Menu

 

A+ A A-

AMALAN MENGHIDUPKAN MALAM HARI RAYA

Hadis Galakan Qiamullai Pada Malam Raya

Semasa kecil-kecil dahulu, setiap malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha orang kampung saya berqiamullail di surau. Sebagai kanak-kanak, kami cukup seronok apabila saling bertakbir hingga serak suara kami semua pada keesokannya. Namun hari ini tiada lagi orang yang melakukan amalan tersebut di kampung. Seingat saya ada hadis yang menyebut tentang kelebihan berqiamullail pada malam tersebut cuma saya tidak pasti. Hanya sekarang ini timbul kesedaran untuk mengetahui status hadis-hadis yang didengari. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Hadis Galakan Qiamullai Pada Malam Raya

Memang ada sebuah hadis yang menyebutkan keutamaan Amalan Menghidupkan Malam Hari Raya beribadah pada kedua-dua malam hari raya. Akan tetapi, saya boleh katakan bahawa sanadnya lemah.

Riwayat Pertama

Ibn Majah meriwayatkan hadis ini daripada Baqiyyah bin al-Walid daripada Thaur bin Yazid daripada Khalid bin Ma‘dan daripada Abu Umamah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berqiamullail pada dua malam raya dengan ikhlas hati kerana Allah, maka hatinya tidak akan mati pada hari semua hati manusia mati.” Masalahnya, Baqiyyah ialah seorang perawi yang berasal dari Homs, Syam yang terkenal sebagai seorang mudallis yakni perawi hadis yang sering menyembunyikan kecacatan yang terdapat dalam sanad hadis. Justeru para ahli hadis telah menetapkan sebuah kaedah atau prinsip: Setiap kali Baqiyyah meriwayatkan hadis dengan berkata: “daripada”, maka riwayatnya dihukumkan lemah. Hadis ini adalah salah satu daripadanya.

Riwayat Kedua

Dalam kitab al-Um, Imam al-Syafi‘i meriwayatkan hadis ini daripada Ibrahim bin Abi Yahya daripada Thaur bin Yazid daripada Khalid bin Ma‘dan daripada Abu Darda tanpa menyebut Nabi. Jadi riwayat ini berstatus mawquf (berasal daripada sahabat), tidak berasal daripada Nabi. Selain itu, Ibrahim bin Abi Yahya dinilai sebagai perawi yang lemah. Meskipun Imam al-Syafi‘I mempercayai kejujurannya, namun kebanyakan ahli hadis melemahkannya. Justeru, hadis ini lemah pada penilaian mereka. Kesimpulannya, tidak ada hadis sahih yang berisi anjuran untuk mengkhususkan ibadah tertentu pada malam hari raya. Kalaupun ada, maka anjuran itu berasal daripada sahabat dan tabiin sahaja.

Tiada Larangan Menghidupkan Malam Raya dengan Ibadah

Jadi ini bermakna kita dilaranglah untuk berqiamullail pada malamtersebut. Begitukah ustaz?

Jawapan:

Tidak. Meskipun hadis ini lemah, namun kebanyakan ulama keempat-empat mazhab tidak melarang kita untuk menghidupkan malam hari raya dengan aktiviti ibadah. Malah mereka menganjurkannya kerana perkara tersebut merupakan kebiasaan para solihin.

Mazhab Syafi‘i

Imam al-Syafi‘i berkata: “Ibrahim bin Muhammad memberitahu kami: ‘Aku melihat tokoh-tokoh besar ulama Madinah menghadirkan diri di masjid Nabi pada kedua-dua malam hari raya. Mereka berdoa dan berzikir hingga berlalu beberapa masa daripada malam.” Kemudian Imam al-Syafi‘I mengulas: “Saya menganjurkan semua perkara ini pada malam-malam tersebut tanpa mewajibkannya.” Demikian penjelasan beliau dalam kitab al-Um. Imam al-Nawawi dalam Majmuk pula berkata: “Al-Syafi‘i dan Ashab (gelaran bagi ulama-ulama mazhab Syafi‘i terawal) menganjurkan untuk menghidupkan malam hari raya dengan ibadah meskipun hadisnya daif. Ini kerana sebagaimana yang telah saya jelaskan pada awal-awal kitab, hadis-hadis kelebihan (fadail) selalu diringankan dan diamalkan meskipun ia lemah.”

Mazhab Hanbali

Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, terdapat dua riwayat daripada Imam Ahmad tentang perkara ini. Satu riwayat menjelaskan bahawa beliau tidak menganjurkannya kerana ia tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabat. Manakala riwayat kedua pula menyatakan bahawa beliau menganjurkannya kerana ia dilakukan oleh seorang tokoh tabiin yang bernama Abdul Rahman bin Yazid bin Aswad. Demikian penjelasan Ibn Rajab dalam kitab Lataif al-Ma‘arif. Bagaimanapun, ulama mazhab Hanbali yang terkemudian antaranya Imam Ibn Muflih dalam kitab al-Furuk memilih riwayat kedua.

Mazhab Hanafi

Perkara yang sama dilakukan oleh ramai ulama mazhab Hanafi antaranya Imam al-Syurunbulali dalam kitab Maraqi al-Falah. Namun menurut beliau solat sunat pada malam hari raya ini hendaknya dilakukan secara bersendirian di rumah. Solat tersebut tidak boleh dilakukan di masjid-masjid secara berjemaah kerana tidak dicontohkan oleh Nabi atau mana-mana sahabat.

Amalan Sunat Pada Malam Raya

Jika begitu tidak salahlah amalan orang kampung saya dahulu. Bagaimanapula dengan jenis ibadah yang paling afdal untuk dilakukan pada malamtersebut? Dulu pakcik-pakcik menyuruh kami supaya bertakbir. Apabila bosan kami rehat. Kemudian sambung semula.

Jawapan:

Ya. Ada beberapa ibadah lain yang boleh kita lakukan. Bentuk ibadah yang paling disukai pada malam tersebut sudah tentu ialah bertakbir. Kita digalakkan untuk bertakbir sebanyak-banyaknya di mana sahaja kita berada. Bukan hanya di masjid atau di surau, malah juga di rumah dan di pasar. Dalilnya firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertakbir (mengagungkan) Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah 2: 185) Kebanyakan ulama berpendapat amalan bertakbir pada malam tersebut hukumnya sunat.

Namun Imam Daud al-Zahiri mengatakan bahawa bertakbir pada malam Aidilfitri hukumnya wajib manakala bertakbir pada malam Aidiladha hukumnya sunat. Selain takbir, kita juga dianjurkan untuk memperbanyak istighfar dan doa. Kedua-dua malam tersebut termasuk malam-malam yang mustajab doa. Imam al-Syafi‘i berkata: “Telah sampai kepada kami bahawa doa dimakbulkan pada lima malam: malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

Menurut Imam al-Nawawi, keutamaan menghidupkan kedua-dua malam ini hanya diperoleh jika kita beribadah sebanyak-banyaknya pada kedua-dua malam itu.

Hidupkan Semula

Demikianlah perbincangan para ulama dalam perkara ini. Secara peribadi, saya melihat tradisi salaf menghidupkan malam raya dengan ibadah perlu kita hidupkan semula. Terutamanya dalam suasana masyarakat kita pada hari ini yang sangat materialistik. Mereka cenderung melihat hari raya dengan kaca mata Barat. Bagi mereka, hari raya sama sekali bukan hari ibadah. Malahan ia adalah hari untuk hiburan yang melalaikan dan pembaziran. Jika tidak diluruskan kekeliruan ini dapat merosakkan wajah Islam. Wallahu a‘lam.

 

Oleh Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas