Menu

 

A+ A A-

SABAR ITU MEMBAHAGIAKAN

Sifat sabar merupakan sifat mahmudah yang harus dimiliki oleh semua orang namun bukan mudah untuk dilakukan. Untuk menjadi seorang yang penyabar maka kita harus melatih diri untuk bersabar dan terus bersabar. Ingatlah orang yang bersabar amat dikasihi oleh Allah s.w.t. dan akan mendapat rahmat daripada Allah.

Banyak ayat al-Quran yang menyentuh tentang sabar antaranya:

  1. Firman Allah, mafhumnya: “Dan berikanlah khabar gembira kepada orang yang bersabar iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kita ini kepunyaan Allah dan kepada-Nya jualah kita kembali’. Merekalah orang yang diberikan kurniaan serta rahmat ke atas mereka. Merekalah orang yang beroleh petunjuk.” (Surah Al-Baqarah: 155-157)
  2. Firman Allah, mafhumnya: “Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan. Kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” (Surah al-Anbiya’: 35)
  3. Firman Allah, mafhumnya: “Wahai orang yang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu serta tetaplah bersedia dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Surah Ali ‘Imran: 200)

Begitu juga Rasulullah pernah memuji seorang sahabatnya alAsyaj Abdul Qays: “Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua perkara yang dicintai oleh Allah iaitu kesabaran serta lemah lembut.” (Riwayat Muslim)

Sabar itu Pahala

Berkaitan dengan hal ini, saya ingin nasihatkan kepada para pesakit supaya tetap bersabar semasa menunggu lama untuk dipanggil oleh doktor. Semua orang maklum bahawa tugas seorang doktor amat padat dan sibuk. Janganlah kita marah-marah atau mengomel. Marah itu sifat mazmumah.

Sebaliknya kita mestilah mengikuti sifat-sifat orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya iaitu sifat sabar dan sentiasa bersyukur. Mudah mudahan dengan sifat terpuji ini, Allah mempermudah segala urusan kita dan memberi ganjaran kebaikan yang tidak terhitung.

Firman Allah mafhumnya: “Sesungguhnya hanya orang yang bersabar bakal beroleh ganjaran mereka dengan keadaan yang tidak dapat dihitung.” (Surah al-Zumar: 10) Dalam ayat yang lain Allah berfirman, mafhumnya: “Dan Kami pasti memberikan ganjaran kepada mereka yang bersabar dengan ganjaran yang terbaik atas apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Nahl: 96)

Atas dasar ini, saya menyeru masyarakat agar celik mata dan set minda semula untuk menjadi seorang yang penyabar. Apabila kita sabar dalam semua urusan yang dilakukan, maka insya-Allah kita akan mendapat hasil yang baik. Sabda Rasulullah, maksudnya: “Sesungguhnya besarnya ganjaran itu setimpal dengan besarnya ujian. Sesungguhnya jika Allah mengasihi sesuatu kaum, nescaya mereka akan diuji. Sesiapa yang reda, maka baginya keredaan Allah. Sesiapa yang murka, maka ia akan mendapat kemurkaan Allah”. (Riwayat al-Tirmizi)

Dua Jenis Manusia

Ada dua jenis manusia di dunia: Manusia berkesedaran keegoan (ikut nafsu) dan berkesedaran ketuhanan (ikut iman). Manusia berkesedaran keegoan ialah manusia yang mengikut hawa nafsu seperti marah. Semua perkara yang diinginkan perlu cepat, mesti ikut cara dia, suka bersaing, sangat fikir tentang apa orang kata, pangkat dan harta sentiasa ingin lebih daripada orang. Dalam erti kata lain, orang seperti ini sentiasa hendak menang sahaja.budak

Ini dinamakan golongan ego. Apabila kita mempunyai sifat seperti ini iaitu tidak pandai mengawal emosi, maka tubuh kita akan menghasilkan hormon-hormon stres yang akan merosakkan sistem badan sekalipun kita telah mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Orang yang bahagia akan mengeluarkan hormon yang sihat untuk menyihatkan badannya.

Namun orang yang tidak pandai mengawal emosi kerana fokus pada keegoan, hormon yang dihasilkan semuanya negatif. Maka tekanan darah naik, jantung laju dan sistem imun akan berkurangan. Impaknya, mereka akan lebih senang mendapat kanser, terkena jangkitan kuman sehingga menyebabkan batuk, selesema, demam dan sebagainya. Semua ini ciri orang yang kurang sabar.

Jika kita hidup dengan kesedaran ketuhanan lalu menggunakan keimanan untuk setiap keputusan dan reaksi, maka kita tidak akan bersikap ego. Kita akan sentiasa bekerjasama, mengalah dan penuh kasih sayang. Kita akan sentiasa mencari kebaikan atau kecantikan dalam apa situasi sekalipun. Kita akan sentiasa bermurah hati, membaiki diri dan menerima orang lain seadanya. Apabila kita mempunyai sifat-sifat positif atau mahmudah ini, maka insya-Allah kehidupan kita akan tenang dan bahagia. `

Wallahu a‘lam

 

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09


 

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas