Menu

 

A+ A A-

KAUM THAMUD

SUATU ketika dulu, terdapat kaum yang dikurniakan fizikal yang besar dan kemahiran pertukangan yang tinggi. Namun, kaum tersebut musnah melalui tragedi yang sangat dahsyat dan mengerikan.

Kaum yang dimaksudkan itu adalah kaum Nabi Saleh iaitu kaum Thamud sempena nama Thamud bin Amid bin Iram. Thamud termasuk sebahagian suku Arab yang mendiami Daumatul Jandal, Mada’in Soleh yang terletak di antara Yordania, dan Hijaz bahagian Utara (Tabuk dan Tayma).

Dalam al-Quran nama “Thamud” disebut dalam 26 ayat.

Mereka merupakan kaum yang mempunyai peradaban dan ketamadunan yang tinggi. Allah s.w.t. merakamkan kisah mereka dalam al-Quran sebagai peringatan dan pengajaran kepada umat manusia.

Firman Allah s.w.t.: (Saleh berkata kepada kaumnya): “Adakah kamu akan dibiarkan tinggal di sini (di negeri kamu ini) dengan aman, di dalam kebun-kebun serta mata air, dan tanam-tanaman dan pohon-pohon kurma yang mayangnya lembut? Dan kamu pahat sebahagian gunung-gunung untuk dijadikan rumah-rumah dengan bijak dan bersungguh-sungguh.” (Surah al-Syuara’ 26: 146-150)

Mengapa mereka dibinasakan? Allah s.w.t. berfirman: “Dan (Kami utuskan) kepada kaum Thamud saudara mereka Saleh. Baginda berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata (mukjizat) kepadamu daripada Tuhammu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu (membuktikan kebenaranku), Maka biarkanlah ia makan di bumi Allah, dan jangan kamu mengganggunya sebarang gangguan, (yang kerananya) kamu akan ditimpa seksaan yang pedih.”

“Dan ingatlah olehmu waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah, maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi membuat kerosakan.”

“Pemimpin-pemimpin yang menyombongkan diri di antara kaumnya berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah yang telah beriman di antara mereka: ‘Tahukah kamu bahawa Saleh diutus (menjadi rasul) oleh Tuhannya?’

“Sebahagian mereka menjawab: ‘Kami beriman kepada wahyu yang Saleh diutus untuk menyampaikannya.’

“Sebaliknya mereka yang bongkak berkata: ‘Kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani.’

“Kemudian mereka bunuh unta betina itu, dan mereka angkuh terhadap perintah Tuhan dan mereka berkata: ‘Hai Saleh, datangkanlah apa yang kamu ancamkan kepada kami, jika benar kamu termasuk orang yang diutus Allah.’ Kerana itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka.” (Surah al-A’raf 7: 73-78)

Tempat tinggal kaum Thamud terletak di Hijr dan di kenali sebagai Mada’in Soleh terletak di antara Hijaz dan Syam, sebelah tenggara bumi Madyan yang berada di timur Khalij al-Aqbah.

Kehebatan paling nyata kaum Thamud ialah kemahiran mereka menebuk dan mengukir bukit dan gunung untuk dijadikan kediaman yang kukuh dan cantik. Begitulah dikurniakan Allah kepada kaum ini teknologi yang begitu canggih. Kesan bukit-bukit batu yang dipahat menjadi kediaman itu masih boleh dilihat pada hari ini di Mada’in Soleh.

Walau pun begitu maju teknologi mereka, namun mereka sangat primitif dari sudut aqidah dan rohani. Allah s.w.t. mengutus Nabi Soleh a.s. untuk membimbing mereka kepada agama tauhid. Sebagai bukti kenabian, Allah mengurniakan kepada Nabi Soleh seekor unta betina yang keluar dari batu. Baginda mengingatkan agar tidak mengusik unta ini, namun sikap degil mereka dan mengingkari peringatan Allah lalu membunuh unta tersebut.

Akibatnya mereka dibinasakan dengan satu letusan suara kuat yang menggempakan bumi, sehingga jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan.

Nabi Soleh a.s. dan kaumnya yang beriman terselamat daripada bencana tersebut. Ada pendapat yang mengatakan mereka berhijrah ke Palestin.

Kisah ini diceritakan dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t.: “(Nabi Saleh menyeru): ‘Hai kaumku, inilah unta betina dari Allah, sebagai mukjizat (yang menunjukkan kebenaran) untukmu, sebab itu biarkanlah dia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun yang akan menyebabkan kamu ditimpa azab yang dekat.”

“Mereka membunuh unta itu, maka berkata Saleh: ‘Bersukarialah kamu sekalian di rumahmu selama tiga hari, itu adalah janji yang tidak dapat didustakan.’ Maka tatkala datang azab kami, kami selamatkan Saleh berserta orang yang beriman bersama dia dengan rahmat dari kami dan daripada kehinaan di hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

“Dan satu suara keras yang mengguntur menimpa orang yang zalim itu, lalu mereka mati bergelimpangan di rumahnya. Seolah-olah mereka belum pernah menetap (tanpa bekas bagaikan tidak pernah wujud) di tempat itu. Ingatlah, sesungguhnya kaum Thamud mengingkari Tuhan mereka. Ingatlah, kebinasaanlah bagi kaum Thamud.” (Surah Hud 11: 64-68)¤

 

Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

_________________________________________________________________

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas