Menu

 

A+ A A-

SALAH FAHAM TENTANG RUH

ORANG tua-tua di kampung saya mengatakan bahawa roh orang yang telah mati akan kembali kepada keluarganya pada malam lailatulqadar pada bulan Ramadhan. Mereka berhujah dengan firman Allah: “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan ruh…” (Surah Al-Qadr: 4). Adakah ucapan ini betul?

Jawapan : Ringkasnya: Ruh dalam ayat tersebut bukan bermakna roh orang mati, akan tetapi malaikat Jibril.

HURAIAN: Secara prinsipnya, roh adalah rahsia Allah. Dan kita tidak tahu hakikat roh itu. Ini sebagaimana firman Allah: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: roh itu urusan Tuhanku. Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al Isra’: 85) Namun begitu, Rasulullah turut berbincang tentang roh dalam banyak hadis baginda. Salah satunya hadis: “Sesungguhnya roh-roh itu seperti pasukan yang berbaris-baris. Jika (di alam arwah) mereka saling mengenal, maka mereka akan berkasih saying (di dunia). Dan jika mereka saling bermusuhan (di alam arwah), maka mereka akan saling berselisih (di dunia).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Hadis ini menjelaskan bahawa roh yang baik akan dipertemukan dengan roh yang baik. Mereka akan bersatu di jalan Allah dalam melakukan amal soleh. Sedangkan ruh yang buruk akan sering berbeza dan bertelingkah.

Roh dalam al-Quran

RUHApabila kita mengkaji kalimat ruh dalam al-Quran, ternyata maknanya melebihi batasan yang biasa difahami oleh sebahagian umat Islam. Ruh membawa makna pelbagai seperti malaikat Jibril, Nabi Isa, dan juga al-Quran itu sendiri. Jadi, kita mesti menjaga diri agar tidak tersalah dalam memahaminya. Sesuai dengan konteksnya, kalimat ruh dalam al-Quran merujuk kepada perkara-perkara berikut:

1 Nafas

Seseorang yang masih bernafas dan bergerak dikatakan masih ada rohnya. Nafas dan roh dalam bahasa Melayu didefinisikan sebagai nyawa. Jadi, seseorang itu dikatakan hidup jika ada nyawanya. Walau bagaimanapun, kita tidak tahu bentuk dan hakikat nyawa itu sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Isra’ di atas.

2 Malaikat Jibrail

Sebagaimana dalam ayat 4 surah al-Qadr, perkataan ruh bermaksud malaikat Jibrail. Para ulama menerangkan bahwa Jibrail disebutkan secara khusus dalam ayat ini untuk menunjukkan keistimewaan tertentu yang beliau miliki. Jibrail merupakan pemimpin malaikat. Jibrail juga disebut ruh kerana peranannya sebagai pembawa wahyu. Allah menjelaskan: “Dan sesungguhnya al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam.

Diturunkan oleh al-Ruh al-Amin ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi pemberi peringatan, dengan bahasa Arab yang jelas.” (Surah al-Syu’ara: 192-195) Imam al-Biqa’i berkata: “Al- Amin bermaksud: penuh amanah. Ini merujuk kepada sifat terpelihara Jibrail daripada melakukan dosa atau khianat.”

Kalimat ini secara tidak langsung membantah tuduhan sebahagian manusia yang dating kemudian seperti golongan Syiah. Mereka menuduh Jibrail telah menyembunyikan sesuatu dan mengkhianati amanah Allah.

3 Nabi Isa

Firman Allah: “Sesungguhnya Al- Masih Isa putera Maryam itu adalah utusan Allah dan kalimat-Nya yang disampaikan kepada Maryam, dan ruh daripada-Nya.” (Surah al Nisa: 171) Menurut ahli tafsir, sewaktu roh setiap manusia dimasukkan ke dalam sulbi Nabi Adam, Allah menyimpan roh Nabi Isa di sisi-Nya. Apabila Allah hendak menjadikan Nabi Isa, Jibrail diperintahkan untuk meniupkan roh Isa kepada bondanya, Maryam. Penjelasan ini dapat kita lihat dalam Tafsir al-Khazin. Menurut al-Qurtubi, kemuliaan panggilan roh untuk Nabi Isa ini adalah secara khusus amat bersesuaian. Baginda dianugerahkan mukjizat untuk menyembuhkan orang yang sakit kusta dan buta, serta menghidupkan orang yang telah mati. Beliau juga menyatakan bahawa ruh juga boleh bermaksud tiupan. Kerana apabila menjadikan Nabi Isa, Jibril diperintahkan untuk meniupkan roh kepada Maryam.

4. Al Quran.

Firman Allah: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu ruh dengan perintah Kami.” (surah Al-Syura: 52) Al-Quran disebut ruh kerana ia menjadi pedoman kehidupan yang hakiki untuk umat manusia. Orang yang hidup bersama Al Quran, membaca, mendengar, merenungi, memahami, menghafal dan menjadikannya sebagai pegangan hidup, maka orang tersebut akan mendapatkan kebahagiaan yang hakiki.

KESIMPULAN: Demikianlah penjelasan bagi perkataan roh yang digunakan dalam al-Quran dan hadis. Kalimat roh yang dikatakan turun ke bumi pada malam lailatulqadar bukan bermaksud roh manusia yang telah mati. Tetapi, ia merujuk kepada nama malaikat Jibrail sebagai salah satu gelarannya.

Wallahu a‘lam.

Dr. Hj. Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Artikel berkaitan: « FREEMASON
Kembali ke atas