Menu

 

A+ A A-

MENYAMBUT KELAHIRAN MENGIKUT SUNNAH

SAYA bakal menyambut kelahiran anak sulung. Boleh ustaz jelaskan sunnah-sunnahnya yang Nabi ajarkan supaya saya dapat bezakannya daripada amalan adat masyarakat semata-mata.

Rasulullah s.a.w. telah mengajar kepada kita beberapa adab dan panduan dalam menyambut kelahiran baru antaranya:

1.Membaca azan di telinga anak sejurus selepas kelahirannya. Abu Rafi‘ meriwayatkan: “Aku melihat Rasulullah azan di telinga Hasan bin Ali sewaktu Fatimah melahirkannya.” (Riwayat Abu Daud)

Ini adalah untuk memastikan kalimah pertama yang didengari oleh si anak ialah perkataan yang mengandungi kebesaran dan keagungan Allah dan kalimah syahadah serta untuk menghalau syaitan.

Adapun membaca iqamat di mempertikaikan kesahihan hadis yang diriwayatkan tentangnya.

2.Melakukan tahnik (belah mulut). Abu Musa al-Asy‘ari bercerita: “Saya telah mendapat anak lelaki maka saya membawanya kepada Nabi. Baginda menamakannya Ibrahim, menyuapkan tamar ke dalam mulutnya dan mendoakan keberkatan untuknya lalu menyerahkan anak itu kembali kepada saya.” (Riwayat al-Bukhari)

3.Mengucapkan tahniah merangkap doa buat ibu bapa si anak.

Lafaz doanya seperti berikut:

ay1

Bermaksud: “Semoga Allah memberkatimu dengan kelahiran anak ini dan kamu pula mensyukuri Pemberinya. Semoga dia dipelihara hingga dewasa dan kamu mendapat layanan yang baik daripada anak ini.”

Ibu bapa pula disunatkan membalas ucapan tahniah tersebut dengan lafaz berikut:

ay2

Bermaksud: “Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya ke atasmu, membalasnya dengan balasan yang baik, merezekikanmu seumpamanya serta memperbanyakkan pahalamu.”

4.Melaksanakan aqiqah.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Bagi setiap seorang anak hendaklah dilakukan aqiqah: sembelihlah haiwan baginya dan buangkan daripadanya penyakit (cukur rambutnya).” (Riwayat al-Bukhari)

5.Mencukur kepalanya.

Ada kajian dibuat dan mendapati bahawa rambut yang keluar dari perut ini adalah tidak baik dan elok dibuang.

6.Memberi nama yang baik.

 Rasulullah sangat menggalakkan umatnya menamakan anak dengan nama yang baik. Sabda Baginda bermaksud: “Nama-nama kamu yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman.” (Riwayat Muslim)

7.Berkhatan.

 Rasulullah bersabda maksudnya: “Lima amalan ini ialah fitrah manusia: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, memendekkan misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Cara Aqiqah

Minta ustaz jelaskan hukum dan cara yang sunnah untuk melakukan aqiqah?

Hukum aqiqah ialah sunat muakkad kecuali jika ibu bapanya bernazar, maka hukumnya menjadi wajib. Untuk anak lelaki afdal disembelih dua ekor kambing. Jika tidak mampu, seekor pun memadai. Manakala untuk anak perempuan, disembelih seekor kambing.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah maksudnya: “Bagi anak lelaki, dua ekor kambing yang lebih kurang sama besar dan untuk anak perempuan, seekor kambing.” (Riwayat al-Tirmizi)

Antara sunnah-sunnah aqiqah yang lain adalah:

1.Dilakukan pada hari ketujuh.

Contohnya jika anak itu dilahirkan pada hari Sabtu, maka aqiqahnya disembelih pada hari Jumaat yang berikut. Jika tidak berkesempatan, maka elok dilakukan pada hari ke-14 atau ke-21.

Seboleh-bolehnya usah ditunggu hari cuti bekerja. Aqiqah ini hak anak kita. Namun ramai yang tidak sanggup mengambil cuti sehari untuknya sedangkan untuk tujuan lain boleh pula?

2.Menyembelih haiwan lebih baik berbanding bersedekah dengan harganya.

3.Daging aqiqah dibuat jamuan atau kenduri kepada orang ramai dan fakir-miskin.

Tempoh Sah Aqiqah

Bilakah had masa terakhir boleh melakukan aqiqah? Ada orang kata sampai usia baligh sahaja, selepas itu sudah tidak sunat lagi. Adakah semua binatang boleh disembelih untuk aqiqah?

Aqiqah itu sunat dilakukan dalam tempoh bermula dengan kelahiran anak hingga anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Maka apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya. Namun hukum sunat melakukan aqiqah itu akan berpindah ke atas anak itu sendiri. Dalam kata lain, si anak sunat melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri apabila dewasa sekiranya ibu bapanya tidak sempat melakukan aqiqah untuknya.

Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh dari hari kelahirannya. Ini sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud: “Setiap bayi yang baru lahir tergadai dengan aqiqahnya. Sembelihlah haiwan untuknya pada hari ketujuh, cukurlah kepalanya dan berilah nama kepadanya.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Binatang sembelihan untuk aqiqah sama syaratnya seperti binatang korban iaitu mesti binatang ternakan berkaki empat seperti kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta. Cuma untuk lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian. Binatang yang hendak disembelih juga mesti cukup umur.

Wallahu a‘lam.

 

Dr. Abdul Basit Abd Rahman

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas