Menu

 

A+ A A-

MARAH? HADAPI DENGAN BIJAKSANA

ANTARA ketakutan yang sering kita hadapi ialah takut dimarahi. Takut dimarahi oleh bos, takut suami marah, takut isteri marah, takut kawan marah, takut ayah marah, takut jiran marah, dan bermacam lagi.

Memang tidak bagus kalau orang mula memarahi kita, kerana itu adalah tanda mudah yang menunjukkan kita telah melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh orang.

Tidak elok juga jika kita membangkitkan kemarahan orang lain. Allah tidak suka, orang lain pun tidak suka. Tetapi, dalam keadaan tertentu, kita sememangnya "terpaksa" berhadapan dengan orang yang sedang marah. Ada kalanya kerana tidak sengaja, ada kalanya kerana percanggahan idea dan pandangan.

Dalam situasi sedemikian, adakah kita perlu takut dan melarikan diri? Jangan! Saya akan berkongsi dengan anda beberapa tip dan panduan mudah yang mungkin membantu anda mengatasi ketakutan terhadap orang yang sedang marah, dan apa yang perlu anda lakukan.

1. Jangan Curahkan Minyak Tanah

Jangan tambah lagi kemarahannya dengan mengadu domba dan memprovokasi emosinya. Terimalah jika dia marah kepada anda, anda sudah pun menang. Duduk diam dan bertindaklah seperti orang yang sudah matang. Jangan menambah lagi api yang sudah pun marak itu.

2. Minta dia duduk dan bertenang

Nyatakan bahawa dia ada banyak masa untuk memperkatakan apa yang dia hendak perkatakan. Ada kalanya orang menjadi marah dan bising-bising kerana bimbang suaranya tidak “didengari”. Marahnya mungkin satu protes supaya dia didengari. Oleh sebab itu, berilah peluang kepadanya.

3. Dengan apa yang dia perkatakan

Jangan tergopoh-gapah hendak berhujah dan berdebat. Tiada guna berdebat dengan orang yang sedang “menggelegak”. Biarlah dia bercakap. Beri peluang kepada orang yang marah itu meluahkan apa yang ada di dalam benaknya. Sudah tentu perkara itu sangat penting bagi dirinya, kalau tidak, masakan dia boleh menjadi begitu marah, bukan?

4. Sediakan "pentas" yang sama rata

Orang yang sedang marah akan berusaha mencari “kemenangan”. Seolah-olah dia berada dalam situasi peperangan dan sedang bertarung. Jiwanya berkobar-kobar. Jika anda juga meninggikan diri, semakin kuat pula dia melawan. Oleh itu, jangan ragu-ragu untuk “merendah” buat seketika. Jika dia berdiri, anda pun berdiri. Jika dia duduk, anda pun duduk.

5. Mendengar secara empati

Tunjukkan anda bersedia memahami keadaannya. Anda tahu apa yang hendak diperkatakan itu sangat penting bagi dirinya. Inilah perkara yang menyebabkan dia marah. Marah dan berang adalah simptom semula jadi terhadap tekanan dan rasa tidak puas hati. Apa yang anda perlu lakukan adalah dengar dengan teliti dan kenal pasti masalah sebenarnya.

6. Berfikir seperti pakar kaunseling

Orang yang marah biasanya adalah orang yang tidak dapat mengawal tekanan dan stres yang menambun. Kebanyakan daripada mereka sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya. Anda cubalah ambil alih peranan pakar kaunseling. Kenal pasti apa yang dihadapinya, dan terangkan kepadanya dengan baik. Fokuskan kepada tindakan dan isu yang spesifik, bukan secara umum. Beritahu dia bahawa anda benar-benar memahami situasi yang dihadapinya.

7. Tenangkan diri

Berikan masa untuk dia bertenang. Gunakan suara yang sederhana dan kebapaan. Pastikan bahasa badan anda positif dan tidak keterlaluan. Jangan menunjukkan terlalu banyak ‘tenaga’ ketika berkomunikasi dengan mereka.

8. 'Simpan' dahulu ego anda

Dalam situasi seperti ini, ego yang melampau hanya memburukkan keadaan. “Simpan” rasa ego itu buat sementara. Fikirkan tentang bagaimana hendak menghadapi kemarahan di hadapan anda sekarang, bukan asyik dengan ego sendiri.

9. Memaafkan, jangan berdendam.

Maafkan semua orang, tiada guna berdendam. Ada sesetengah orang menyimpan dendam jika orang lain menegur atau memarahinya. Memang dalam keadaan tertentu anda berhak mempertahankan kebenaran yang anda yakini, tetapi dalam banyak keadaan, dendam dan kesumat hanya menyusahkan banyak pihak. Usah serabutkan jiwa anda dengan api dendam yang tidak diperlukan. Isilah hati anda dengan ketenteraman.

10. Berundur bukanlah beerti kalah

Jika dia bertindak agresif, cepat-cepatlah berundur. Berundur bukan bererti kalah, mengelak bukan bererti pengecut. Ia adalah strategi dan lambang kedewasaan. Anda ingin menyelesaikan masalah, bukan hendak menambahkan lagi masalah. Tetapi kalau dia boleh membahayakan keselamatan, anda boleh bertindak mempertahankan diri. Jangan jadi dayus pula, perlu berpatutan dan sekadar untuk mempertahankan diri, bukan untuk melepaskan geram.

Kemarahan, kekecewaan, kemaafan, dan keceriaan adalah emosi yang diciptakan oleh Allah untuk mewarnai kehidupan. Hargainya, dan mahirkan diri untuk menghadapinya. Mintalah daripada Allah agar kita sentiasa menjadi lebih baik daripada sebelum ini!¤

 

Ahmad Fadzli Yusuf

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3


 

 

Ahmad Fadzli Yusof

Professional Trainer/Speaker di RK Training & Management. Mendapat ijazah sarjana muda dan kemudian menyambung sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang pembangunan insan Universiti Malaya. Beliau merupakan Certified NlP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di tv, antaranya TV3, TV9 dan RTM. Lawati laman web beliau di www.fadzliyusof.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas