Menu

 

A+ A A-

MAKHLUK PERTAMA CIPTAAN ALLAH

SAYA ada mendengar alunan nasyid selawat yang menyebut: “Wahai yang mula-mula yang diciptakan oleh Allah” yang ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ini bermakna Nabi Muhammad s.a.w. ialah makhluk pertama yang diciptakan. Mohon penjelasan.

Kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w.

Wajib kita maklum bahawa kedudukan dan kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w. sangat agung. Begitu banyak nas yang menjelaskan hal tersebut. Antaranya firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya’ 21: 107)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Muhammad itu bukanlah sekadar ayah daripada lelaki antara kamu, tetapi dia ialah Rasulullah dan ‘Penutup para nabi’…” (Surah al-Ahzab 33: 40)

Begitu juga Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan antara aku dan nabi-nabi sebelumku adalah seperti orang yang membina rumah dengan begitu indah dan megah sekali. Namun ada satu lubang bata yang masih kosong pada dindingnya.

“Ramai orang datang melihat dan merasa takjub. Mereka mengulas: ‘Mengapalah tidak diletakkan bata?’ Rasulullah pun bersabda: ‘Akulah bata itu. Akulah penutup para Nabi.’” (Riwayat Muslim)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud: “Aku ialah penghulunya anak-anak Adam pada hari kiamat kelak. Akulah orang pertama kuburnya terbelah (dibangkitkan daripada mati). Akulah orang pertama memberi syafaat, dan aku juga orang pertama diterima syafaatnya.” (Riwayat Muslim)

Dua Peringatan Penting Nabi s.a.w.

Dan Nabi s.a.w., dengan semua nas yang merakamkan kemuliaan dan keagungannya, tidak menuntut kita untuk mereka amalan-amalan yang dilihat seolah-olah menambah kemuliaan dan keagungan Baginda s.a.w. Kemungkinan ia menyebabkan kita meletakkan kecintaan terhadap Baginda pada taraf yang tidak sepatutnya.

Bukankah Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu melampau dalam menyanjungku sepertimana Nasrani telah melampau dalam menyanjung al-Masih Ibn Maryam. Tetapi hendaklah kamu berkata (dalam menyebutku dengan sebutan): ‘Hamba Allah dan Rasul-Nya.’” (Riwayat al-Bukhari) Ataupun hingga menyandarkan “hadis-hadis” kepada Baginda yang tidak pernah diucapkannya, Rasulullah pernah member amaran tentang hal ini dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang sengaja berdusta atas diriku, maka sediakan tempatnya di neraka!” (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Persoalan dan Penjelasan

Setelah huraian dan penjelasan di atas: adakah benar bahawasanya Baginda pernah memberitahu bahawa dirinya makhluk yang mula-mula diciptakan Allah? Apakah hadis ini (kalaupun ada) menjadi dasar akidah yang sekiranya diingkari boleh menjadi kafir?

Pertama sekali yang boleh kami katakan bahawa memang terdapat beberapa hadis yang membawa maksud Baginda makhluk pertama yang diciptakan Allah. Bagaimanapun hadis-hadis itu semuanya berstatus hadis ahad. malah, ulama tidak sepakat tentang kesahihannya. Justeru orang yang mengingkarinya tidak dikira kafir. Tetapi hadis tersebut boleh diterima daripada aspek untuk menguatkan kemuliaan Baginda s.a.w.

Beberapa Penguat Hadis

Bagaimanapun sesetengah ulama cuba menetapkan hal tersebut dengan pelbagai usaha. Dalam kitab al-Dur al-Nazim fi Mawlid al-Nabi al-Karim karangan Ibn Thughrubak, menyebutkan ada riwayat yang menyatakan bahawa ketika Allah s.w.t. menciptakan Adam, dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau memberikan kepadaku gelaran Abu Muhammad?”

Allah berfirman kepadanya: “Wahai Adam, angkat kepalamu!” Lalu Adam mengangkat kepalanya dan ia melihat nur Muhammad di khemah Arasy. Beliaupun berkata: “Wahai Tuhanku, nur apakah ini?” Allah berfirman kepadanya: “Ini nur seorang Nabi yang berasal dari keturunan anak cucu kamu, namanya di langit Ahmad, sedang di bumi Mahmud. Kalaulah tidak kerananya, maka Aku tidak menciptakan langit dan bumi!”

Al-Qasthalani dalam kitab al-Mawahib al-Ladunniyyah ma‘a sharh al-Zarqani berkata: “Hadis itu ada syahidnya iaitu hadit marfu‘ yang diriwayatkan dalam Sahih al-Hakim daripada Umar r.a.: “Sesungguhnya Adam melihat nama Muhammad s.a.w. ditulis di Arasy. Dan bahawasanya Allah s.w.t. berfirman kepada Adam: ‘Kalaulah tidak kerananya, maka Aku tidak menciptakan kamu.”

Abdul Razzaq dengan sanadnya meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, menyatakan bahawasanya Nabi s.a.w. memberikan khabar kepadanya, bahawa nur Baginda itu adalah yang mula-mula dicipta. Pada waktu itu tidak ada lagi lauh, qalam, syurga, neraka, malaikat, langit dan bumi. Ada juga riwayat yang menggambarkan keadaan nur itu berkeliling dan mengelilingi alam-alam, perkara-perkara yang terhijab dan rahsia-rahsia.

Bukti Sebenar Cinta Rasul

Sepertimana yang telah saya katakan bahawasanya kemuliaan agung Nabi s.a.w. telah nyata telah nyata. Jika kita ingin membuktikan cinta kita kepada Baginda, maka jalannya dengan mengikut sunnahnya dan tetap berada atas petunjuk dan bimbingannya. Baginda sendiri bersabda yang bermaksud: “Siapa yang cinta kepadaku, maka hendaklah dia beramal dengan sunnahku.” (Riwayat Abu Ya‘la, dengan sanad yang baik)

Cinta kita kepada Baginda s.a.w. adalah penghubung untuk memperoleh cinta Allah s.w.t. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku. Pasti Allah akan mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”’ (Surah Ali ‘Imran 3: 31)

Terjemahan: Ustaz Muhammad Ridwan bin Syahdan al-Azhari

Syeikh ‘Attiyyah Saqr
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 4


Syeikh ‘Atiyyah Saqar

Nama beliau ialah Sahibul Samahah Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Atiyyah Saqr. Beliau masyhur dengan panggilan Syeikh Atiyyah Saqr. Dilahirkan di perkampungan Behna Bai, Zaqaziq Syarqiyyah pada hari Ahad tanggal 4 Muharram 1333 hijriyyah bersamaan 22 November 1914 masihi.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh al-Marhum Fadhilatul Syeikh Atiyyah Saqr sepanjang terlibat sebagai pendakwah ialah beliau pernah memegang jawatan sebagai pensyarah di jabatan pengajian agama Islam dan Bahasa Arab bagi peringkat PHD. Beliau turut diamanahkan sebagai pengarah bagi Jabatan Syeikhul Azhar dan salah seorang daripada ahli jawatankuasa Majma’ Buhuts Islamiyyah (Majlis Kajian Dan Penyelidikan Islam) di Mesir. Beliau juga turut diamanahkan untuk menjadi penasihat kepada Menteri Keagamaan Mesir, juga sebagai Ketua Lajnah Fatwa dan sebagainya.

Al-Marhum Syeikh juga sering terlibat di dalam rancangan-rancangan agama yang disiarkan di corong-corong radio dan di kaca televisyen. Penulisan beliau juga banyak memberi manfaat kepada pembaca. Jawapan beliau terhadap soalan yang diajukan kepadanya adalah sangat kemas, disiplin dan berwibawa. Di Malaysia, Ustaz Azhar Idrus adalah antara tokoh ilmuwan yang mengkagumi Syeikh Atiyyah Saqr, dan sering menyandarkan rujukan jawapannya kepada ulama besar ini.

Pemergian al-Marhum sangat dirasai oleh setiap umat Islam khususnya kepada golongan yang mencintai para ulama. Al-Marhum kembali ke rahmatullah pada pagi 18 Zul Qa'dah 1427 bersamaan 9 Disember 2006 di rumah beliau di St. Theresa, Syubro. Umat Islam telah kehilangan sebutir lagi mutiara yang sangat berharga. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan auliya' al-solihin. Al-Fatihah.

Kembali ke atas