BAGAIMANA MENGURUS JATUH CINTA
- Ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
- Kategori Terkini
- Read 10389 times
Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu.
Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini diredai Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, sepenuhnya kerana Allah? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?
Jawapan: Tahniah kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai konservatif dari kaca mata Barat. Hakikatnya, Allah Maha Bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat. Berdasarkan cerita saudari, bolehlah dikatakan saudari sebenarnya sudah jatuh hati kepadanya. Malah siap memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar ditolak. Walau bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi agar dapat meraih keredaan Allah.
Apa yang saya boleh nasihatkan agar saudari dapat mengambil tindakan-tindakan berikut:
1. Meluahkan hasrat hati secara bijaksana dan sopan
Luahkan niat saudari kepadanya secara berselindung tetapi boleh difahami. Kita mengambil inspirasi daripada tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah semasa melamar Nabi. Dalam Islam bukanlah satu yang keaiban perempuan melamar lelaki yang diminatinya. Imam al-Bukhari dalam Sahihnya siap membuat satu bab bertajuk “Wanita yang menawarkan dirinya kepada lelaki soleh”. Pada suatu hari seorang wanita datang kepada Rasulullah lalu menawarkan dirinya untuk menjadi isteri Baginda. Wanita itu berkata, “Adakah Tuan berhajat kepadaku?” Anak perempuan Anas yang turut berada ketika itu mengulas: “Alangkah kurangnya perasaan malu si wanita itu dan amat memalukan perbuatannya.” Maka Anas segera menjawab: “Bahkan dia lebih baik daripadamu! Ia berkehendakkan Nabi lalu menawarkan dirinya kepada Baginda.” (Riwayat al-Bukhari) Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menegaskan bahawa tiada keaiban bagi wanita yang menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki. Maka harap saudari tidak terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar lelaki yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik.
2. Memperkenalkannya kepada keluarga
Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah bagi memperkenalkannya kepada kedua ibu bapa. Syaratnya mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau wali lain dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Memang terdapat hadis-hadis yang menjelaskan bahawa diizinkan bagi lelaki dan wanita yang berniat untuk berkahwin untuk mengenali bakal pasangan masingmasing dengan lebih dekat. Pada suatu hari seorang sahabat datang kepada Nabi dengan menyatakan hasratnya ingin memperisterikan seorang wanita Ansar. Lalu Nabi bertanya: “Adakah kamu telah melihatnya?” “Belum.” Lantas Nabi menjawab, ‘Pergilah melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda).”’ (Riwayat Muslim) Dalam situasi lain, Nabi juga pernah berpesan kepada Mughirah bin Syu‘bah yang ingin meminang. Nabi berkata: “Pergilah melihatnya. Sesungguhnya itu akan lebih menjamin berkekalannya kamu berdua.” (Riwayat al-Tirmizi) Perlu diingatkan bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa maklumat yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan.
3. Jangan bertangguh
Saling berhubungan tanpa ikatan dalam tempoh yang lama akan semakin membawa kepada yang haram. Semaksud dengan hakikat ini juga, tidak elok saudari hanya beranganangan untuk sekian lama. Sabda Nabi maksudnya: “Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah!” (Riwayat Ibn Majah)
4. Jangan menghebahkan hal kepada orang lain selagi belum diijabkabulkan
Ikatan janji untuk berkahwin boleh membawa fitnah dengan mudah. Terdapat banyak kes orang bertunang yang berpisah dek pelbagai faktor.
5. Elakkan bertemu berdua-duaan
Elakkan perkara ini sama ada bertemu di tempat terbuka atau tertutup kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang “merapu” dan tidak langsung mempunyai ilmu tentang batas hubungan antara lelaki dengan wanita menurut Islam. Sekadar membawa mana-mana mahram belum cukup.
6. Kurangkan perhubungan secara langsung
Lebih-lebih lagi tentang perkara tidak penting. Nasihat saya, elakkan bercakap secara langsung dengannya. Gunakan media perantara seperti e-mel, surat dan pesanan ringkas.
AWAS
Sebenarnya banyak lagi panduan yang perlu saudari pelajari. Namun secara ringkasnya, berikut ialah senarai semak beberapa perkara haram dan perkara yang perlu diberikan perhatian dalam kes yang saudari sedang lalui sekarang: Akhir sekali nasihat saya, sebarang perbuatan “ringan-ringan” dan dosa yang dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan sebenarnya boleh memberi gambaran awal tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, tidak mustahil selepas berkahwin kelak dia tergamak melakukan hal yang serupa dengan individu lain.
Wallahu a‘lam.
Dr. Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.