dipukul rata semuanya haram dan disandarkan kepada nama saya. Demikian juga halnya dalam isu Forex, hukum solat dalam kenderaan, jamak solat bukan kerana musafir, makan makanan ahli kitab dan macam-macam lagi.
Makin Rosak
Akibatnya ramai yang sesuka hati mencedok fatwa dan pandangan ilmuwan separuh-separuh. Mereka menyangka mereka telah menjadi baik tetapi kejahilan akhirnya menyebabkan lebih banyak kerosakan.
Apabila fenomena ini berkembang, ia menjangkiti ilmuwan syariah yang baru terjun dalam bidang konsultasi hukum kepada orang awam dan juga generasi veteran yang sudah lama. Akibat kecenderungan awam yang ingin ringkas dan pendek. Jawapan hukum turut menjadi pendek dan ringkas, kononnya memudahkan, tetapi hakikatnya mengelirukan dan menjauhi proses pendidikan sebenar.
Ilmuwan menjadi semakin malas, sehingga fatwa turut malas dibuat huraian, lebih malas untuk digariskan syarat-syarat itu ini. Kononnya agar tidak mengelirukan orang awam dan memeningkan mereka.
Ya, ia mungkin boleh memberikan kemudahan jangka pendek tapi kemudaratan jangka panjang! Buku hukum dan fatwa pun jadi pendek dan ringkas, tanpa syarat, tanya satu baris jawapan pun satu baris, memudahkan bukan? Tidak semua yang pendek dan ringkas itu mudah, ia pasti membawa pelbagai takwilan dan tafsiran sendiri oleh pembaca.
Ilmuwan tidak wajar terikut dengan kehendak orang ramai, sepatutnya mereka yang mencorakkan pemikiran orang ramai agar lebih rajin dan teliti.
Bayangkan betapa telitinya Imam Syafii, Imam Abu Hamid Ghaz ali, Imam Nawawi dan ramai lagi dengan buku mereka berpuluh, malah beratus jilid. Ilmuwan berlumba-lumba mengarang kitab yang terperinci dan ada pula yang ringkas tapi padat dengan syarat dan nasnya. Skil penulisan dan pemilihan syarat dan nas serta persembahan adalah ditagih.
Islam Ajak Kita Teliti Dan Rajin
Allah berfirman: “Ketahuilah (pelajarilah dengan ilmu jelas), sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan kemudian pintalah ampun bagi dosamu, dan bagi (dosa) orang mukmin, lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu.” (Surah Muhammad: 19)
Ini satu nilai yang mesti kita faham, bagi sesiapa jua yang ingin melaksanakan Islam dalam dirinya dengan berkesan, mereka tidak boleh malas membaca dan berfikir dan seterusnya menghayati.
Saya bimbang jika trend ambil ringkas, pukul rata ini digunakan, akhirnya umat Islam akan semakin lembik, lembap dan hanya memberikan penelitian dalam hal keduniaan, penelitian dalam hal akhirat dianggap membebankan lalu ditinggalkan. Lebih teruk apabila dalam kedua-duanya tidak teliti.
Selain itu ia juga boleh mencetuskan salah faham antara ilmuwan A dengan ilmuwan B atau C, D dan lainnya. Salah faham akibat, seorang atau sekumpulan awam menyampaikan kepada ilmuwan B, C dan D, bahawa ilmuwan A berkata hukum ini halal, itu haram, dan meninggalkan huraian dan syarat-syaratnya. Ilmuwan B, C dan D pula merasakan sebaliknya, lalu tanpa berfikir panjang akan dicemuh ilmuwan A dengan kata-kata nista dan penghinaan. Orang awam terus keliru atau menjadi berpecah dan menyampaikan cemuhan dari seorang ke seorang yang lain, akhirnya ilmuwan bertempur sesama sendiri akibat mis communication antara sesama mereka.
Saya kerap membaca dan melihat pertempuran antara beberapa individu berkenaan hukum Islam sedangkan sebenarnya mereka sama pendapat, cuma akibat keegoan masing-masing serta tidak ingin merujuk kepada sumber asal dan tidak membaca dengan hati bersih dari sangka buruk, mereka bertempur hingga pastinya digoda syaitan untuk menunjuk “aku lebih alim”, bukan untuk mencari kebenaran.
Antara puncanya, tidak membaca syarat-syarat yang diletakkan oleh masing-masing, sehingga A bercakap berkenaan ‘tasik’, ilmuwan B bercakap tentang ‘sungai’. Kedua-dua mereka menyangka sedang berdebat berkenaan topik masing-masing, ia mungkin berpunca akibat pembaca yang malas merujuk kepada syarat dan huraian.
Cukuplah terlalu meringankan dan meringkaskan, kelak nanti merosakkan.
Wallahu a‘lam.
DR. HJ. ZAHARUDDIN HJ. ABD RAHMAN
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu13
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.