Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Muamalat

Soal Jawab - Muamalat

Soalan: Apakah hukum sekiranya ada golongan yang berpendapat bahawa riba seperti pinjaman pembiayaan kenderaan itu tidak haram?

Jawapan: Ia adalah satu pandangan yang amat berbahaya malah boleh jatuh dalam kategori menghalalkan riba dan diharamkan. Perlu diingat bahawa dosa menghalalkan riba adalah sangat besar, sebagai disebut hukumannya di dalam al-Quran yang bermaksud: Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (Surah alBaqarah: 275 )

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan lafaz ini menyebut lafaz “barangsiapa mengulangi” ertinya kembali terlibat dengan riba hingga terjebak dalamnya walaupun setelah datangnya hukum larangan Allah darinya, hasilnya wajiblah bagi mereka hukuman keras.” (Tafsir al-Quran al‘ Azim, 1/328)

Fatwa pengharaman interest ke atas satu-satu pinjaman adalah ijma’ ulama (disepakati seluruh ulama) tentang haramnya malah Majlis Kesatuan Fiqh Antarabangsa juga telah berulang kali membuat fatwa tentangnya. Sedarkah kita bahawa orang yang berterusan dalam dosa riba boleh menyebabkan seseorang itu dianggap menghalalkan riba setelah pengharamannya lalu jatuh kafir mereka itu, tatkala itu matinya mereka adalah dengan hati kekafiran hingga terkeluar dari senarai mereka yang boleh mendapat syafaat nabi Muhammad s.a.w.

Berhati-hatilah dan amat wajib bagi semua muslim yang meyakini adanya mati untuk menjauhi riba. Kita amat bimbang, ketidakpedulian itu adalah merupakan satu keingkaran terhadap hukum haramnya. Seterusnya boleh mejatuhkan seseorang dalam kekafiran tanpa sedar hingga melayakkan seseorang itu kekal di neraka. Nabi juga tidak mempunyai peruntukan untuk memberi bantuan (syafaat) kepada golongan sebegitu. Moga kita semua dipelihara oleh Allah s.w.t.

Inilah yang diulas oleh Imam Fakhruddin ar-Razi apabila beliau menghuraikan maksud “orang yang kembali” dalam ayat di atas sebagai “barangsiapa yang kembali” (di atas, adalah bermakna mereka kembali menghalalkan riba sehingga mereka itu jadi kafir.) (Tafsir Al-Kabir, 7/82)

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

(Majalah Solusi Isu Perdana)