Menu

 

A+ A A-

OPTIMIS MENERIMA KEGAGALAN

PEPERANGAN UHUD:

Optimis Menerima Kegagalan

Ketika Perang Uhud, sebahagian besar anggota pemanah yang dipilih oleh Rasulullah s.a.w. untuk berada di atas Bukit Uhud telah melakukan kesilapan besar dengan melanggar arahan Baginda s.a.w. supaya bertahan di atas bukit, walau apa pun yang berlaku, sama ada mereka menang atau kalah. Sebahagian anggota pemanah tersebut bertindak turun daripada Bukit Uhud tatkala melihat tentera-tentera Islam yang lain sedang sibuk mengaut harta rampasan pihak musuh.

Namun, pihak musuh mengambil peluang menyerang dari arah bukit yang ditinggalkan itu. Akibatnya, umat Islam mengalami kekalahan dan ramai dalam kalangan para sahabat yang cedera dan gugur syahid.

Walaupun umat Islam di ambang kekalahan pada ketika itu, mereka terus bersemangat dan bertahan melindungi dan mempertahankan Nabi s.a.w. yang dikasihi. Antara sahabat yang berjuang habis-habisan mempertahankan Rasulullah s.a.w. ialah Talhah bin Ubaidullah.

3Optimis Menerima Kegagalan images

AlBukhari meriwayatkan daripada Qais bin Abi Hazim, katanya: “Aku melihat tangan Talhah yang lumpuh kerana mempertahankan Nabi s.a.w. pada hari Perang Uhud.” (Sahih al- Bukhari 1/527, 2/581). Dalam kitab al-Iklil, al-Hakim meriwayatkan bahawa pada hari Perang Uhud, Talhah mengalami 36 atau 35 luka, dan jarinya putus iaitu jari telunjuk dan yang berikutnya. (Fath al-Bari 7/361).

Kekalahan dalam medan pertempuran Uhud sebenarnya telah menguatkan lagi keimanan umat Islam kepada Allah, serta memberi pengajaran besar kepada mereka. Mereka menerima kekalahan tersebut dengan penuh keinsafan dan kesabaran.

Kekalahan dan kegagalan adalah salah satu perjalanan hidup yang pasti kita lalui.

4Optimis Menerima Kegagalan images

Apa yang penting, tidak kira sama ada kemenangan mahu pun kekalahan, sebagai seorang Islam semestinya kita perlu bersedia untuk tabah menyusuri liku hidup yang penuh onak dan duri. Jangan sampai kita alpa dibuai kemenangan, dan jangan berduka atau bersikap pesimis apabila menghadapi kekalahan dan kegagalan.¤

 

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

 

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Dilahirkan di Kedah dan mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana (MA) dalam bahasa Arab juga di UIAM, dan menyambung pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya. Kini menjawat jawatan pensyarah di UIAM. Berpengalaman dalam bidang motivasi dan kepimpinan dan aktif dalam penerbitan buku ilmiah dan artikel majalah. Merupakan penulis Indahnya Hidup Bersyariat. Layari blog beliau di http://mohdazrul.blogspot.com. Beliau juga boleh dihubungi di mohdazrulazlan@gmail.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

tbbk1297

 

Kembali ke atas