Menu

 

A+ A A-

BERTUAHNYA MENJADI MUSLIM

ISLAM suatu agama dan cara hidup yang didatangkan oleh Allah s.w.t. kepada seluruh umat manusia. Kedatangan Islam merupakan suatu rahmat untuk mengeluarkan manusia daripada sebarang bentuk perhambaan kepada makhluk yang sia-sia.

Lantaran itu Islam mengajak umat manusia untuk kembali mentauhidkan Allah tanpa sebarang penyekutuan atau dinamakan sebagai syirik dalam perhambaan kepada-Nya. Islam juga merupakan suluhan cahaya terang benderang yang menyinari hati manusia tatkala diri terbelenggu dengan gelora kesesatan dan kekeliruan hidup yang melemaskan jiwa raganya.

Firman Allah mafhumnya: “Allahlah pelindung bagi mereka yang beriman lantas mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekufuran) kepada cahaya (Islam).”(Surah al-Baqarah: 257)

Sesungguhnya amat beruntung bagi mereka yang memilih Islam dan menjalani kehidupan dengan cara hidup Islamnya. Berikut ialah antara keistimewaan Islam yang mesti kita rasai:

1.Islam hanya menyuruh manusia menyembah Tuhan yang satu.

Islam ialah satu-satunya agama yang menyuruh manusia memperhambakan diri kepada Allah Tuhan yang satu. Dialah yang menciptakan apa sahaja yang ada di langit dan di bumi. Mana mungkin ada pelbagai pencipta dalam alam ini. Maka yang Maha Satu itulah yang berhak disembah.

Allah berfirman mafhumnya: “Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhan yang menciptakan kamu dan mereka yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. Dialah yang menjadikan bagi kamu bumi sebagai hamparan, menjadikan langit yang diangkatkan ke atas dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit. Lalu Dia mengeluarkan buah-buahan bagi kamu sebagai rezeki. Maka janganlah kamu menjadikan bagi Allah itu sesuatu sembahan lain sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 21-22)

2.Islam agama sekalian rasul dan nabi.

Sesungguhnya para rasul dan nabi mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah. Inilah dakwah Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan penutup segala nabi iaitu Nabi Muhammad. Tugas mereka hanya satu iaitu mengajak manusia kembali menyembah Allah dan meninggalkan sembahan-sembahan yang lain.

Firman Allah tentang dakwah Nabi Nuh mafhumnya: “Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya, lalu Nuh berkata: ‘Wahai kaumku sembahlah Allah dan tiada sembahan selain-Nya.’” (Surah al- A‘raf: 59).

Begitulah juga seruan rasul-rasul yang lain. Mereka hanya mengajak kaum masing-masing untuk kembali mengesakan Allah dan meninggalkan sembahan-sembahan yang diada-adakan dalam kehidupan mereka.

3.Islam mengiktiraf semua rasul.

Islam berbeza dengan agama-agama samawi yang telah dipesongkan. Islam mengiktiraf Nabi Isa sebagai pesuruh Allah dan beriman dengan kerasulan Nabi Isa adalah wajib. Namun tidak seperti pengikut-pengikutnya yang telah menyatakan bahawa Nabi Isa itu anak tuhan.

Islam menyeru umatnya untuk beriman dengan Nabi Ishak, Yaakub, Yusuf, Zakaria, Musa, Harun, Yahya dan lain-lain lagi. Malah kita disuruh untuk mengikut jejak langkah mereka dalam berdakwah untuk menyeru manusia kembali mengesakan Allah.

4.Islam agama yang mengajak manusia untuk berfikir.

Inilah suruhan utama Allah kepada sekalian manusia. Suruhannya adalah untuk mencari ilmu dan pada masa yang sama berfikir akan kehebatan Allah. Firman Allah mafhumnya: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, (iaitu) yang menciptakan manusia daripada segumpal daging (yang tergantung).” (Surah al-‘Alaq: 1-2)

PENGAJARAN yang kita dapati daripada ayat ini ialah Islam menganjurkan umatnya untuk menuntut ilmu antaranya melalui pembacaan. Ilmu yang dicari dan dipelajari itu perlulah dikaitkan dengan keagungan Allah. Hal ini difahami melalui saranan menyebut nama Allah ketika memulakan pembacaan.

 pic 1

5.Islam agama yang melindungi kehidupan manusia keseluruhannya sama ada masyarakat Muslim mahupun non-Muslim.

Kehidupan seseorang Muslim itu dikawal oleh undang-undang yang disebut sebagai syariat Islam. Agama Islam melindungi jiwa, akal dan aktiviti umatnya daripada kemudaratan.

Mengapakah Islam melarang umatnya daripada meminum arak? Jawapannya adalah untuk mengawal kesucian akal dan fikiran manusia. Mengapakah diharamkan zina? Jawapannya untuk menjaga kesucian zuriat manusia agar tidak tercemar sepertimana sifat dan tingkah laku haiwan.

Bukan sekadar itu sahaja, syariat Islam juga memastikan bahawa masyarakat non-Muslim yang hidup bersama umat Islam yang lain terpelihara keselamatan dan kesejahteraan mereka. Hak-hak mereka tidak boleh diganggu dan dirampas sama sekali selama mereka hidup aman bersama-sama dengan umat Islam.

Sesungguhnya amat beruntung bagi sesiapa yang hidup dalam nikmat dan rahmat Islam. Sesungguhnya hanya Islam satu-satunya agama dan cara hidup yang diredai oleh Allah. Sesiapa yang memilih selain daripada Islam sebagai anutan dan pegangan hidup maka sesungguhnya dia telah sama sekali tidak akan memperoleh hidayah daripada Allah dan termasuk dalam golongan mereka yang rugi.

Firman Allah: “Sesiapa yang memilih selain Islam sebagai agama maka ianya tidak akan diterima (di sisi Allah) dan di akhirat nanti dia termasuk dalam kalangan orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran: 85)

Wallahu a‘lam.

 

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas