Menu

 

A+ A A-

KEMUSYKILAN AIR MUSYAMMAS

Air Musyammas

Mohon ustaz jelaskan tentang air musyammas dan hukum penggunaannya?

Air Musyammas ialah air yang menjadi panas kerana terdedah kepada cahaya matahari. Hukum air ini sendiri adalah suci lagi menyucikan tetapi hukum penggunaannya adalah makruh dalam mazhab Syafi‘i. Namun sebahagian ulama menetapkan bahawa air tersebut makruh digunakan hanya apabila air itu sengaja dipanaskan dengan matahari. Manakala sebahagian yang lain berpendapat hukum makruhnya secara mutlak, sama ada disengajakan atau tidak.

Hukum makruh penggunaan air musyammas tertakluk kepada tiga syarat sebagaimana berikut:

1. Keadaan ini berlaku di negara beriklim panas seperti negara-negara di Timur Tengah,

2. Air itu berada di dalam bekas yang boleh ditempa selain emas dan perak seperti besi,

3. Air itu digunakan ke atas badan hidupan yang boleh menghidap penyakit sopak dalam

Namun, kita hendaklah membezakan jenis hukum makruh. Ada yang disebutkan sebagai makruh syar‘i dan ada juga makruh irshadi. Makruh syar‘i akan mendatangkan pahala jika perbuatan ini ditinggalkan dan tidak mendatangkan dosa jika ia dilakukan. Manakala makruh irshadi pula berkaitan dengan maslahat hidup sahaja serta tidak bersangkutan dengan dosa atau pahala jika ia dilakukan atau ditinggalkan. Pendapat yang masyhur daripada para ulama mazhab Syafi‘i berkaitan hukum penggunaan air musyammas adalah makruh syar‘i.

Penyebab Sakit Sopak

Benarkah ia akan menyebabkan penyakit sopak?

Aisyah menceritakan bahawa Baginda pernah bersabda kepadanya yang bermaksud: “Wahai Humaira’, janganlah kamu lakukan (iaitu memanaskan air di bawah sinaran matahari), sesungguhnya ia mewarisi penyakit sopak!”

Namun hadis ini dihukumkan daif menurut kesepakatan ulama hadis. Ada juga kata-kata Umar al-Khattab: “Sesungguhnya ia mewarisi peyakit sopak.” Pun begitu, atsar tersebut turut dihukumkan sebagai lemah. Imam Syafi‘i berkata: “Saya tidak membenci untuk menggunakan air musyammas melainkan dari sudut perubatan (ia menyebabkan penyakit kulit).”

Ini kerana, cahaya matahari yang terik akan memisahkan bau busuk daripada bekas ini lalu mengapungkannya di atas air. Jika ia terkena kulit dalam keadaannya masih panas, ditakuti ia menyebabkan penyakit kulit yang disebut sebagai sopak.

kemusykilan-air-musyammas-1

Di Malaysia

Adakah negara-negara yang beriklim khatulistiwa seperti Malaysia boleh berlaku penghasilan air musyammas?

Malaysia dan negara-negara jirannya di rantau Asia Tenggara terletak di garisan khatulistiwa. Cuaca di negara kita adalah sederhana dan tidak mencapai suhu sepertimana yang terjadi di negara beriklim panas seperti Sudan dan lain-lain. Justeru, air musyammas tidak berlaku lagi di Malaysia buat masa ini.

Asalkan Bukan Tubuh Badan

Bolehkah air musyammas digunakan untuk membersihkan najis, membasuh bekas dan lain-lain?

Prinsipnya, jika air digunakan ke atas tubuh badan sama ada untuk bersuci (wuduk atau mandi wajib) atau tidak (seperti diminum atau menghilangkan najis) maka hukumnya makruh. Jika digunakan untuk bukan badan seperti membasuh baju, maka ia adalah harus.

Air yang Dipanaskan

Adakah kita boleh samakan air yang dipanaskan dengan pemanas air moden dengan air musyammas?

Tidak sama. Baik air yang dipanaskan dengan api, pemanas, atau sebagainya tidak sama dengan air musyammas yang terhasil berdasarkan syarat-syarat tertentu yang disebutkan.

Hukum Berubah-Ubah

Ustaz menyenaraikan beberapa syarat di atas. Bagaimana pula jika kita dapati ada air yang panas tetapi tidak cukup syarat tersebut?

Hukumnya boleh jadi harus. Contohnya situasinya:

a. Jika bau busuknya telah hilang atau tiada.

b. Berlaku di negara-negara beriklim sejuk atau sederhana.

c. Air tersebut di dalam bekas yang tidak boleh ditempa seperti kayu.

d. Air itu digunakan pada tubuh badan selepas ia menjadi sejuk.

Selain itu, penggunaan air musyammas ini boleh jadi haram. Contohnya, jika ada doktor yang dipercayai memberitahu bahawa ia benar-benar akan mendatangkan mudarat. Sebaliknya juga, penggunaannya juga boleh menjadi wajib.

Contohnya situasinya:

a. Jika masa yang tinggal untuk mengerjakan ibadat seperti solat tinggal sedikit.

b. Tidak ada air lain untuk bersuci.

Apabila Terdesak

Jika tiada air lain selain air musyammas, bolehkah kita terus menggunakannya untuk bersuci?

Boleh, kerana kebarangkalian penyakit sopak akibat penggunaannya adalah bersifat zhan (tidak sampai kepada tahap yakin). Namun, jika diyakini bahawa penggunaannya boleh mendatangkan penyakit sopak, maka ia tidak wajib digunakan. Debu tanah untuk bertayamum boleh menggantikannya.

Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas