Menu

 

A+ A A-

MEMANFAATKAN PILIHAN TERBAIK

Ada seseorang memberikan kenyataan, “Kalaulah TV kat rumah aku ni ada macam-macam channel, dah tentu aku tak kena berleter dengan ibu lagi pasal berpoya- poya kat luar dengan kawan-kawan.”

Daripada kenyataan itu cuba kita fikirkan, adakah dengan menonton televisyen kita dapat mengawal diri supaya tidak melakukan apa yang diistilahkan sebagai “berpoya-poya” itu? Televisyen sememangnya merupakan media elektronik yang boleh dikirakan sebagai “wajib ada” di setiap rumah di Malaysia. Namun, adakah kehadirannya diperlukan atau sekadar menjadi hiasan dan untuk menghabiskan waktu yang sepatutnya boleh dimanfaatkan? Dari jam 6 pagi hinggalah ke 12 malam, malah ada juga yang beroperasi 24 jam sehari untuk menemani kita.

Tetapi, satu persoalan juga, adakah kita perlu ditemani, atau tiadakah medium lain atau aktiviti lain yang boleh dilakukan selain daripada duduk di atas kusyen atau sofa yang hampir leper akibat ‘tekanan’ 24 jam malah mungkin 27 jam? Ini bukanlah bermaksud tidak ada langsung kebaikan menonton televisyen. Ini adalah kerana, media penyiaran adalah penting sebagai ejen penyebaran maklumat dan informasi bagi masyarakat. Terdapat perbezaan yang besar di antara kedua-dua situasi ini, bukan? Setiap ciptaan manusia itu, ada baik, ada buruknya. Mungkinkah itu sebabnya? Ada orang yang mendapat kebaikan daripada menonton televisyen dan ada orang yang terpengaruh dengan keburukan yang dipaparkan di televisyen.

manfaat pilihan terbaik2

Sebenarnya, semua ini bukanlah berkaitan dengan medium televisyen itu sendiri. Tetapi ianya berkaitan dengan sikap dan kekuatan iman kita dalam pemilihan program-program di televisyen. Itulah kuncinya! Terdapat pelbagai jenis program yang dihidangkan: daripada kartun ke program realiti; daripada drama ke dokumentari; daripada hantu ke tokoh sejarah… macam-macam ada. Hanya tekan alat kawalan jauh, semuanya terus menerus terpapar di depan mata. Namun, alangkah indahnya jika hasil daripada tontonan kita itu mampu membentuk akhlak serta peribadi yang mulia, nilai- nilai murni berlandaskan Islam, menambah ilmu sedia ada dan mengikat tali kekeluargaan yang dapat membentuk ummah sejahtera. Juga, masa yang diluangkan itu mendapat hasil yang baik. Bukankah cantik begitu?

manfaat pilihan terbaikTeringat saya kata-kata Baltasar Gracian tentang masa: “Yang menjadi milik kita hanyalah masa; malah orang yang tidak memiliki apa-apa memilikinya.” Dan apa yang dikatakannya memang betul. Masa yang kita ada dengan menonton televisyen itu tidak seharusnya disia-siakan. Ianya bergerak setiap saat, tidak kira sama ada kita menggunakannya dengan baik atau tidak. Imam Al-Hassan Al-Basri juga pernah berkata: “Setiap pagi, utusan itu mengumumkan: Wahai anak-anak Adam! Aku adalah ciptaan yang baru dan aku menjadi saksi di atas segala perbuatan kamu. Jadi ambillah keberkatan (persediaan) daripadaku kerana apabila aku berlalu, aku tidak akan kembali sehingga ke Hari Pembalasan nanti.” Subhanallah! Rupa-rupanya setiap hari merupakan ciptaan yang baru, peluang yang baru, kenderaan yang baru.

Sama ada suka atau tidak, kita menaikinya dan apa yang kita lakukan di atasnya, terpulanglah kepada diri kita sendiri. Jadi, kenapa kita sentiasa sibuk menonton program-program yang tidak membawa kita ke mana- mana? Tontonlah program-program yang memberi manfaat kepada diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. yang akan membawa kita ke destinasi terakhir, iaitu syurga Allah kelak. Insya-Allah. Amin. ¤

 

 

Zarita Hj Kasim

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana

 


 

Zarita Hj Kasim

Merupakan kolumnis di Telaga Biru untuk majalah Gen-Q serta Fellow PPLI di Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM). Pernah memegang jawatan sebagai pensyarah separuh masa (Media Elektronik) di IIUM serta produser dan DJ di IKIM fm.

 

Kembali ke atas