Menu

 

A+ A A-

TIDAK SEMUA TAREKAT SESAT, TIDAK SEMUA SALAFI KESAT

Bukan Tasawuf yang Sesat

GOLONGAN tasawuf sering kali dikaitkan dengan amalan memuja kubur dan pelbagai tarekat sesat. Bolehkah kita katakan bahawa mereka ialah golongan yang terperangkap dengan tipu daya iblis dan syaitan?

Sering kali kita mendengar tentang penyelewengan dan kesesatan yang berlaku pada aliran tarekat sufi. Lalu pelbagai tanggapan negatif dilemparkan kepada sesiapa yang berjinak-jinak dengan ilmu tasawuf. Bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Begitulah juga apa yang terjadi pada tasawuf. Dek terdapat tarekat dan aliran tasawuf yang sesat, maka tasawuf secara keseluruhannya dianggap sesat oleh sebilangan orang.

Oleh sebab itu, marilah sama-sama kita menilai secara adil kedudukan tasawuf itu sendiri. Mana yang sesat tetap dikatakan sesat. Mana yang bertunjangkan syarak tetap dijunjung.

Hakikat Tasawuf

Menurut al-Qadi Sheikh Zakaria al-Ansari, tasawuf ialah ilmu yang membicarakan hal ehwal penyucian hati, pembersihan akhlak dan pembangunan jiwa secara zahir dan batin demi mencapai kebahagiaan abadi. Manakala Sheikh Ahmad Zaruq menyatakan bahawa tasawuf ialah ilmu yang menumpukan masalah pengislahan hati sementara ilmu fiqah pula bertujuan memperbaiki amalan. Sesetengah ulama pula telah menyatakan bahawa tasawuf itu semuanya akhlak. Sesiapa yang semakin baik akhlaknya, maka bertambahlah tasawufnya. Abu Hasan al-Syazili pula berkata tasawuf itu ialah suatu proses latihan kejiwaan untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa asas tasawuf itu ialah pembersihan jiwa daripada segala kemungkaran. Dan, ahli sufi itu ialah orang yang mempunyai hati yang bersih dan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Al-Imam al-Hafiz al-Sayyid Muhammad Sidiq al-Ghumari pernah ditanya: “Siapakah orang yang mengasaskan ilmu tasawuf?” Beliau menjawab: “Ketahuilah bahawa pengasasnya ialah wahyu dari langit yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Tidak syak lagi bahawa ia merupakan konsep ihsan yang merupakan salah satu rukun yang tiga (Islam-Iman-Ihsan) yang diajar oleh Jibril ketika berdialog dengan Nabi di hadapan para sahabat sebagaimana yang termaktub dalam hadis yang sahih.”

Kesimpulannya, golongan sufi yang berpegang dengan al-Quran dan sunnah ialah golongan yang berada atas landasan kebenaran. Akan tetapi, ada segelintir manusia yang mendakwa diri mereka ahli sufi sedangkan mereka membelakangkan al-Quran dan sunnah serta amalan yang dilakukan tidak berpaksikan pada syariat. Maka golongan itu barulah boleh dikatakan sesat dan terpedaya dengan belitan iblis.

Salafi vs Sufi

Bagaimana pula ustaz melihat pertembungan yang berlaku antara aliran sufi dan salafi pada hari ini? Masing-masing tuduh-menuduh hingga sesat-menyesatkan pihak lain.

Dewasa ini, sering kali berlaku pertembungan antara golongan yang cenderung kepada aliran salafi dan golongan yang cenderung kepada aliran sufi. Kadang-kala pertembungan yang berlaku menyebabkan kedua-dua golongan ini saling bermasam muka. Kesannya, wujud perpecahan yang diharamkan dalam Islam. Situasi ini ternyata menguntungkan iblis dan syaitan yang sentiasa ingin melihat perpecahan berlaku dalam kalangan umat Islam.

tidak-semua-tarekat-sesat-1

Hakikat Salafi dan Sufi

Untuk menjawab persoalan ini, perlu diketahui hakikat sebenar aliran salafi dan sufi. Ringkasnya, aliran salafi bukanlah aliran kumpulan tertentu. Sebaliknya ia lebih merupakan kaedah dan cara untuk memahami teks al-Quran dan sunnah seterusnya memerangi pegangan sesat puak bidaah daripada golongan Jahmiyah, Muktazilah dan Murji’ah yang memahami sifat Allah dengan cara dan kaedah yang salah.

Sufi pula bukanlah satu kumpulan yang mempunyai kepercayaan khusus yang tersendiri. Ia hanyalah merupakan jalan atau kaedah yang menumpukan pada pengislahan batin dan muraqabah. Al-Qusyairi berkata: “Golongan ahli sunnah yang mendidik diri dan memelihara hati daripada sifat yang lalai digelar sebagai sufi.”

Justeru, aliran salafi bermaksud mengikut apa-apa yang didatangkan oleh Rasulullah serta memahami al-Quran dan sunnah bertepatan sebagaimana yang difahami oleh para sahabat dan tabiin dengan tanpa sebarang takwil. Manakala istilah aliran sufi pula merujuk kepada zuhud dan mujahadah diri.

Daripada maksud kedua-dua istilah tersebut, didapati tidak terdapat sebarang khilaf dan percanggahan antara sufi dan salafi.

Jangan Kerana Nila Setitik

Namun, apabila seseorang itu tidak memahami dengan jelas berdasarkan ilmu yang mantap terhadap kedua-dua aliran ini berdasarkan sumber yang sahih, maka timbullah percanggahan dan perselisihan yang tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi apabila terdapat golongan sesat dan syirik yang mendakwa mereka membawa ajaran tasawuf, lalu merekalah yang menyebabkan kejernihan tasawuf dicemari. Disebabkan perbuatan mereka, maka ada pihak menyalahkan tasawuf secara keseluruhannya. Walhal, dia sendiri tidak tahu dan tidak pernah terlibat dalam aktiviti ajaran tasawuf sebenar yang berlandaskan al-Quran dan sunnah!

Begitu juga yang berlaku pada aliran salafi. Apabila wujudnya golongan kurang berilmu yang mendakwa bahawa mereka pendukung ajaran salafi, lalu mereka bersikap kasar, fanatik, asyik membidaahkan amalan-amalan yang dilakukan dalam masyarakat tanpa mengetahui unsur khilaf yang berlaku. Lalu ada golongan menolak aliran salafi secara keseluruhannya tanpa membezakan antara ajaran salafi yang benar dan yang palsu.

Percanggahan yang berlaku dapat diatasi sekiranya kedua-dua belah pihak berlapang dada dan menjadikan matlamat mencari keredaan Allah sebagai agenda utama untuk mencari penyelesaian. Akan tetapi sekiranya nafsu menjadi landasan dan syaitan menjadi ikutan, maka akan berterusanlah perpecahan dalam masyarakat Islam!

Dr. Mohd Sukki Othman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas