Menu

 

A+ A A-

LALAT BUKAN REMEH PADA UMAT ISLAM

IMAM Ahmad dan Ibn Abi Syaibah meriwayatkan dari Sayidina Salman al-Farisi ia berkata, “Seorang lelaki masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki masuk neraka juga karena seekor lalat.”

Murid-muridnya bertanya, “Bagaimana itu terjadi?”

Ia lalu bercerita, “Dua orang lelaki berjalan melalui sebuah kaum penyembah berhala. Mereka tidak membiarkan sesiapa berlalu dari tempat itu sebelum mempersembahkan korban untuk berhala mereka.

Kaum itu berkata kepada salah seorang dari keduanya, “Persembahkanlah sesuatu untuk berhala.” Ia menjawab, “Aku tidak memiliki apa-apa.” Mereka berkata, “Persembahkanlah walau seekor lalat.” Ia lalu mengorbankan seekor lalat kepada berhala dan mereka pun melepaskannya. Salman berkata, “Orang ini masuk neraka.” Mereka berkata kepada lelaki yang lain, “Persembahkanlah walau seekor lalat.” Ia menjawab, “Aku tidak akan mempersembahkan apa-apa selain kepada Allah s.w.t.” Mereka lalu memenggal kepalanya. Salman berkata, “Orang ini masuk syurga.”

Selain itu Imam al-Sya’rani bercerita: Seseorang bermimpi bertemu Imam al-Ghazali setelah beliau wafat. Orang itu bertanya, Orang yang sangat menghormati Allah s.w.t., lalu bersegera melaksanakan semua perintah-Nya meskipun kecil, maka itu pertanda bahawa dirinya sangat terhormat di sisi Allah.“Bagaimana Allah memperlakukan terhadap dirimu?” Dia menjawab, “Allah mengampunkan aku kerana suatu hari aku membiarkan seekor lalat minum dari tinta yang sedang aku gunakan untuk menulis.”

Kisah yang dipaparkan ini mengajar kita sesuatu yang sangat penting, iaitu walaupun perbuatan kecil yang dilakukan seseorang namun kadang-kadang memberikan impak yang sangat besar. Seekor lalat dapat menentukan nasib seseorang di akhirat: Apakah ia akan masuk syurga atau neraka.

Perintah Kecil

Segala sesuatu yang Rasulullah s.a.w. perintahkan, sekecil apa pun perbuatan itu, mengandungi hikmah tertentu bagi diri dan masyarakat kita. Oleh sebab itu, seorang pencinta kebaikan tidak pernah melihat kecil perbuatan baik yang dilakukannya. Sebaliknya, perbuatan itu dilihat sebagai peluang besar untuk meninggikan darjat di dalam syurga dan mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Janganlah kau meremehkan perbuatan baik (makruf) sekecil mana pun, walau hanya tersenyum ketika berjumpa dengan saudaramu.” (Riwayat al-Bukhari).

Setiap tokoh besar dalam Islam tidak pernah melihat kecilnya sebuah perbuatan baik, akan tetapi menyaksikan kebesaran Allah yang mencintai kebaikan tersebut. Sehingga semangatnya dalam kebaikan tidak lebih kecil daripada ketamakan seorang pencinta harta yang tidak pernah ragu mengambil wang walaupun dalam jumlah yang kecil yang ditemuinya di tengah jalan. Ia tidak melihat kecilnya nilai wang itu, akan tetapi ia selalu membayangkan peningkatan kekayaannya kerana wang tersebut.

Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab pernah berkata, “Siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya.” (Riwayat Ibn Al-Mubarak pada kitab Al-Zuhd). Ertinya, siapa yang sangat menghormati Allah s.w.t., lalu bersegera melaksanakan semua perintahnya meskipun kecil, maka itu petanda bahawa dirinya sangat terhormat di sisi Allah. Sebaliknya, barang siapa yang meremehkan hak-hak Allah dan tidak menghormatinya sama sekali, itu petanda bahawa ia sangat hina di sisi Allah s.w.t.

Dua rakaat solat sunat yang sangat ringan dan tidak mengambil banyak masa, namun impak positifnya sangat besar di akhirat kelak. Imam Ibn Al-Mubarak dalam Al-Zuhd meriwayatkan dari Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang melalui sebuah kubur yang baru dikebumikan jenazah. Baginda bersabda, “Dua rakaat singkat yang kalian anggap remeh namun boleh menambahkan pahala orang ini kerana lebih dia sukai daripada seisi dunia.”

Menyedari hal ini, Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash sewaktu melewati sebuah perkuburan, beliau segera melakukan solat dua rakaat. Seseorang berkata kepadanya, “Ini sesuatu yang belum pernah anda lakukan sebelumnya.” Dia berkata, “Aku membayangkan ahli kubur dan amal perbuatan yang tidak dapat mereka lakukan lagi. Maka aku ingin lebih mendekatkan diriku kepada Allah dengan dua rakaat tadi.”

Membuang sampah yang berselerakan di lantai masjid nampak ringan, namun tinggi nilainya di sisi Allah. Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Buraidah al-Aslami bahawa Rasulullah s.a.w. melihat sebuah kubur yang baru ditimbus. Lalu baginda bertanya, “Kubur siapa ini?” Abu Bakar menjawab, “Ini kubur Ummi Mihjan, seorang wanita yang sangat suka memungut serpihan sampah di masjid.” Nabi bersabda, “Mengapa kalian tidak memberitahuku (tentang kematiannya)?” Abu Bakar menjawab, “Waktu itu tuan sedang tidur. Kami tidak ingin mengganggu tuan.” Nabi bersabda, “Jangan lakukan seperti itu lagi. Sesungguhnya solatku bagi jenazah akan menjadi cahaya di dalam kuburnya.” Baginda terus mengatur barisan sahabatnya dan melakukan solat ghaib untuk wanita itu.

Imam Bukhari kutip sampah

Membuang sampah di masjid ini sangat diambil berat oleh ahli hadis terutama Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari (wafat 256H). Dalam suatu majlis di sebuah masjid, Imam Al-Bukhari melihat seseorang menajamkan penselnya. Potongan kecil pensel yang terjatuh di atas lantai itu dibiarkan begitu saja. Imam ahli hadis ini hanya diam dan tidak melakukan apa-apa. Sebenarnya, beliau boleh menegur orang tersebut atau memerintahkan pegawai masjid untuk membersihkan lantai itu. Namun ahli hadis ini memilih untuk diam sebab beliau ingin mendapat ganjaran sunah untuk mengeluarkan kotoran dari masjid. Setelah semua orang pergi meninggalkan masjid, Imam al-Bukhari segera mengambil potongan pensel itu dengan tangannya lalu membuangnya keluar.

Begitu juga mendoakan orang yang bersin nampaknya ringan, namun besar nilainya di sisi Allah, terutama ketika sunah ini telah ditinggalkan oleh kebanyakan orang. Imam Abu Daud Sulaiman bin Asy’ats al-Sujistani (wafat 275H), penulis kitab Sunan, suatu hari berada di pinggir sebuah sungai. Tiba-tiba beliau mendengar seorang dari seberang sungai itu bersin. Dia segera mendapatkan sebuah sampan dan menyeberangi sungai itu untuk menemui orang tersebut. Dia berkata, “Apa yang kamu ucapkan ketika bersin?” Orang itu menjawab, “Aku ucapkan Alhamdulillah.” Imam Abu Daud segera berkata, “Yarhamkallah (semoga Allah merahmatimu).” Setelah itu dia kembali semula ke seberang.

Membantu orang lain yang memerlukan walau dengan kata-kata dan nasihat yang baik akan ditulis sebagai sedekah yang sangat berharga. Imam Jalaluddin al-Mahalli, seorang ahli fiqah Mazhab Syafii yang terkenal di Mesir, pernah berkata, “Tidak ada seorang ulama pun yang setelah meninggal dunia lalu dilihat dalam mimpi memberitahu bahawa Allah mengampuninya kerana ilmu yang dia miliki. (Kalaupun ada), mungkin sangat sedikit saja. Tetapi kebanyakan mereka berkata, ‘Allah mengampuni dosaku karena membantu hajat seseorang.’ Oleh sebab itu, aku berharap Allah mengampuniku dengan sebab hal ini.”

Bahkan memberi makan binatang yang sedang kelaparan dan kehausan sekalipun sangat bernilai di sisi Allah. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis yang menceritakan bahawa Allah pernah mengampuni dosa seorang pelacur kerana ia memberi minum seekor anjing yang kehausan.

Sebenarnya, sunah besar yang kita impikan dapat wujud di negara kita hanya apabila kita dapat membiasakan diri melakukan sunah kecil terlebih dahulu. Apabila sunah kecil itu telah menjadi sebahagian daripada hidup, sunah besar akan menyusul dengan sendirinya, menjadi sebahagian daripada masyarakat kita.

Larangan Kecil

Jangan sekali-kali kita meremehkan larangan Allah, meski sekecil mana pun. Sebab dosa itu ibarat racun berbahaya yang akan membinasakan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Orang yang berakal waras, dan mencintai hidupnya, tidak akan cuba untuk meminum racun walaupun hanya setitik, sebab dia tahun kesannya boleh jadi amat besar.

Imam al-Nasaie dan Ibn Hibban meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Seorang itu kadang-kadang tidak mendapat rezeki akibat dosa yang dilakukan.”

Imam al-Thabarani meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud dia berkata, “Saya yakin bahawa seseorang dapat melupakan ilmu yang telah dipelajarinya akibat dosa yang dilakukannya.”
Dosa kecil yang dilakukan terus menerus akan akhirnya membawa ke neraka. Ibn al-Mubarak meriwayatkan dari Ibn Mas’ud: “Jauhilah dosa-dosa yang dianggap ringan, sebab dosa-dosa itu akan menebal dan seterusnya membinasakan pelakunya.”

Oleh sebab itu jangan remehkan satu kalimat yang kita ucapkan sebab kalimat tersebut kadang-kadang membawa kita kepada kebinasaan. Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sering kali sepatah perkataan yang diucapkan seseorang, membuatkannya melayang-layang di neraka tujuh puluh tahun.”

Berdasarkan pengalaman hidup kita, banyak kes betapa banyak kerenggangan hubungan seseorang dengan temannya, isterinya, anaknya bahkan ibu bapanya, akibat kata-kata yang terlepas diucapkan.

Seorang bapa atau ibu kadang-kadang menyayangi salah seorang anaknya melebihi anak yang lain. Kita anggap ianya perkara remeh atau ringan, padahal di sisi agama menilainya sebagai suatu kezaliman.

Anas bin Malik bercerita: Suatu hari ketika seorang lelaki duduk bersama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba anak lelakinya datang. Orang itu segera mengambil anak itu lalu menciumnya dan mendudukannya di pangkuan. Tidak lama kemudian, datang anak perempuannya. Orang itu segera mengambilnya lalu mendudukkannya di samping tempat duduknya. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kamu tidak adil kepada anakmu ini.” (Riwayat al-Baihaqi) Sebahagian besar masyarakat, termasuk guru agama, sering kali meringankan pergaulan dengan kaum berlainan jenis. Sehingga sering terjadi khalwat (berdua-duaan) yang jelas haram, dengan alasan memberi kaunseling agama, meminta fatwa, atau belajar mengaji. Rasulullah s.a.w. selalu mengingatkan bahawa berdua-duaan dengan bukan mahram adalah mainan syaitan, untuk merosakkan keimanan seseorang.

Sayidina Ubadah bin Shamit, seorang sahabat Nabi s.a.w. yang tinggi ilmunya berkata tentang dirinya, “Tidakkah kamu melihat bahawa aku selalu berjalan sambil dipapah dan hanya memakan makanan yang telah dilembutkan oleh kawanku (maksudnya, kemaluannya telah mati sejak lama). Namun aku tetap tidak suka berkhalwat dengan seorang perempuan yang tidak halal bagiku, meski dibayar dengan seisi dunia. Sebab aku khuatir suatu saat syaitan datang lalu menggerakkannya kembali.” Inilah sikap seorang Mukmin sejati yang memahami agamanya dengan mendalam.

Akhir kata, dosa sekecil sebanyak mana pun adalah pintu masuk syaitan ke dalam hati manusia. Terserahlah kepada kita apakah akan membiarkan pintu itu terbuka selalu atau segera menutupnya rapat-rapat. Ingatlah, kerana seekor lalat boleh memasukkan seseorang ke neraka. Wallahu a’lam.¤


Umar M Noor

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas