Menu

 

A+ A A-

JIHAD TIDAK HANYA BERPERANG

Pengertian jihad dan kepentingannya?

Jihad ialah apa sahaja amalan yang dilakukan untuk meninggikan kalimah Allah dan kebenaran yang merangkumi pelbagai aspek dan wasilah. Mana-mana amalan yang membawa kepada ketinggian Islam maka ia dianggap sebagai jihad di sisi Allah Taala. Jihad begitu penting untuk tujuan melindungi diri hinggalah melindungi negara. Tanpa jihad, umat Islam akan menjadi lemah dan ditindas. Jihad merupakan pelindung dan perisai buat umat Islam daripada diperkotak-katikkan. Jihad ialah kemuncak amalan dalam Islam yang membolehkan kita meraih pahala yang tinggi di sini Allah.

 

Jihad Masa Lampau

 

SOALAN : Namun apabila kita menelaah kitab-kitab fiqah, jihad dimaksudkan dengan peperangan. Apa pandangan ustaz?

 

JAWAPAN :

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam sebahagian kitab fiqah, jihad dibincangkan dalam konteks peperangan. Kenyataan sebegini sebenarnya memberikan gambaran kepada kita bahawa jihad peperangan merupakan satu dasar kerajaan dan usaha jihad yang terbesar. Dalam masa yang sama, ia merupakan salah satu punca rezeki yang paling afdal. Negara-negara bukan Islam pada ketika itu pun begitu juga dasar kerajaannya. Bahkan mereka melaksanakan dasar melancarkan peperangan terhadap Negara-negara lain.

 

Pada masa itu, belum ada badan penyatuan antara negara seperti PBB yang mengiktiraf kedaulatan semua negara. Namun jihad yang dibincangkan dalam kitab fiqah itu tidak menggambarkan hakikat jihad yang sebenar. Itu semua hasil ijtihad mereka yang perlu dihormati. Justeru kita perlu mengambil konsep kefahaman jihad yang sebenar daripada al-Quran yang lebih luas pengertiannya. Lalu kita dapati bahawa jihad itu luas bidangnya. Semua orang boleh menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.

 

Jihad Masa Kini

SOALAN : Jadi bagaimana pula dengan jihad yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam masa kini?

 

JAWAPAN :

Jihad pada zaman ini terlalu luas. Contohnya Imam al-Qaradawi menyebutkan tentang jihad IT yang berperanan untuk menyebarkan dan memudahkan capaian dakwah Islam ke seluruh pelosok dunia tanpa peperangan. Selain itu, ada juga yang disebut sebagai jihad ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik. Ruang yang luas ini memungkinkan kita untuk menonjolkan nilai-nilai Islam kepada masyarakat lain tanpa perlu mengangkat senjata.

 

Jihad Wanita

SOALAN : Bagaimana pula dengan wanita seperti saya untuk berperanan dalam jihad pada masa kini?

 

JAWAPAN :

Kalau kita melihat citra kehidupan wanita pada zaman Nabi seperti yang dirakamkan dalam kitab Tahrir al-Mar’ah oleh Dr. Abdul Halim Syaqquh, maka kita akan dapati bahawa mereka begitu berlumba-lumba melakukan kebaikan sehingga ada yang terlibat dalam peperangan. Pada hari ini pula kita dapati bahawa ruang untuk wanita berjihad lebih luas. Hal ini kerana jihad pada zaman ini lebih tertumpu kepada ilmu dan kemahiran tangan yang tidak berhajat kepada senjata. Bahkan mereka boleh bekerja di kilang pembuatan peralatan ketenteraan tanpa perlu turun ke medan perang. Begitu juga dalam bidang jihad pembangunan, peranan wanita amat penting kerana ramai antara mereka yang lebih berpotensi berbanding lelaki khususnya dalam bidang pendidikan dan perubatan.

 

Maka di sini kita menyeru semua wanita agar menanam semangat berjihad di jalan Allah demi meraih pahala yang tinggi di sisi Allah. Lebih-lebih lagi, jihad tidak hanya terbatas kepada peperangan.

 

Jihad Pilihan Raya

SOALAN : Adakah gerak kerja pilihan raya dianggap sebagai jihad?

 

JAWAPAN :

Sekiranya gerak kerja pilihan raya dilakukan untuk mengembalikan syariah Islam, keadilan, kebebasan rakyat daripada kezaliman, maka segala gerak kerja itu dianggap berjuang di jalan Allah Taala. Mudah-mudahan mereka yang terbabit dalam pilihan raya demi menegakkan Islam diberi pahala yang berlipat ganda oleh Allah.

1

 

 

 

 

 

 

 

Ustaz Ahmad Fawwaz Fadzil Noor

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08

 


 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas