Menu

 

A+ A A-

MENGGAMIT ROH IBADAH HAJI

Ibadah Haji daripada Kaca Mata Tasawuf

Ilmu tasawuf biasanya ada mengupas aspek kerohaniah bagi sesuatu ibadah. Jadi bagaimana pula pandangan tasawuf berkenaan syiar haji?

Jawapan:

Syeikh Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarani dalam bukunya Mabadi’ al-Tasawuf al-Islami merakamkan satu kisah menarik melibatkan al-Junaid (seorang ulama tasawuf). Ada seorang lelaki yang baru selesai menunaikan haji menemui beliau. Al-Junaid bertanya kepadanya: “Adakah kamu meninggalkan semua dosa-dosamu ketika meninggalkan rumah?” Jawab lelaki tersebut: “Tidak.”

Kata al-Junaid: “Sebenarnya kamu tidak pergi mana-mana.” “Ketika memakai ihram, adakah kamu meninggalkan sifat-sifat basyari (kemanusiaan), tatkala kamu menanggalkan pakaian kamu?” “Tidak.”

“Sebenarnya kamu tidak berihram.” “Ketika wuquf di Arafah, adakah kamu berfikir tentang Allah walaupun sesaat?” “Tidak.”

“ Sebenarnya kamu tidak wuquf di Arafah.” “Ketika tawaf di Baitullah, adakah kamu memahami keindahan Ilahi di rumah suci itu?” “Tidak.”

“ Sebenarnya kamu tidak bertawaf di Baitullah.” “Dan ketika sai antara Safa dan Marwah, adakah kamu memahami apa itu al-Safa dan al-Muru’ah?” “Tidak.”

“Sebenarnya kamu tidak bersai.” “Ketika kamu melaksanakan korban, adakah kamu mengorbankan unsur-unsur keseronokan dunia?” “Tidak.”

“ Sebenarnya kamu tidak berkorban!” “Dan ketika melontar jamrah, adakah kamu melontarkan sekali segala pemikiran jasadmu?” “Tidak.”

“Sebenarnya kamu tidak melontar jamrah. Bahkan kamu tidak menunaikan haji pun.”

Kisah ini hendak menggambarkan kepada kita bahawa setiap syiar agama ada rohnya. Boleh dikatakan tidak ke mana ibadah yang dikerjakan sekiranya tidak dihadirkan bersama roh ibadahnya.

menggamit-roh-ibadat-haji-1

Ganjaran Setiap Rukun dan Wajib Haji

Ibadah haji agak berbeza berbanding ibadah lain. Untuk dikira sempurna dan sah haji, kita wajib melakukan beberapa ibadah besar yang lain seperti tawaf, sai dan wuquf di Arafah. Jadi adakah setiap ibadah dalam haji itu ada fadilatnya yang tersendiri atau pahalanya dirangkumkan sekali gus.

Jawapan:

Setiap ibadah tersebut ada ganjaran yang tersendiri. Di sini dibawakan satu hadis yang disampaikan oleh Ibn Abbas r.a. ketika beliau sedang duduk bersama Nabi s.a.w. di Masjid Mina, datang seorang lelaki Ansar bersama seorang lelaki Bani Thaqif memberi salam. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, kami datang ini untuk bertanya.”

Jawab Rasulullah: “Jika kamu mahu, aku boleh maklumkan kepadamu tujuan kedatanganmu untuk bertanya beberapa soalan kepadaku. Jika kamu mahu, aku boleh berdiam sahaja dan kamu biarkan bertanya dahulu.” Kedua-duanya berkata: “Khabarkanlah kepada kami wahai Rasulullah.”

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Kamu datang kepadaku kerana ingin bertanya tentang ganjaran kamu keluar menuju ke Baitullah (haji), solat dua rakaat yang kamu kerjakan selepas tawaf, sai yang kamu lakukan antara Safa dan Marwah, wuquf di padang Arafah, melontar di Jamrah, penyembelihan binatang korbanmu dan tawaf di Baitullah.” Selepas selesai semuanya, lelaki itu berkata: “Demi Yang mengutus kamu dengan kebenaran, itulah tujuan aku datang untuk bertanya kepadamu.”

Jawab Baginda: “Sesungguhnya keluarnya kamu dari rumah menuju ke Baitullah, tidaklah setiap kali unta kamu menginjak kakinya melainkan Allah akan memberikan satu kebajikan dan menghapus satu kesalahan. “Adapun dua rakaat yang kamu lakukan selepas tawaf, ia sama pahalanya seperti engkau memerdekakan seorang manusia daripada keturunan Nabi Ismail a.s. Sai antara Safa dan Marwah yang kamu lakukan selepas itu sama seperti memerdekakan 70 orang hamba. “Wuquf kamu di Padang Arafah, sesungguhnya Allah turun ke langit dunia dan bermegah dengan kamu di hadapan malaikat-Nya, sambil berfirman: ‘Hamba-hamba-Ku, mereka datang kepada-Ku dengan kusut-masai dari segenap penjuru mengharapkan syurga-Ku. Jika dosa mereka seperti bilangan pasir atau titisan air hujan atau buih di lautan sekalipun, pasti Aku ampunkan.

“‘Wahai hamba-Ku, berangkatlah kamu dalam keadaan keampunan buatmu dan siapa yang kamu syafaatkannya.’ “Adapun lontaran kamu di Jamrah, maka setiap biji batu yang kamu lontarkan dapat menghapuskan satu dosa besar." “Adapun sembelihan kamu, ia disimpan untukmu di sisi Tuhan kamu. “Adapun setiap helai rambut yang dicukur, menambahkan satu pahala dan menghapuskan satu dosa. “Adapun tawafmu di Kaabah sebaik selesai semua ibadah tersebut, maka tiada dosa atas kamu lagi. Malaikat datang meletakkan kedua-dua tangannya pada bahumu, seraya berkata: ‘Lakukan apa yang ada di hadapanmu. Sesungguhnya kamu telah diampunkan dosa yang lalu.’” (Riwayat al-Bazzar dan al- Tabarani)

Maulana Muhammad Zakaria; seorang ulama hadis ada komentar akan menarik untuk dikongsikan. Kata beliau: “Hadis ini penuh merakamkan kelebihan haji dan ganjarannya. Hendaklah diingatkan bahawa tidak semua jemaah haji yang memperolehnya. Kelebihan tersebut hanya dikecap oleh mereka yang mendapat haji mabrur sahaja.”

Semoga dengan memahami hikmah, fadilat dan kelebihan haji akan merangsang kita melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan lebih bersungguh-sungguh.

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 4


Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas