Menu

 

A+ A A-

SAYANG IBU BAPA, ALLAH SAYANG KITA

Dewasa ini kita sering mendengar kes-kes penderhakaan kepada ibu bapa yang dilakukan oleh anak-anak terutamanya dalam kalangan belia. Penderhakaan kepada ibu bapa boleh berlaku dalam pelbagai situasi antaranya melalui percakapan dan juga perbuatan. Allah telah menjelaskan kepada manusia bahawa cukuplah dikatakan derhaka apabila seorang anak berkata ‘ah’ ataupun seumpamanya kepada orang tuanya.

Dalam hal ini Allah telah memberitahu kita dengan firman Nya: “Dan janganlah kamu berkata kepada mereka ‘ah’ (atau seumpamanya) dan janganlah kamu menengking mereka dan berkatalah kepada mereka dengan perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’: 23)

Dalam Islam kita disuruh untuk menjaga kebajikan kedua-dua orang tua kita. Maksud menjaga kebajikan di sini ialah memastikan mereka mendapat perhatian daripada anakanak terutama apabila mereka telah menjangkau usia tua. Perlulah kita tahu bahawa menjaga kebajikan kedua-dua ibubapa itu amat besar pahalanya, malah lebih besar daripada berjihad di medan peperangan.

Daripada Abdullah bin Mas’ud beliau telah bertanya kepada Rasulullah mengenai amalan yang paling disukai oleh Allah? Maka jawab Baginda: “Solat pada waktunya”. Kemudian beliau bertanya lagi : “Apakah seterusnya?” Jawab Rasulullah: “Berbakti kepada kedua-dua orang tua.” Kemudian beliau bertanya lagi: “Apakah seterusnya?” Jawab Rasulullah: “Jihad di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)

Cara Berbakti Kepada Ibu Bapa

1. Memberi nafkah.

SAYANG KELUARGA1Islam mewajibkan seseorang anak untuk menjaga nafkah kehidupan kedua-dua ibu bapa jika mereka memerlukannya. Wajib ke atas kita untuk memastikan mereka tinggal di tempat yang selesa dan menjaga urusan kehidupan mereka yang lain seperti makan minum dan juga pakaian. Namun hak-hak memberi nafkah ini hukumnya sunat jika ibu bapa kita merupakan golongan yang berkemampuan dan mampu menyara hidup sendiri.

Sabda Nabi: “Mulakan dengan dirimu, keluarkan nafkah untuk dirimu, jika ada lebihan maka ia untuk keluargamu, jika ada lebihan lagi, maka ia untuk ahli kerabatmu.” (Riwayat Muslim).

Hadis ini jelas menyatakan bahawa nafkah yang utama adalah bagi ahli keluarga. Dan ahli keluarga yang paling berhak dijaga kebajikan mereka sudah tentu ibu bapa jika mereka memerlukan.

Siapakah yang wajib memberikan nafkah? Anak lelaki atau anak perempuan? Kedua-duanya wajib memberikan nafkah kepada kedua ibubapa mereka.

Syeikh Ibn Jibrin menyatakan bahawa jika seseorang anak perempuan itu mempunyai lebihan harta dan ibubapanya merupakan seorang yang fakir, maka wajib ke atasnya untuk memberikan nafkah kehidupan kepada mereka berdua.

2. Mendahulukan permintaan mereka melebihi permintaan orang lain.

Sebagai anak kita perlu menghormati kedua ibu bapa kita dengan mendahulukan segala permintaan mereka selagimana tidak bertentangan dengan syarak. Hak-hak mereka perlulah dipenuhi oleh anak-anak selagi termampu melebihi hak-hak orang lain.

Dalam sebuah hadis, Nabi menceritakan tentang tiga pemuda bani Israel yang terperangkap di dalam gua. Maka salah seorang daripada mereka berdoa kepada Allah serta bertawasul dengan amalan solehnya ke atas kedua-dua ibu bapanya. Diceritakan dalam hadis tersebut bahawa setiap hari beliau akan memberi minum susu kepada kedua-dua ibu bapanya yang telah tua.

Pada suatu hari beliau mendapati kedua ibubapanya sedang tidur maka beliau berdiri dan menunggu mereka bangun untuk memberi minum susu tersebut kerana takut jika susu tersebut diminum oleh anak-anaknya terlebih dahulu. Begitulah contoh pengorbanan seorang anak soleh kepada kedua ibubapanya yang telah tua. (Riwayat al-Bukhari)

3. Mendoakan mereka.

Sebagai anak kita sewajibnya mendoakan kebahagiaan kedua ibubapa kita sama ada mereka masih hidup mahupun telah meninggal dunia. Dalam al-Quran Allah menyuruh kita berdoa untuk kesejahteraan kedua-dua orang tua kita dengan firman-Nya: “Rendahkanlah diri kamu kepada mereka berdua dengan rasa kasih sayang dan berdoalah (kepada Tuhan kamu) dengan menyebut: ‘Wahai Tuhanku kasihanilah mereka berdua sepertimana mereka mengasuhku sewaktu aku masih kecil.’” (Surah al-Isra’: 24)

Di samping itu sebagai seorang anak kita mestilah berusaha untuk memperbaiki diri kita supaya menjadi manusia yang beriman dan beramal soleh. Sesungguhnya tiada saham yang paling berharga bagi seseorang manusia di alam kubur kecuali tiga perkara dan antaranya ialah doa anak-anak yang soleh.

Sabda Nabi: “Jika seseorang manusia itu mati, maka akan terputuslah amalan kebaikannya kecuali daripada tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan juga anak soleh yang mendoakan untuknya.” (Riwayat Muslim)

 

 

IMAM MUDA MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD RIDZUAN

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu13

 


 

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas