Menu

 

A+ A A-

AGAR IBADAT HAJI TERPAHAT DI HATI

Erti Haji

Ustaz, apa maksud haji?

Secara mudahnya, ulama mentakrifkan haji dengan niat menuju ke Baitullah al Haram pada masa yang tertentu dengan niat mengerjakan ibadat haji seperti tawaf, sai, wuquf di Arafah dan lain-lain. Haji merupakan salah satu rukun Islam. Ia merupakan fardu ain ke atas setiap mukalaf yang mampu sebanyak sekali seumur hidupnya. 

Hikmah Haji

Apa hikmahnya Allah mewajibkan ibadah ini?

Haji mempunyai kelebihan yang agung dan keistimewaan yang besar antaranya:

1. Mengesakan Allah s.w.t. dan mengikhlaskan ibadat hanya kepada-Nya tanpa sekutu dalam perkataan, perbuatan dan kepercayaan.

Begitulah perihalnya ibadat ini dari awal sehingga ke akhirnya mengandungi matlamat agung ini. Oleh sebab itulah ibadat ini bermula dengan kalimah tauhid:

kalimah 

Maksudnya: “Aku sambut seruan-Mu ya Ilahi, aku sambut seruan-Mu. Aku sambut seruan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku sambut seruan-Mu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kerajaan adalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”

2. Menguatkan ingatan terhadap Allah dan untuk merasainya dengan  seluruh jiwa, hati dan perasaan.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang sudah ditentukan bilangannya (hari-hari Tasyrik).” (Surah al-Baqarah 2: 203)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah (dengan menyebut) Allah.” (Surah al- Baqarah 2: 200)

Terdapat beberapa buah hadis yang menyebut tentang matlamat ini dengan jelas.

Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Melakukan tawaf di sekeliling Baitullah, sai antara Safa dan Marwah serta melontar di Jamrah adalah untuk mengingati Allah.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

3. Membantu seorang Muslim untuk beristiqamah.

Ibadah haji melatih seseorang itu tetap teguh dalam ketaatan, melawan hawa nafsu dan memilih keredaan Allah dengan mengatasi hawa nafsu dan kesenangan. Ia juga meneguhkan ketakwaan dalam hati, membaiki dan menyucikannya daripada rasa syak dan ragu-ragu serta mengalahkan syahwat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan haji di Baitullah dan tidak melakukan rafas (melakukan hubungan kelamin atau berbincang mengenainya) dan tidak melakukan perkara fasiq, dia akan kembali (selepas haji) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hikmah Duniawi

agar ibadah haji terpahat di hati

Ada orang mengatakan bahawa ibadah haji mempunyai nilai atau faedah ekonomi dan keduniaan yang lain buat umat Islam. Mohon ustaz ulaskan.

Ibadat haji mengajar Muslim erti kesabaran, pengorbanan dan kesyukuran. Ia adalah ibadat yang melibatkan harta dan tubuh badan. Haji menyucikan jiwa daripada sifat buruk, menukarnya kepada akhlak yang mulia hasil daripada pergaulan dan persahabatannya dengan manusia dari pelbagai budaya, latar belakang dan sifat.

Haji ialah perhimpunan tahunan bagi orang Islam dari seluruh dunia untuk bertemu dan membincangkan persoalan duniawi mereka. Ketika itu kita berpeluang berkongsi pengalaman, bertukartukar maklumat perniagaan, pengalaman ekonomi dan kewangan antara negara-negara Islam. Ia juga satu peluang untuk kita membincangkan kelemahan sesetengah negara Islam supaya negara yang lain dapat memberikan bantuan.

Firman Allah yang bermaksudnya: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan.” (Surah al- Hajj 22: 28)

Ibn Abbas mentafsirkan ayat di atas: “Ia adalah manfaat/ kepentingan di dunia dan akhirat. Manfaat di akhirat adalah keredaan Allah. Manakala manfaat di dunia ini adalah haiwan yang disembelih dan kepentingan atau manfaat perniagaan…”

Haji menyatukan umat Islam, menguatkan persaudaraan seagama dan membuang segala perpecahan dan perbezaan. Perhatikanlah, semua jemaah haji akan kelihatan sama sahaja dalam setiap aspek: pakaian, ucapan, perbuatan, waktu ibadah, tempat ibadah, arah dan tujuan. Persamaan menjurus kepada penyatuan.

Maka hubungan multihala dalam pertukaran ilmu pengetahuan, pengalaman, nasihat, panduan, perbincangan, perniagaan dan perdagangan ini merupakan sebahagian daripada manfaat duniawi haji yang benarbenar dapat dirasai oleh jemaah haji pada zaman ini.

10 TANDA CINTA KEPADA ALLAH

1. Yakin bahawa Allah terpuji dalam semua sifat dan perbuatan-Nya.

2. Yakin bahawa Allah sangat baik dan pemurah kepada hamba-hambaNya.

3. Yakin bahawa anugerah Allah kepada dirinya sangat banyak sehingga tidak mampu dibayar dengan kata-kata syukur atau

amal perbuatan.

4. Yakin bahawa tugasan yang dibebankan kepadanya sangat sedikit.

5. Setiap saat selalu merasa takut dan bimbang Allah akan berpaling daripadanya dan mencabut semua nikmat-nikmat yang pernah

diberikan kepadanya.

6. Selalu merasa perlu kepada Allah dalam setiap saat dan tidak dapat berpisah dengan-Nya.

7. Selalu menyebut-nyebut nama-Nya.

8. Berusaha untuk melaksanakan perintah-Nya yang wajib dan

sunnah agar menjadi semakin dekat dengan-Nya.

9. Merasa gembira setiap kali mendengar atau melihat seseorang berjuang di jalan Allah dan menyumbangkan diri, harta, atau

anak-anaknya untuk agama Allah.

10. Setiap kali mendapati ada orang meminta bantuan dengan menyebut nama Allah, ia selalu membantunya.

(Sheikh Nawawi al-Bantani, Kasyifat al-Saja)

Dr. Abdul Basit Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu.no 6


Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas