Menu

 

A+ A A-

TAKDIR ALLAH & APA DALILMU?

TAKDIR ALLAH

Pada suatu hari, Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab bertolak ke negeri Syam bersama pasukannya. Dalam perjalanan, beliau mendapat tahu berita penularan wabak penyakit di negeri Syam. Lalu beliau memutuskan untuk membatalkan perjalanannya dan kembali ke Madinah.

takdir-allah-1

Melihat keadaan itu, Abu Ubaidah bertanya: “Wahai Amirul Mukminin, adakah tuan hendak lari daripada takdir Allah?”

Umar menjawab: “Ya, kami lari daripada takdir Allah kepada takdir Allah. Jika engkau memiliki unta ternakan, lalu membawanya ke sebuah lembah yang mempunyai dua padang. Satu padang penuh dengan rumput subur manakala yang satu lagi gersang. Bukankah jika engkau membawa unta itu ke padang yang subur, engkau telah membawanya kepada takdir Allah? Dan jika engkau membawanya ke padang gersang, itu juga takdir Allah?” (al-Bidayah wa al-Nihayah)

Pengajaran

Setiap kejadian sememangnya berlaku mengikut takdir Allah. Namun begitu, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk malas bekerja atau melepaskan tanggungjawab. Takdir Allah juga tidak menghalang kita untuk mengambil langkah-langkah keselamatan agar terhindar daripada kejadian yang tidak  diingini.

APA DALILMU?

Suatu hari, seorang lelaki tua menemui Imam al-Syafii. Beliau mengajukan soalan: “Apakah dalil yang diterima dalam agama Islam?”

“Kitab Allah,” kata Imam al-Syafii.
“Selepas itu?”
“Sunnah Rasulullah.”
“Selepas itu?”
“Kesepakatan (ijmak) seluruh ulama.”

Lelaki tua itu menyoal lagi: “Dari mana engkau tahu bahawa kesepakatan ulama adalah hujah? Apa dalilnya?” Imam al-Syafii terdiam. Orang itu berkata: “Aku beri engkau masa tiga hari untuk menjawab soalan ini.”

takdir-allah-2

Lalu Imam al-Syafii masuk ke dalam rumahnya. Beliau terus membaca dan mencari. Setelah tiga hari, lelaki tua tadi datang lagi ke majlis ilmu Imam al-Syafii. Beliau mengucapkan salam, dan kemudian duduk.

Imam al-Syafii pun berkata: “Aku telah membaca al-Quran tiga kali sehari semalam hinggalah Allah menunjukkan aku satu ayat. Iaitu firman Allah: “Sesiapa yang menyakiti Rasulullah setelah jelas baginya petunjuk dan mengikuti selain jalan kaum Mukminin, maka kami akan memasukkannya ke dalam neraka Jahanam.” (Surah al-Nisa’: 115)

Al-Syafii menyambung: “Sesiapa yang menentang kesepakatan ulama, maka ia telah menentang jalan kaum Muslimin. Dan Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.” Lelaki tua itu berkata: “Engkau benar.” Lalu ia pun pergi. (Manaqib al-Imam al-Syafii)

Pengajaran

Tidak boleh berbicara tentang hukum tanpa dalil. Setiap perkara yang dinisbahkan kepada agama Allah mestilah berasaskan dalil yang sahih sama ada firman Allah, sabda Rasulullah atau ijmak ulama.

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Last modified onThursday, 28 January 2016 15:10
Al-Ustaz

Majalah yang dilahirkan untuk merungkai segala persoalan feqah, akidah dan lain-lain perihal agama dalam kalangan masyarakat. Diwakili oleh pelbagai kolumnis pakar dalam pelbagai bidang. Majalah yang padat serta dikukuhkan berdasarkan Al-Quran & Hadis. Sesuai dijadikan sebagai sumber rujukan kepada persoalan-persoalan dan menjawab segala kekeliruan permasalahan di kalangan umat islam.

 

Dapatkan majalah Al-Ustaz keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas