Menu

 

A+ A A-

“USALLI” ANTARA WASWAS SYAITAN DAN BIDAAH

SOALAN : Seorang kawan sebilik saya ini selalu berulang kali mengangkat takbir untuk solat. Ada satu ketika, hampir 10 kali dia mengulang-ulang lafaz “usalli” namun tetap tidak berjaya. Lalu dia pergi membasuh muka dan kembali untuk solat semula. Adakah ini yang dikatakan waswas syaitan atau bagaimana?

JAWAPAN:

Niat menurut bahasa bererti tekad, tujuan atau keazaman untuk melakukan sesuatu. Manakala menurut syarak, niat bermaksud keazaman hati dalam melakukan ibadah demi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Niat adalah yang wajib ketika menunaikan solat. Solat menjadi tidak sah apabila tidak disertai dengan niat.

Ulama mazhab Hanafi, Hanbali dan sebahagian ulama Maliki menyatakan bahawa niat ialah syarat wajib bagi solat. Ulama mazhab Syafi‘i dan sebahagian ulama Maliki pula menetapkan bahawa niat sebagai salah satu rukun daripada rukun solat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sesuatu amalan itu mesti berasaskan kepada niat.” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini dengan jelas menyatakan kepentingan niat dalam melaksanakan sesuatu amalan. Oleh sebab itu, setiap amalan ibadah yang dilakukan hendaklah disertai dengan niat agar ibadah tersebut diterima oleh Allah.

Usalli Bukannya Niat

Niat dalam solat bukanlah sesuatu yang susah untuk dilakukan kerana kita hanya perlu menghadirkannya dalam hati sahaja. Namun bagi mereka yang tidak berilmu dan tidak mahu menuntut ilmu, maka sudah tentu akan berasa sukar untuk berniat. Akhirnya, perasaan waswas sentiasa bersarang dalam diri. Apatah lagi, syaitan sudah tentu akan mengambil kesempatan untuk seseorang itu terus berada dalam keadaan waswas. Orang yang hendak berniat tidak perlu gusar dan bimbangsekiranya tidak mengetahui bahasa Arab. Hal ini kerana niat itu tempatnya di hati. Maka ia boleh dilakukan dengan cara yang difahami iaitu dengan bahasa apa sekalipun tanpa merujuk kepada mana-mana bahasa.

Namun apa yang menjadi masalahnya ialah apabila seseorang itu menyangka bahawa lafaz “usalli” itu sebagai niat. Inilah yang membawa kepada penyakit waswas apabila ia tidak dapat menuturkan lafaz tersebut dengan baik. Sedangkan lafaz “usalli” itu bukannya niat. Rumusannya, niat dalam solat bukanlah sesuatu yang sukar. Namun sungguh menghairankan apabila masih ramai orang yang merasakan begitu sukar untuk berniat. Ini berpunca akibat tidak memberikan perhatian untukmenuntut ilmu tentang solat dengan sebaik mungkin. Ada orang yang merasakan sudah cukup ilmu tentang solat yang dipelajari semasa kecil lagi. Jadi tidak perlu menambahkannya lagi setelah dewasa. Kalau gaji atau bonus diharap agar bertambah dari setahun ke setahun. Tetapi ilmu, tidak kisah pun andai tidak bertambah? Fikirkanlah!

usalli

"Usalli" tu Bidaah?        

 SOALAN : Ada yang mengatakan bahawa lafaz “usalli” itu bidaah. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?

JAWAPAN :

Niat merupakan amalan hati. Jadi sudah memadai dengan menghadirkannya di hati tanpa melafazkannya di lidah. Namun, melafazkan niat dengan lidah sebelum takbiratulihram adalah sunat menurut mazhab Hanafi,Syafi‘i dan Hanbali. Asasnya, melafazkan niat dapat membantu niat yang dihadirkan dalam hati semasa takbiratulihram. Mazhab Maliki pula berpendapat bahawa seelok-eloknya tidak melafazkan niat dengan lidah. Kecuali bagi orang yang waswas, maka disunatkan baginya melafazkannya agar dapat menghilangkan perasaan waswas tersebut.

Namun ada dalam kalangan masyarakat kita orang yang begitu ekstrem membidaahkan perbuatan tersebut dengan alasan kononnya ia bercanggah dengan sunnah Rasulullah.

Tindakan membidaahkan lafaz niat ini bermaksud mereka juga turut membidaahkan ijtihad jumhur ulama yang muktabar samaada dengan secara sedar atau pun tidak. Kesimpulannya, tindakan membidaahkan amalan melafazkan niat itu merupakan tindakan yang sia-sia bahkan boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam. Sepatutnya hal yang kecil ini ditangani dengan bijak agar umat Islam menjadi semakin kuat dan komited dalam agamanya, bukan menjadi lemah dan membuang masa dengan perkara-perkara kecil yang tidak sepatutnya diperbesarkan itu.

Sehubungan dengan itu juga, dirasakan cukuplah diberi penjelasan bahawa yang wajib untuk solat ialah niat dalam hati, manakala lafaz niat tidak wajib. Niat sunat dilafazkan sekiranya lafaz tersebut dapat mengukuhkan niat di hati. Sebaliknya jika lafaz niat itu dirasakan mengganggu atau menyebabkan seseorang menjadi waswas seperti yang berlaku pada sesetengah orang yang melafazkan “usalli” berbelas-belas kali, maka tidak perlulah seseorang itu melafazkannya, kerana yang wajib hanya menghadirkan niat dalam hati sahaja.

 

 

Dr. Mohd Sukki Othman

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08

 


 

Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas