Logo
Print this page

KAUM NABI NUH

KAUM NABI NUH

KAUM Nuh a.s. merupakan kaum yang dikurniakan umur yang sangat panjang. Namun disebabkan keingkaran, mereka telah dimusnahkan dalam peristiwa banjir besar sehingga menenggelamkan seluruh kawasan walaupun setinggi gunung.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka ia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka ditimpa banjir besar, dan mereka adalah orang yang zalim. Maka Kami selamatkan Nuh dan penumpang-penumpang bahtera itu dan Kami jadikan peristiwa itu pelajaran bagi semua umat manusia.” (Surah al-Ankabut 29: 14-15) Nabi Nuh a.s. adalah nabi keempat. Bapanya ialah Lamik bin Metusyalih bin Idris. Nabi Nuh menerima wahyu kenabiandaripada Allah pada masa fitrah, yakni masa kekosongan antara dua rasul.

Manusia ketika itu sudah jauh jarak masa daripada nabi yang terdahulu menyebabkan mereka kembali syirik serta menyembah berhala. Nabi Nuh berdakwah selama lebih kurang 950 tahun, namun Cuma sebilangan kecil kaumnya (kurang daripada seratus orang) yang beriman. Ejekan, cercaan, makian dan cemuhan sahaja yang diterima daripada kaumnya saban hariHarapan Nabi Nuh untuk menyedarkan kaumnya ternyata semakin malap, maka Nabi Nuh a.s. bermunajat dan mengadu kepada Allah s.w.t.

Firman-Nya yang bermaksud: “Maka (Nuh) mengadu kepada Tuhannya: ‘Bahwasanya aku ini adalah orang yang dikalahkan, oleh sebab itu menangkanlah (aku).’” (Surah al-Qamar 54: 10) Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Nuh a.s. membina kapal. “Dan diwahyukan kepada Nuh, bahawasanya sekali-kali tidak akan beriman antara kaummu, kecuali yang telah beriman (sahaja), kerana itu janganlah kamu bersedih hati tentang apa yang selalu mereka kerjakan. Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami, dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang yang zalim itu, sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.” (Surah Hud 11: 36-37)

Ketika Nabi Nuh a.s. dan para pengikutnya membina kapal besar itu, kaumnya mengejek-ejek sepertimana dicatat dalam al-Quran. Firman Nuh membuat bahtera. Dan setiap kali pemimpin kaumnya berjalan melewati Nuh, mereka mengejeknya. Berkatalah Nuh: ‘Jika kamu mengejek kami, maka sesungguhnya kami (pun) mengejekmu sebagaimana kamu sekalian mengejek (kami).’” (Surah Hud 11: 38) Apabila selesai pembinaan kapal, Allah s.w.t. mewahyukan kepada Nuh a.s.: “Hingga apabila perintah Kami datang dan dapur (iaitu permukaan bumi) telah memancarkan air, kami berfirman: ‘Muatkanlah ke dalam bahtera itu masing-masing binatang sepasang (jantan dan betina), dan keluargamu kecuali orang yang telah terdahulu ketetapan terhadapnya dan (muatkan pula) orang yang beriman.” (Surah Hud 11: 40)

Kemudian mencurah-curahlah hujan dari langit dan keluar air dari dalam bumi, yang deras dan sehingga dalam masa yang singkat banjir besar melanda seluruh kota dan desa, menggenangi daratan rendah dan yang tinggi, hingga mencapai puncak-puncak bukit. Kapal Nabi Nuh yang berisi dengan orang Mukmin dan pasangan haiwan yang diselamatkan, sahaja yang selamat, meredah hujan ribut dan taufan yang menggila.

Nabi N1

Allah s.w.t. merakamkan peristiwa banjir besar itu dengan firman-Nya: “Maka kami bukakan pintu-pintu langit dengan(menurunkan) air yang tercurah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air, maka bertemulah air-air itu untuk suatu urusan yang sungguh telah ditetapkan. Dan Kami angkut Nuh ke atas (bahtera) yang dibuat daripada papan dan paku, yang belayar dengan pemeliharaan kami sebagaibalasan bagi orang yang diingkari (Nuh).” (Surah al-Qamar 54: 11-14) Semasa banjir besar itu, Nuh a.s. melihat anaknya tenggelam timbul dilambung air. “Dan bahtera itu belayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya, sedangkan anak itu berada di tempat yang jauh terpencil: ‘Hai anakku, naiklah (ke kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang yang kafir.’ Anaknya menjawab: ‘Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku daripada air bah!’ Nuh berkata: ‘Tidak ada yang melindungi hari ini daripada azab Allah selain Allah yang Maha Penyayang.’ Dan gelombang menjadi penghalang antara kedua-duanya; maka jadilah anak itu termasuk orang yang ditenggelamkan.” (Surah Hud 11: 42)

Sebahagian ahli tafsir mencatatkan nama anak Nabi Nuh a.s. itu ialah Qanaan, dan putera beliau yang lain terselamat yakni Sam, Ham dan Jafits. Setelah beberapa hari, hujan ribut dan banjir besar itu berakhir. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai bumi telanlah airmu dan wahai langit (hujan) berhentilah.” Dan air pun disurutkan, perintah pun diselesaikan dan bahtera itu pun berlabuh di atas Bukit Judi, dan dikatakan binasalah orang yang zalim.” (Surah Hud 11: 44)

Dalam Atlas al-Quran, Dr. Shauqi Abu Khalil mencatat lokasi kaum Nabi Nuh itu adalah di selatan Iraq kini, di sekitar Kota Kufah. Bukit Judi pula ialah bukit yang berhadapan dengan Semenanjung Ibn Umar, yang sekarang menjadi sempadan Syria dan Turki, di sebelah timur Sungai Tigris. Bukit Judi ini boleh dilihat jelas dari daerah Ainu Diwar, Syria. Ada tercatat dalam manuskrip sejarah, memang pernah terjadi banjir besar yang melanda negeri Ma Baina Nahrain (negeri yang terletak di antara dua sungai).

Berbagai-bagai usaha arkeologi yang dilakukan di Ur, Uruk, Keisy dan Syurubak (di Iraq kini) yang menunjukkan kesan-kesan pernah berlaku peristiwa banjir antara zaman Abeid dan zaman Sulalat pertama. Banjir besar dipercayai terjadi pada akhir zaman Jumdah Nashar. Seorang ahli arkeologi, Charles Leonard Woolly telah menemui lapisan lumpur (alluvial clay) yang tebal di Kota Ur dengan kedalaman 3.5 meter. Beliau juga menemui bekas peninggalan tempat tinggal manusia pada lapisan-lapisan lumpur itu dan juga di dalam air Sungai Tigris dan Sungai Furat. ¤

 

        Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4

_________________________________________________________________

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

© 2013 Addeen.my | All rights reserved.