Menu

 

A+ A A-

PUASA PELUANG YANG JARANG BERULANG

Bagaimana ibadah puasa dari kaca mata sufi?

IBADAT ialah kerja seorang hamba. Tiada kerja lain yang perlu dilaksanakan di dunia melainkan dengan melaksanakan kerja hamba itu untuk menjadi hamba di sisi Allah. Dalam persoalan ibadat puasa, para ahli memandang ia sebagai rukun yang perlu dilunaskan dengan seikhlas mungkin kerana Allah, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.

Menahan lapar dan dahaga kerana Allah bukan hanya semata-mata kerana tuntutan waktu dan persekitaran. Ikhlas itu perbuatan hati. Namun, perbuatan hati tidak sempurna kecuali dengan eloknya amalan fizikal. Menjaga syarat, rukun, perkara yang membatalkannya, perkara yang mengurangkan pahalanya dan pelbagai lagi perkara berkaitan puasa turut dibincangkan oleh ahli sufi. Hal yang sama dibincangkan oleh ulama dari cabang ilmu yang lain, namun perbicaraan sufi lebih bersifat kerohanian demi menjaga “roh puasa kerana Allah”, di samping tidak cuai daripada zahir ibadat tersebut.

Namun ada orang yang menganggap pendekatan puasa di sisi sufi tidak sama dengan penjelasan ulama lain. Benarkah kenyataan ini?

Perlu ditegaskan, adakah persepsi perbezaan kita itu terhasil daripada kefahaman atau kejahilan? Misalnya mereka yang mengatakan ada tokok tambah dalam ibadat puasa selalu merujuk pada tafsiran puasa oleh Hujjat al-Islam al-Imam al-Ghazali yang membahagikan puasa itu kepada tiga status iaitu: puasa ‘awwam, khawas dan khawas al-khawas. Kedengaran juga suara yang mengatakan Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyebut hal-hal yang demikian. Ada pula yang menyatakan ini pengaruh asing (luar Islam).

Sebenarnya konsep puasa menurut al-Ghazali ini bukan hujah untuk menjadikan ibadat puasa sufi berbeza dengan ibadat puasa ulama dan umat Islam yang lain. Sesungguhnya apa yang dinukilkan oleh al-Imam al-Ghazali ini bukannya tokok tambah, puasa versi al-Ghazali dan idea igauan sufistik al-Ghazali semata-mata. Namun inilah hakikat penghayatan puasa. Penghayatan itu perlu untuk menghidupkan roh ibadat. Penghayatan terhasil daripada pemahaman dan pengamatan. Apa guna kita beribadat dalam keadaan kaku, mati dan lesu rohani daripada menghayati ibadat yang dilakukan sebagaimana yang dituntut.

Di sini kita perlu akur, al-Ghazali ialah seorang ahli sufi yang faqih lagi alim tentang hal syariat hukum-hakam. Dalam ilmu fiqah, beliau menjelaskan bab puasa ini dengan jelas dari sudut hukum-hakamnya dalam kitab al-Basit, al-Wasit dan al-Wajiz.

Disebabkan terlalu faham tentang ibadat puasa dari sudut syariat (pengamatan terhadap al-Quran dan hadis) ini, al-Ghazali menggagas pandangan sufistik beliau dalam hal puasa melalui tiga peringkat puasa sebagaimana disebutkan di atas. Tidak sedikit daripada kalangan ulama yang terkesan dengan gaya pengolahan ibadat puasa mengikut hukum dan tasawuf ini.

Umpamanya Mawlana al-Muhaddith Syah Wali Allah al-Dahlawi dalam Hujjat Allah al-Balighah, banyak mengutip idea rahsia ibadat puasa al-Ghazali. Begitu juga Syeikh Abdul Samad al-Falimbani yang terkesan dengan idea ini turut memuatkannya dalam Sair al-Salikin, jilid pertama.

Secara khusus, ulama sufi melihat ibadat puasa (dan ibadat lain secara umumnya) itu satu peluang untuk mendekatkan diri pada Allah dan memang itulah matlamatnya.

puasa-peluang-jarang-berulang-1

Permulaan ibadat itu susah dan payah, namun akhirnya lega dan manis. Dalam kepayahan, timbul harapan. Siapa lagi yang diharapkan dapat memberi pertolongan kalau bukan Allah. Makhluk tidak mampu memberi pertolongan kerana kata ahli sufi: “Pertolongan (istighathah) seorang makhluk kepada makhluk umpama permintaan tolong seorang banduan dengan banduan yang lain (istighathat al-masjun bi al-masjun).”

Dalam kepayahan ibadat ini, kita mengharapkan agar Allah memberi ihsan dan pertolongannya. Di sinilah tersemainya sikap pengharapan dan kebergantungan kita kepada Allah. Rohani segar ketika ini dan inilah impian ahli sufi yang kita tidak perlu nafikan bahawa inilah impian yang perlu ada pada semua manusia.

Dalam ibadat puasa, rasa lapar, lemah dan penat itu perlu dihayati oleh roh, seterusnya diterjemahkan dengan sifat kehambaan kepada Allah. Memang, seorang sufi itu mengajak kita untuk sentiasa dianggap daif, hina dan fakir di sisi Allah. Dengan itu ibadat sebulan berpuasa dengan ruang waktu yang bernilai emas ini digunakan oleh ahli sufi untuk menyuburkan perasaan kerohanian bagi membangkit perasaan kehambaan di sisi Allah.

Pujangga sufi, Mawlana Jalal al-Din al-Rumi berkata: “Riang aku bersama Allah, apabila datangnya kepayahan. Kepayahan dipandang sempit manusia keliling, sedangkan aku duduk gembira dalam kepayahan. Kepayahan itu keluasan, keluasan untuk berlari puas dalam taman cinta bersama Allah.”

Bagaimana hendak menjaga mutu ibadat puasa dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya?

Hujjat al-Islam Abu Hamid al-Ghazali. menyebut dalam karya tasawuf terakhirnya; Minhaj al- ‘Abidin sebagaimana berikut:

1. Ikhlaskan niat dalam beramal.

2. Ikhlas dalam memohon pahala kepada Allah Taala.

3. Menyerah aturan dan kualiti amalan kepada Allah Taala.

4. Membulatkan tekad (untuk mencapai kesempurnaan ibadat).

5. Mengingati kebaikan dan kurnia Allah Taala semasa menjalankan ibadat.

6. Memanfaatkan waktu ibadat sebaik-baiknya.

7. Mengagungkan agar memperolehi kekuatan ibadat (tawfiq) untuk Allah Taala.

8. Semata-mata takut dan harap kepada Allah Taala.

Wallahu a‘lam.

Abdul Muhsien Sulaiman
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.4


Ustaz Abdul Muhsien Bin Sulaiman

Felo Akademik di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Mendapat pendidikan di Ma’had Muhammadi Lilbanin, Madrasah Rahmaniyyah Pasir Mas dan Universiti Malaya. Tumpuan penulisan beliau kebanyakannya dalam bidang Pendidikan Islam dan Tasawwuf Islam.

Kembali ke atas