Menu

 

A+ A A-

AQIDAH DIRI DALAM IBADAH

Assalamualaikum ustaz. Boleh ustaz terangkan apa yang dimaksudkan dengan hikmah?

Hikmah dalam bahasa Arab bermakna sampainya kepada kebenaran dan realiti melalui medium ilmu dan akal. Hikmah berasal daripada perkataan hukm yang bermakna menahan dan menawan. Makna pertamanya adalah menghukum yang menjadi sebab tercegahnya dan tertahannya kezaliman. Antara erti asas hikmah adalah menahan manusia daripada kebodohan dan kepandiran.

Perkataan hikmah dalam al-Quran datang dalam dua bentuk:
a. Disebutkan sekali dengan perkataan al-Quran.
b. Disebutkan sendirian, tidak sekali dengan perkataan al-Quran.

1. Seandainya perkataan hikmah disebutkan sekali dengan al-Quran dalam satu ayat. Maka ia bermaksud sunnah Rasulullah s.a.w. Contohnya dalam firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguh Allah telah memberi kurnia kepada orang yang beriman ketika Allah mengutus antara mereka seorang rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Ali Imran 3: 164)

2. Seandainya perkataan hikmah disebut bersendirian tanpa disertakan dengan perkataan al-Quran, maka ia bermaksud, tepat dalam perkataan, perbuatan dan keyakinan, serta meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. (Susunan Sheikh Sa‘id bin ‘Ali al-Qahtani dan lain-lain dalam Al-Hikmah fi al-Da’wah ila Allah) Contoh untuk maksud ini dalam ayat Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Allah menganugerahkan al-Hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang dianugerahi hikmah, dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran.” (surah al- Baqarah 2: 269)

Nota: Ada juga perkataan “hikmah” digunakan untuk memahami rahsia di sebalik sesuatu hukum yang disyariatkan (diperundangkan) oleh Allah, seperti kata ulama: “Hikmah disyariatkan hukum ini…” untuk menampakkan betapa indahnya hukum tersebut. Maksud inilah yang dikehendaki penggunaannya dalam kolum ini.

Ustaz, bagaimana kita hendak memahami, apakah makna sebenar ibadat menurut Islam?

Ibadat atau ibadah adalah satu perkataan yang diambil daripada bahasa Arab. Ertinya;  perbuatan atau penyataan bakti terhadap Allah atau Tuhan yang didasari oleh peraturan agama. Ia adalah segala usaha lahir dan batin yang sesuai dengan perintah agama yang wajib dipatuhi oleh penganutnya.

Manakala dari segi istilahnya atau menurut al-Quran adalah seperti berikut:

Dalam ajaran Islam manusia itu diciptakan untuk menghambakan diri kepada Allah, atau dengan kata lain beribadah kepada Allah. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud

 “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada- Ku.” (surah al-Dhariyat 51: 56)

 “Manusia yang menjalani hidup beribadah kepada Allah itu tiada lain manusia yang berada pada si rat al-mustaqim atau jalan yang lurus.” (Surah  Yasin 36: 61)

“Sedangkan manusia yang berpegang teguh pada apa yang diwahyukan Allah, maka ia berada pada sirat al-mustaqim atau jalan yang lurus.” (Surah al-Zukhruf 43: 43)

Demikianlah yang disebutkan dengan manusia hidup beribadah kepada Allah itu iaitu manusia  menjalani hidupnya dengan selalu berpegang teguh pada wahyu Allah.

Jadi, pengertian ibadah  menurut al-Quran tidak hanya terbatas pada apa yang disebut ibadah sahaja atau Rukun Islam sahaja, tetapi cukup luas seluas aspek kehidupan yang ada selama wahyu Allah memberikan pegangannya dalam persoalan itu.

Itulah mengapa umat Islam tidak dibenarkan memutuskan suatu persoalan hidupnya sekiranya Allah dan Rasul-Nya sudah memutuskan perkara itu. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dengan perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu keputusan mengenai sesuatu perkara, mereka mempunyai pilihan sendiri mengenai urusan mereka” (Surah al-Ahzab 33: 36)

Islam merupakan ibadah dengan pelaksanaannya berasaskan pengabdian diri kepada Allah yang Esa, tanpa menyekutukan-Nya, selari dengan apa yang disyariatkan Allah kepada Rasul-Nya; Muhammad s.a.w.

ibadah 1
Bolehkah ustaz jelaskan contoh-contoh ibadat dalam Islam?

Ibadat terdapat dalam pelbagai bentuk seperti amalan dan perilaku untuk melakukan atau meninggalkan sesuatu amalan. Ibadat ialah terjemahan daripada iktikad yang tersemat  dalam hati Muslim. Ibadat ini dengan makna umumnya dalam Islam merangkumi kewajipan-kewajipan dan adat-adat apabila ditunaikan dengan niat kepada Allah atau dengan erti kata apa yang terkandung dalamnya mencakupi elemen-elemen yang diwajibkan oleh Islam untuk ditunaikan; maka ia adalah ibadat yang sahih iaitu terlepas daripada sebarang keaiban dan tidak mengandungi sebarang pemesongan serta tidak menerima sebarang kebatilan.

Antara amalan harian seorang Muslim yang termasuk dalam kategori ibadat; mendirikan solat fardu lima kali sehari, membaca dan mengkaji al-Quran, mendirikan solat-solat sunat seperti Tahajud, Taubat, Rawatib sebelum dan selepas solat fardu, Duha dan Witir. Mengingati Allah seperti berzikir, membaca al-Ma’thurat, beristighfar, bertahmid dan bertahlil, mengingati mati, mencari rezeki yang halal, mendidik anak-anak, menguruskan rumah tangga, menuntut ilmu, melaksanakan akhlak mulia, menjauhi sifat-sifat yang dikeji Allah, melaksanakan dakwah, mengikuti sunnah Nabi dalam melakukan sesuatu perkara, membaca doa dalam setiap perbuatan yang harus dan sebagainya. Wallahua a’lam.

 

Ustaz Dr. Abd Basit Abd. Rahman

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 01

 


 

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas