Menu

 

A+ A A-

MEMAHAMI USUL ILMU TASAWUF

SETIAP ilmu mempunyai usulnya yang tersendiri. Sebagai contoh, ilmu fiqah usulnya adalah untuk memahami hukum yang diproses dengan dalil. Begitu juga ilmu hadis yang usulnya berpaksikan dengan kehidupan Rasulullah s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan dan sebagainya. Apakah pula usul ilmu tasawuf?

Dalam kitab al-Tabaqat al-Kubra (jil. 1 hlm. 66), al-Imam Abdul Wahhab al-Sya‘rani (w. 973H/1565M) telah menerangkan perkara ini sebagai: “Usul tasawuf sebagaimana yang disebut oleh al-Imam Sahl bin Abdullah al-Tusturi mengandungi enam usul iaitu:

1 Berpegang dengan Kitab Allah.

2 Mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

3 Memakan makanan yang halal.

4 Meninggalkan kezaliman.

5 Menjauhi maksiat.

6 Bertaubat.

memahami-usul-ilmu-tasawuf-1

Bagaimana kita hendak memahami usul pertama iaitu berpegang kepada Kitab Allah?

Sebenarnya, berpegang dengan Kitab Allah merupakan tujuan asal dalam ilmu tasawuf iaitu seorang yang betul-betul menghayati tasawuf sama salik ataupun murid zatnya adalah manusia biasa namun sifatnya sebagaimana diterangkan oleh Sheikh Abdul Qadir al-Jailani ialah al-Quran.

Istilah salik adalah istilah yang selalu digunakan dalam perbincangan tasawuf. Salik bermaksud seorang pejalan, sedangkan tasawuf pula diistilahkan sebagi suluk iaitu perjalanan. Tasawuf dianggap sebagai satu perjalanan menuju Allah. Dengan sebab itu istilah salik selalu diguna pakai dalam ilmu tasawuf yang menggambarkan orang yang sedang berjalan. (Sa’ir al-Salikin, jil.2 hal. 3 al-Sheikh Abdul Samad al-Falimbani)

Murid ataupun ahli al-iradah membawa maksud mereka yang berkeinginan ataupun yang cenderung hatinya kepada tasawuf. Namun, murid lebih umum daripada tasawuf. Jika mengikut al-Qashani dalam Mu‘jam Mustalahat al-Sufiyyah, murid adalah orang yang cenderung hati untuk bertasawuf, tetapi ia belum lagi menceburkan diri dalam tasawuf. Mereka yang menceburkan diri dalam tasawuf itu dinamakan sebagai salik. (Lawaqih al-Anwar al-Qudsiyyah fi Ma‘rifah Qawa‘id al-Sufiyyah, hlm. 55, bab Adab al-Muridin, al-Imam Abdul Wahhab al-Sha‘rani)

Al-Imam Nasr Sarraj al-Tusi dalam mukadimah kitab al-Luma’ fi al-Tasawwuf memetik bahawa tujuan bertasawwuf awal dan akhirnya adalah untuk adalah berpaut dengan kitab Allah iaitu al-Quran. Oleh sebab itu, sebarang aliran ataupun ajaran dalam tasawuf yang didapati bercanggah dengan al-Qur’an secara tafsir dan ta’wil maka ia adalah tertolak. Inilah kunci tasawuf sebagaimana diketengahkan oleh Sayyid al-Ta’ifah Syaikh al-Junaid al-Baghdadi yang menyatakan : “Ilmu kami ini adalah berpegang (musyayyad) dengan al- Kitab dan al-sunnah. Sesiapa yang tidak beramal dengannya bukanlah dari pada kelompok kami (ahli sufi)”.

Demikian juga kata al-Imam Ibn ‘Ajibah al-hasani: “Seseorang yang sampai kepada maqam tahkik adalah mereka yang teguh pegangannya pada janji Allah (al-Quran)”.

Bagaimana cara ahli tasawuf mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w.?

Dalam alam tasawuf, peribadi Rasulullah s.a.w. adalah peribadi idaman dan segala perkara yang berkaitan dengannya iaitu sunnah yang menjadi pegangan dan amalan ahli sufi. Apa yang dilakukan oleh sufi tidak lain tidak bukan adalah terjemahan daripada peribadi Rasulullah s.a.w. Sunnah yang difahami oleh ahli sufi perlu dimulakan dengan adab kerana adab ialah roh bagi sunnah.

Dengan adanya kesedaran ini, maka segala sunnah Rasulullah s.a.w. akan dapat kita turuti dengan jujur sekali gus mengiktiraf ketuanan (siyadah) Rasulullah s.a.w. Al-Fadhl al-‘Abbas al-Dandarawi dalam kitab al-Wathiqah al-Baida’ beberapa kali menyebut dalam bukunya itu bahawa dakwah kesufiannya tidak lain adalah untuk menempuh jalan sunnah Baginda s.a.w. dan menjadikan matlamat melahirkan manusia berperwatakan Rasulullah s.a.w. (insan Muhammadiy) sebagai landasan ajaran sufistik beliau.

Begitu juga al-Imam Hasan al-Banna. yang dimaklumi bahawa beliau tergolong dalam golongan yang berpegang teguh (intima’) dengan ritual alam tasawuf berkata: “Jiwa kami dibangunkan dengan roh. Roh kami dibayangi dengan cinta kepada Rasul dan sunnah.” (Majmu‘ah al-Rasail, (hal 156) al-Imam Hasan al-Banna,

Apakah kaitan makanan yang halal dengan tasawuf?

Sheikh Abdul Qadir al-Mandili dalam kitabnya Penawar Bagi Hati (hlm. 25-27) membincangkan tentang perihal makan dan kesannya dalam dunia tasawuf. Pemakanan yang halal adalah mengikut kadarnya yang tertentu (dalam ilmu tasawuf perihal menjaga makanan dan perut menjadi perkara penting sehinggakan wujudnya “mazhab lapar” dalam tasawuf).

Pemakanan yang seimbang dengan mengambil makanan yang halal adalah prinsip yang berkaitan dengan warak (meninggalkan perkara yang meragukan). Namun yang demikian menurut al-Imam Ahmad bin Hanbal, wara semestinya digandingkan dengan zuhud (berpaling daripada terlebih mengambil perkara yang jelas halalnya).

Maka, memakan makanan halal ini bermakna memakan benda yang halal mengikut sunnah Baginda s.a.w. untuk menjaga sifat zuhud dan warak.

memahami-usul-ilmu-tasawuf-2

Dalam usul keempat dan kelima menyebut; meninggalkan kezaliman dan menjauhi maksiat. Bolehkah Ustaz jelaskan maksud kedua-dua usul ini?

Rasulullah s.a.w. menyifatkan al-Zulm (zalim) sebagai kegelapan pada hari kiamat. Kegelapan ini bermula dengan seseorang bertindak zalim kepada dirinya. Justeru, menjadi perkara penting dalam usul tasawuf untuk meninggalkan kezaliman sebagai asas dalam bertasawuf dan ia perlu bermula dari dalam diri seseorang insan.

Perlu diketahui bahawa zikir dan tasawuf boleh dikatakan sebagai dua zat yang tidak akan bercerai dan tanggal selama-lamanya selagi kedua-duanya dibayangi teduhan al-Quran dan sunnah.

Tujuan zikir, berzikir, majlis zikir dan kewujudan ahli zikir dalam ilmu kerohanian ini adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran, kemudian menjauhinya sehingga sampai ke tahap berpaling terus daripadanya. Maksiat umpama kayu api, nafsu pula umpama api. Kedua-dua medium ini perlu dikekang dengan mengingati Allah. Dengan berzikir (sepenuh hati, dengan mengikuti kaedah dan berdisiplin), insya-Allah seseorang itu dapat menjauhi maksiat dan tidak mustahil ia selamanya tidak akan kenal lagi dengan maksiat.

Antara sufi daripada mazhab cinta Ilahi (al-Hub al-Ilahi), al-Sheikh al-Jili menyatakan: “Manusia harus bijak. Manusia (hamba Allah) yang bijak adalah yang terbang (hidup) di dunia lari daripada maksiat (zahir dan batin) menuju Allah dengan pakaian taat.”

memahami-usul-ilmu-tasawuf-3

Bagaimanakah taubat menurut kefahaman ulama tasawuf?

Penyucian (takhalli) berlaku setelah seseorang itu sedar dan kembali ke pangkal jalan. Ulama sufi menjadikan taubat sebagai syarat utama penyucian. Ramai ulama sufi yang menggunakan kiasan taubat itu sebagai bersih, maksiat itu pula seumpama sampah yang kotor.

Murid atau salik seharusnya bersih. Bersih anggota luar (tujuh anggota: mulut, mata, telinga, kaki, tangan, perut dan kemaluan) dan anggota batin (hati) hanya mampu dilakukan melalui proses taubat. Ada pula sebahagian ahli tahkik menyatakan taubat perlu didahului dengan inabah (perbuatan yang menunjukkan sedar untuk kembali) dan taubat itu perbuatan semasa kembali. Tidak lupa juga sebahagian daripada mereka memandang taubat itu dalam beberapa peringkat:

Taubah: Peringkat kembali orang awam, seperti menyesal.

Inabah: Peringkat kembali orang sufi, seperti menyesal dan istiqamah menjaga kedudukan dan kembali zahir dan batin dengan mentaati Allah Taala.

Awbah: Peringkat kembali sufi elit, seperti bertaubat setelah bermaksiat yang didahului dengan taubat.

Ustaz Abdul Muhsien Bin Sulaiman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Ustaz Abdul Muhsien Bin Sulaiman

Felo Akademik di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Mendapat pendidikan di Ma’had Muhammadi Lilbanin, Madrasah Rahmaniyyah Pasir Mas dan Universiti Malaya. Tumpuan penulisan beliau kebanyakannya dalam bidang Pendidikan Islam dan Tasawwuf Islam.

Kembali ke atas