Menu

 

A+ A A-

AMALAN YANG DAPAT MERINGANKAN AZAB KUBUR

Dalam tulisan yang lalu, saya berbicara sedikit mengenai seksa kubur. Pada tulisan kali ini, insya-Allah saya akan lebih memperluaskan perbahasan tentang perkara yang sangat penting ini.

Hal pertama yang harus kita ketahui ialah ijmak (kesepakatan) semua ahlu sunnah atas keyakinan adanya azab kubur berdasarkan dalil-dalil qat’i daripada al-Quran dan sunnah.

Salah satunya ayat 46 surah Ghafir (Al-Mu’min), al-Quran bercerita tentang keadaan Firaun dan para pengikutnya setelah mereka mati. Firman Allah: “Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang.” Al-Hafiz Ibn Kathir berkata, ayat ini menjadi asas kuat bagi Ahlu Sunnah untuk menyatakan adanya azab kubur.

Pendapat ini selari dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Jika seseorang meninggal dunia, akan diperlihatkan tempat (yang akan ditinggalnya) pada waktu pagi dan petang. Jika dia seorang penduduk syurga, maka diperlihatkan syurga. Dan jika dia seorang penduduk neraka, maka diperlihatkan neraka. Dan dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu hingga Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Ibn Umar.

Hadis-hadis lain yang berceritakan tentang azab kubur sangat banyak sehingga ulama Ahlu Sunnah sepakat menjadikan perkara ini sebagai akidah yang wajib diyakini setiap Muslim. Dan tidak ada yang mengingkarinya kecuali ahli Bidaah. Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim berkata, “Mazhab Ahlu Sunnah menetapkan adanya seksa kubur, berbeza dengan puak Khawarij, majority Muktazilah dan sebahagian Murjiah.”

Azab Kubur Sebuah Hakikat

Mereka yang mengingkari azab kubur tidak ada alasan sebenarnya, kecuali pendapat mereka: “Kami sering menggali kubur yang telah lama, namun kami tidak pernah melihat mayat diseksa di dalam kubur.”

Untuk menjawab ucapan ini, Imam al- Ghazali dalam Al-Iqtisad fil I’tiqad mencatat: “Pengamatan mata kita hanya tertumpu kepada jasad zahir. Sementara yang merasakan seksa adalah hati atau batin manusia.

Suatu seksaan yang dirasakan seseorang tidaklah mesti menampakkan tanda-tanda yang boleh diamati pada jasadnya.”

Dalam Ihya, al-Ghazali membandingkan seksa yang dialami mayat dengan mimpi orang yang tidur. Sering berlaku, seseorang bermimpi dipatuk ular berasa sangat sakit dan cemas. Namun semua itu hanya dia sendiri yang merasainya, sementara orang lain yang berada di sebelahnya tidak menyedari apa-apa pun. Begitu juga azab kubur yang dirasakan mayat. Meski kita tak melihat tanda-tanda seksaan di tubuhnya, bukan bererti azab kubur tidak ada. Azab itu tetap dirasakan, cuma kita sahaja yang tidak menyedarinya.

Kata al-Ghazali lagi, seekor ular sebenarnya tidak berbahaya tanpa racunnya.

Dan racun itu pun sebenarnya tidak menyakitkan, akan tetapi kesan yang ditinggalkan racun itu pada tubuh manusia agak lama. Dan Allah berkuasa untuk mencipta kesan racun di dalam tubuh seseorang tanpa melalui perantaraan apa pun. Jika itu terjadi, maka azab akan terasa pada diri seseorang tanpa sesiapa yang mengetahuinya.

Sebab-Sebab Azab Kubur

Penyebab utama azab kubur ialah sifat-sifat tercela yang tersimpan di dalam jiwa manusia. Ibn Hibban meriwayatkan sabda Nabi s.a.w: “Akan diutus untuk orang kafir di dalam kuburnya 99 ular yang sangat besar  (tinnin). Semua menggigit dan mematuknya hingga hari kiamat. Andai seekor sahaja dari ular ini keluar ke dunia dan meniupkan (racunnya) ke atas tanah, maka tidak satu pun tumbuhan yang dapat hidup di muka bumi.”

Imam Al-Ghazali berkata, “Jangan hairan dengan bilangan (ular) yang banyak ini. Sebab bilangan itu sebanyak bilangan akhlak  tercela yang dimilikinya seperti sombong, riyak, hasad dengki, dendam dan sifat-sifat buruk lainnya.”

Penyebab azab kubur lainnya adalah namimah (adu domba), ghibah (mengumpat) dan tidak melakukan istibra’ selepas kencing. Istibra’ ialah memastikan air kencing yang masih tersisa di kemaluan keluar dengan sempurna, yakni dilakukan dengan cara mengurut, berdehem, batuk, berjalan beberapa langkah atau lain-lainnya. Ibn Hibban dan Al-Hakim meriwayatkan sabda Nabi s.a.w: “Kebanyakan seksa kubur disebabkan kerana kencing.”

Imam Hannad bin al-Sirri dalam Al- Zuhd meriwayatkan dari seorang tabiin, ‘Amr bin Syurahbil katanya, “Seseorang yang meninggal dunia, lalu malaikat datang kepadanya dengan cambuk api. Ia berkata, ‘Aku akan mencambukmu seratus kali.’

Orang itu berkata, ‘Mengapa? Aku selalu menjaga diriku semasa hidup.’ Malaikat tidak mempedulikan lalu mencambuknya satu kali sehingga kuburnya penuh dengan api. Malaikat itu lalu berkata, ‘Engkau pernah kencing lalu solat tanpa wuduk. Dan seseorang yang dizalimi datang kepadamu, namun engkau tidak membantunya.”

Azab kubur juga disebabkan kerana ratapan ke atas mayat. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Umar bin al-Khattab bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Satu mayat diseksa di kuburnya kerana ratapan seseorang ke atasnya.” Para ulama mengatakan bahawa ratapan yang dimaksudkan di sini adalah ratapan yang dilakukan untuk melaksanakan wasiatnya untuk diratapi.

Herdikan malaikat yang diikuti dengan pukulan godam besi di kepala telah disebut dalam tulisan saya yang lalu. Hukuman itu untuk orang yang tidak pernah mengambil berat tentang ajaran agama yang seharusnyamenjadi panduan hidupnya di dunia.

Menyelamat Diri daripada Azab Kubur

Azab kubur adalah sebuah hakikat yang nyata. Orang yang cerdik akan segera membuatpersiapan maksima sebelum musibah itu menimpa dirinya. Imam Yahya bin Muadz Al-Razi berkata, “Orang yang bahagia ialah sesiapa yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya, yang menyediakan kuburnya sebelum dia masuk ke dalamnya, dan yang meredhai Tuhannya sebelum Dia meredhainya.”

Perkara utama yang dapat kita lakukan agar terhindar dari seksa kubur ialah sentiasa meminta perlindungan dari Allah s.w.t. Semakin sering kita meminta, semakin besar peluang kita memperolehnya. Imam al-Bukhari dan Muslim banyak sekali meriwayatkan hadis yang membawa cerita bahawa Nabi s.a.w. meminta perlindungandaripada azab kubur.

Memperbanyakkan istighfar semasa hidup juga dapat membantu kita jauh daripada kesulitan di dalam kubur. Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab Al-Zuhd daripada seorang tabiin, Abu Minhal, yang berkata,

“Tidak ada jiran yang terbaik di dalam kubur selain daripada istighfar yang (dibacakan) dengan banyak.”

Begitu juga tasbih, tahmid dan zikir-zikir lainnya. Imam Ahmad bercerita dalam kitab yang sama tentang seorang tabiin yang bernama Abdullah bin Ghalib. Semasa hidupnya, beliau ini tidak pernah berhenti berzikir menyebut nama Allah s.w.t. Said bin Zaid berkata: “Ketika Abdullah bin Ghalib terbunuh, kami meletakkannya di dalam kubur lalu menimbusnya. Tiba-tiba kami mencium dari kuburnya wangi-wangian dari berbagai jenis minyak wangi.”

Malah Malik bin Dinar berkata, “Aku pergi mengambil sebahagian daripada tanah itu lalu meletakkannya di dalam kantung. Aku terus menerus mencium bau wangi tersebut.”

Untuk orang-orang yang telah meninggal dunia, ada beberapa hal yang dapat kita lakukan untuk meringankan penderitaan mereka. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibn Abbas bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mematahkan sebatang dahan yang masih segar lalu menanam kedua-duanya di atas dua kubur tersebut. Baginda bersabda, “Semoga seksa keduanya diringankan selama dahan ini belum kering.” Para ulama berpendapat bahawa azab tersebut dikurangi kerana tasbih dahan itu.

Kerana itu, Buraidah bin Husaib al-Aslami (seorang sahabat Nabi s.a.w.) pernah berwasiat agar ditanamkan sebatang pohon di atas kuburnya. Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim berkata, “Para ulama menganjurkan pembacaan al-Quran di atas kubur kerana hadis ini. Sebab jika azab kubur dapat diringankan kerana tasbih dahan pohon, maka pembacaan al-Quran tentu lebih utama.”

Zikir dan tasbih yang dibacakan insya-Allah juga boleh meringankan azab. Al-Tabrani meriwayatkan daripada Jabir bahawa ketika Rasulullah menguburkan Sa’ad bin Muadz, baginda bertasbih cukup lama sambil diikuti oleh para sahabat. Baginda lalu bertakbir, dan para sahabat ikut bertakbir. Mereka lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa tuan tadi bertasbih?” Baginda menjawab, “Hamba soleh ini tadi dihimpit oleh kubur, lalu Allah menyelamatkannya.”

Bangkit dari Kubur

Ketika waktunya tiba, Allah memerintahkan untuk dimulainya proses pembangkitan kembali. Allah s.w.t. berfirman, “Dan ditiuplah sangkakala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka. Mereka berkata:

‘Aduhai celakalah kami! Siapakah yangmembangkitkan kami dari tempat-tidur kami (kubur)?’ Inilah yang dijanjikan (Tuhan) yang Maha Pemurah dan benarlah rasul-rasul- Nya. Tidak ada teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba-tiba mereka semua dikumpulkan kepada kami.” (Surah Yaasin: 51-53).

Semua manusia bangkit dari kuburnya dengan tubuh telanjang dan berdebu. Semuanya berjalan menuju tempat yang sama dengan wajah tertunduk dan sejuta fikiran di kepala. Hisab amal perbuatan yangakan menentukan kedudukan itu hanya menunggu masa untuk dilaksanakan. ¤.


Oleh Umar M Noor
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas