Menu

 

A+ A A-

DUNIA IBARAT AIR HUJAN

Air Sumber Kehidupan

Air adalah bahan yang diciptakan Allah khusus untuk memungkinkan kehidupan di bumi. Setiap ciri fizikal dan kimianya direka khas untuk kegunaan manusia, haiwan dan tumbuhan.

Membuktikan fakta ini, ahli biokimia, A. e. Needham mencatat dalam bukunya The Uniqueness of Biological Materials, kepentingan utama air kepada kita. Menurutnya, sekiranya alam ini hanya mempunyai pepejal dan gas, hidupan tidak mungkin wujud. Kerana atom pepejal terlalu padat dan statik hingga tidak mungkin proses-proses molekul dinamik yang diperlukan hidupan dapat berlaku. Atom gas pula terlalu bebas dan berselerak sehingga hidupan mekanisme kompleks tidak dapat berfungsi. Kesimpulannya, kewujudan persekitaran berair sangat penting untuk membolehkan proses-proses yang diperlukan untuk hidupan berlaku. Dan satu-satunya cecair yang paling sesuai untuk peranan ini ialah air.

Kemewahan dunia adalah anugerah Allah

Hanya dengan memahami kepentingan air, kita dapat memahami mengapa Allah s.w.t. menggunakan air hujan sebagai menggambarkan kehidupan di dunia dan kesenangan duniawinya dalam ayat 24 surah Yunus. Dunia yang kita huni kini juga mempunyai kepentingan dan kenikmatan yang tidak terbatas seperti juga air yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan beraneka warna dan rasa yang menjadi makanan haiwan dan manusia. Di dunia inilah kita memperoleh kemewahan yang kita gali dari material yang ada di dalam alam ini. Limpahan flora dan faunanya memberikan pelbagai makanan, minuman dan pakaian yang banyak dan selesa.

Perut bumi pula menyediakan galian-galian berharga seperti emas, perak dan permata berlian yang menjadi sumber kekayaan manusia. Besi, timah dan minyak pula membolehkan manusia mencipta jentera pengangkutan yang memudahkan mereka bergerak merentasi gunung-ganang, membelah lautan malah sehingga meneroka ke angkasa luas. Dengan khazanah bumi ini juga, manusia membina kediaman yang kukuh, luas, selesa dan tinggi sehingga bangunan-bangunan pencakar awan.

Kebijaksanaan yang Allah kurniakan kepada manusia ini membolehkan mereka membina syurga di dunia ini yang penuh dengan kesenangan dan kebahagiaan. Demikianlah keindahan tanpa sempadan dunia fizikal yang kita lihat dan nikmati. Manusia yang tenggelam dalam kesenangan duniawi yang sangat mempesonakan mula berasa seolah-olah semua yang berada di hadapan mereka ini boleh dimiliki sepenuhnya secara tuntas. Firman Allah s.w.t.: “...danpenduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya).”

xx

Dunia Hanya Medium Kebahagiaan, Bukan Sumbernya

Takjub dengan kemampuan minda dan kudrat mereka membina empayar teknologi yang begitu canggih dan sofistikated, manusia lupa atau berpura-pura lupa bahawa akal, kekuatan dan material yang mereka peroleh untuk membina dunia hebat mereka itu semuanya datang daripada Allah. “Sebagaimana pepohon buah-buahan tumbuh subur dan berbuah ranum dengan adanya air hujan, sedangkan air hujan turun dengan kehendak Allah.” (Surah al-Sajdah 32:27) Jelasnya, dunia yang kita puja ini bukan sumber kebahagiaan, tetapi hanya medium yang Allah jadikan untuk hamba-hambaNya, sebagai ujian. Sedangkan Allah berkuasa menurunkan hujan dan memberikan limpahan kesenangan di dunia, Dia juga maha upaya untuk meragutnya kembali sehingga kelihatan seolah-olah kesenangan itu tidak pernah wujud. Firman Allah: “...datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu.”

Kebanyakan Manusia, Rebah Berhadapan dengan Kekuasaan Allah

Melalui pelbagai bencana dan malapetaka, Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Pantas Balasan-Nya, meranapkan keangkuhan manusia dengan meruntuhkan bangunan-bangunan mewah kebanggaan mereka, merampas anak-anak dan orang yang mereka sayangi, dan melucutkan maruah dan kekuasaan yang mereka salah gunakan. Gempa bumi, letupan gunung berapi, banjir dan tsunami yang Allah datangkan melenyapkan segala material dan jiwa yang ada sehingga menukarkan sebuah Bandar atau negeri yang pesat membangun menjadi umpama padang jarak padang tekukur. Negara terkuat dunia yang kerap menjajah negara dan bangsa lain dengan rakus dan zalim, akhirnya tumpas dan hilang kuasanya, seperti Kesatuan Soviet. Kapitalis Amerika yang menguasai ekonomi dunia juga akhirnya tersungkur berhadapan dengan kekuasaan Allah dalam Krisis Gadai Janji Subprima di sana.

Melalui wabak penyakit atau kebejatan akhlak, Allah merendahkan martabat masyarakat yang tidak mengendahkan syariat-Nya sehingga lebih hina daripada binatang. Lalu tamadun besi yang mereka bina menjadi sangkar-sangkar kepada binatang-binatang ini. Demikian Allah dengan tegas memberikan amaran kepada orang beriman supaya berwaspada dengan anugerah dunia yang Allah berikan. Firman-Nya yang bermaksud: “Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfi kir (dan mengambil iktibar daripadanya).” (Surah Yunus 10: 24)

Mengejar Dunia yang Hkiki

Selepas memberikan peringatan bahawa dunia ini sangat menawan namun ia tidak kekal dan pasti musnah suatu hari nanti. Dalam ayat ini, Allah menempelak manusia yang mengejar dunia sehingga berpaling daripada-Nya, “Betapa bodohnya mereka yang mengejar dunia sedangkan mereka tahu ia pasti akan binasa”. Kepada orang beriman pula, Allah menyeru agar meninggalkan dunia yang fana ini dan memberikan inisiatif yang lebih baik dengan mencari perlindungan di tempat yang lebih sejahtera. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “(Itulah dia ke sudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).” (Surah Yunus 10: 25)¤

 

         Rohidzir Rais

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4

 


 

 

Rohidzir Rais

Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

IMBK1002

  IMBK1002

Kembali ke atas